Akta DBP dipinda beri kuasa DBP ambil tindakan tidak guna bahasa betul - PM | DagangNews Skip to main content

Akta DBP dipinda beri kuasa DBP ambil tindakan tidak guna bahasa betul - PM

Semua pelajar asing di negara ini diwajibkan mempelajari Bahasa Melayu, kata Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
Oleh JOHARDY IBRAHIM

KUALA LUMPUR 19 Mac - Kerajaan akan meminda Akta Dewan Bahasa dan Pustaka supaya mana-mana pelanggaran bahasa termasuk di peringkat daerah akan diambil tindakan oleh DBP, kata Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

 

''Akta Dewan Bahasa dan Pustaka akan diperkasakan dengan DBP akan diberikan kuasa penguatkuasaan

 

''Sebagai contoh penggunaan bahasa Melayu di papan-papan tanda. DBP boleh mengambil tindakan terhadap penyalahgunaan kuasa,'' kata beliau dalam ucapan penggulungan Naib Presiden UMNO pada Perhimpunan Agung UMNO 2021 di sini hari ini..

 

Ismail Sabri berkata, UMNO mesti menjuarai dalam memartabatkan bahasa Melayu seperti di dalam Perlembagaan Persekutuan Perkara 152 yang juga termaktub dalam perlembagaan UMNO fasal 3.5. 41.

 

''Sudah tiba masanya kita perlu bangga dengan Bahasa Melayu, justeru tidak ada sebab untuk kita rasa janggal berbahasa melayu walaupun di pentas antarabangsa kerana ‘Bahasa Jiwa Bangsa’,'' tegas beliau.

 

Perdana Menteri berkata, beliau telah memaklumkan kepada Menteri Pengajian Tinggi (Datuk Seri Noraini Ahmad) yang bersetuju supaya semua pelajar asing di negara ini wajib mempelajari Bahasa Melayu.

 

''Lebih 300 juta penduduk ASEAN menggunakan Bahasa Melayu sebagai bahasa pertuturan. Bahasa Melayu adalah bahasa ketujuh jumlah penutur teramai di dunia.

 

''Cita-cita saya untuk menjadikan Bahasa Melayu sebagai bahasa kedua ASEAN,'' kata Ismail Sabri. - DagangNews.com