KUALA LUMPUR 13 Jun - Alliance Bank Malaysia Bhd dan IJM Land Bhd memeterai memorandum persefahaman (MoU) untuk menggalakkan pemilikan hartanah yang diperakui hijau untuk menyumbang ke arah komuniti dan alam sekitar yang lebih mampan.
Kerjasama tersebut memudahkan akses pembeli rumah kepada skim pembiayaan hijau Alliance Bank untuk hartanah yang diperakui hijau IJM Land, yang menawarkan pakej pembiayaan kompetitif, dan rumusan masa yang cepat bagi permohonan pinjaman.
Ketua Pegawai Perbankan Pengguna Kumpulan Alliance Bank, Gan Pai Li berkata, ketika bank semakin maju ke arah menjadi organisasi berfokuskan alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG), pihaknya terus berinovasi dengan rumusan untuk memenuhi keperluan pelanggan yang semakin berkembang.
Katanya, kerjasama strategik dengan IJM Land sejajar dengan aspirasi ESG serta matlamat menjadi bank untuk komuniti dan menyokong perjalanan pemilikan rumah mereka.
"Kami berharap dapat meluaskan jangkauan kami ke pasaran sasaran utama, membolehkan lebih banyak perniagaan dan pelanggan mengamalkan amalan mampan serta mewujudkan impak yang lebih bermakna untuk komuniti," katanya dalam kenyataan hari ini.
Bank juga menyasarkan untuk mencapai RM10 bilion dalam perniagaan perbankan mampan baharu menjelang tahun kewangan 2025 (FY25) sebagai sebahagian daripada matlamat kemampanannya, termasuk pengurangan pelepasan gas rumah hijau bank sendiri.
Alliance Bank telah merekodkan RM6.7 bilion dalam perniagaan perbankan mampan baharu pada FY2023.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif IJM Land, Datuk Wong Tuck Wai berkata, memandangkan impak tinggi industri pembinaan terhadap alam sekitar, pihaknya telah menjadikan inovasi dan kemampanan ekologi sebagai pemacu utama strategi pertumbuhan mereka.
"Dengan cara ini, setiap produk yang kami hasilkan bukan sahaja relevan, tetapi juga bertanggungjawab, selain kami mencipta tawaran yang tersendiri untuk IJM.
"Pakej ini sangat sesuai dengan cadangan nilai hijau, dan IJM Land membolehkan pembeli rumah menggunakan tawaran sebagai titik permulaan untuk perjalanan mampan mereka ke dalam pemilikan rumah mampan," katanya. - DagangNews.com








