Alliance Bank lancar Cabaran BizSmart siri ke-7, tawar pembiayaan kepada PKS sehingga RM20 juta | DagangNews Skip to main content

Alliance Bank lancar Cabaran BizSmart siri ke-7, tawar pembiayaan kepada PKS sehingga RM20 juta

Kelle Kam (tengah) bersama wakil rakan Cabaran SmartBiz (dari kiri) Harmender Singh (Cradle), Natalie Tan (5X Capital Partner), Bikesh Lakhmichand (1337 Ventures) Mohd Zamree Mohd Ishak (CGC), Raymond Chui (Ketua PKS Kumpulan Alliance Bank) dan Dr Aaron Sum ( Ketua Strategi dan Pegawai Pembangunan Perniagaan d& Pemasaran) Kumpulan Alliance Bank.
Oleh M. HERMAN HAMID

KUALA LUMPUR 5 Jun - Alliance Bank Malaysia Berhad melancarkan BizSmart Challenge Accelerator Edition (Cabaran BizSmart) sebagai usaha membantu mempercepatkan pertumbuhan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) di negara ini. 

 

Para peserta cabaran berkenaan berpeluang memenangi hadiah wang tunai, bimbingan perniagaan, pendedahan jenama dan latihan perniagaan bernilai sehingga RM2 juta selain keutamaan pembiayaan sehingga RM20 juta daripada Alliance Bank.

 

Cabaran BizSmart yang memasuki siri ketujuh akan diperluaskan lagi kepada PKS Malaysia yang telah beroperasi selama satu hingga 10 tahun dengan perolehan jualan tahunan sebanyak RM500,000 hingga RM40 juta. 
 

Buat pertama kali dalam sejarah Cabaran BizSmart, cabaran tahun ini memberi peluang kepada 30 orang peserta pusingan akhir untuk mempersembahkan pelan perniagaan dan idea mereka kepada para pelabur modal teroka terdiri daripada firma 1337 Ventures dan 5X Capital. 

 

Ini memberi peluang yang penting kepada para usahawan untuk menarik perhatian pelabur seterusnya mendapat rakan niaga jangka panjang serta dana pelaburan yang akan membawa mereka ke peringkat yang lebih tinggi dalam perniagaan. 

 

Para finalis juga perlu menambat hati para hakim yang kemudiannya akan memilih 10 perniagaan terbaik untuk memasuki pusingan kedua persembahan perniagaan.
 

Semua finalis Cabaran BizSmart juga boleh memanfaatkan sumber, pengalaman dan pengetahuan para rakan program termasuk dari 1337 Ventures, 5X Capital, Credit Guarantee Corporation Malaysia (CGC) dan Cradle. 

 

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Alliance Bank, Kellee Kam berkata, pelancaran Cabaran BizSmart menekankan lagi komitmen untuk mengembangkan perniagaan menerusi inisiatif yang inovatif yang menawarkan sokongan melalui penyelesaian perbankan dan bukan perbankan.

 

"Kami sedar bahawa pemilik perniagaan berdepan dengan pelbagai cabaran terutamanya semasa fasa permulaan termasuk usaha mendapatkan dana hinggalah kepada menerima latihan perniagaan yang berkaitan. 

 

"Oleh yang demikian, kami bekerjasama dengan pakar-pakar daripada pelbagai bidang untuk memenuhi keperluan industri yang pelbagai.

 

"Dalam usaha Bank menjadi The Bank For Life, kami mahu membantu perniagaan berjaya pada setiap peringkat dengan menawarkan mereka penyelesaian yang berbeza untuk memenuhi keperluan yang unik ketika perniagaan sedang berkembang,” katanya dalam kenyataan hari ini. 

 

Salah satu ciri utama program ini ialah barisan hakim dan pelabur terkenal yang menampilkan Kellee, Bikesh Lakhmichand, Rakan Kongsi Pengasas & Ketua Pegawai Eksekutif 1337 Ventures dan Natalie Tan, Rakan Kongsi di 5X Capital bersama dua orang wakil penaja Anugerah Kategori iaitu Sean Tan, Ketua Pegawai Perniagaan CGC dan Rakan Ekosistem iaitu Mohd Noor Hisham Abdul Bari, Penolong Naib Presiden MYStartup Malaysia dari Cradle. 

 

Sementara itu, Presiden & Ketua Pegawai Eksekutif CGC, Datuk Mohd Zamree Mohd Ishak berkata, sehingga kini, kerjasama antara CGC dan Alliance Bank yang dijalin sejak tahun 2013 telah menyaksikan Jaminan Portfolio sebanyak RM2.65 bilion. 

 

"Kerjasama ini diteruskan dengan BizSmart Challenge Accelerator Edition yang mana PMKS akan diberi peluang untuk mengukuhkan kemahiran yang kritikal, meningkatkan pengetahuan yang penting dan mendapat pendedahan kepada para peneraju industri. 
 

"Komitmen CGC dalam membantu PMKS membina asas perniagaan yang kukuh untuk pertumbuhan yang mampan terbukti melalui pelbagai penyelesaian kewangan yang ditawarkan serta inisiatif Beyond Guarantee kami, khususnya CGC Developmental Programme yang memberikan bantuan pembiayaan dan nasihat kepada PMKS.  

 

"Ini selari dengan mandat CGC untuk menjamin pembiayaan PMKS dan merapatkan jurang antara institusi kewangan / institusi kewangan pembangunan dan PMKS,” katanya.

 

Satu lagi kelebihan Cabaran pada tahun ini ialah program pemecutan tiga hari berstruktur yang diketuai oleh 1337 Ventures yang akan disertai oleh 30 finalis untuk membangunkan rancangan perniagaan dan promosi mereka secara terperinci. 

 

Di samping itu, para peserta akan mendapat manfaat daripada sesi bimbingan perniagaan yang disesuaikan merangkumi topik seperti cabaran PKS dan perniagaan, industri halal dan kemampanan yang akan diterajui Alliance Bank bersama 5X Capital dan alumni terpilih dari Cabaran BizSmart musim sebelum ini.

 

Sejak dimulakan pada tahun 2013, Cabaran BizSmart telah menerima lebih 2,200 penyertaan manakala lebih 155 peserta finalis telah mendapat manfaat daripada latihan dan bimbingan yang diberikan. 

 

Antara alumni yang terkenal ialah pelopor industri seperti Amazin’ Graze, Signature Market, Christy Ng, Chriszen, myBurgerLab, BloomThis dan Heal Nutrition yang kesemuanya telah mencapai kejayaan luar biasa dalam perniagaan mereka.

 

PKS yang berminat digalakkan untuk menghantar penyertaan mereka mulai sekarang hingga 15 Julai 2024 dan peserta yang disenarai pendek akan dihubungi pada bulan Ogos.- DagangNews.com