Airbus komited sokong usaha pembangunan ruang angkasa Malaysia | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Airbus komited sokong usaha pembangunan ruang angkasa Malaysia

Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 23 Okt - Syarikat aeroangkasa terkemuka, Airbus mengukuhkan komitmennya untuk terus menyumbang kepada pembangunan kedaulatan ruang angkasa Malaysia. 

 

Airbus menjadi rakan utama dalam bidang angkasa kepada Malaysia sejak tahun 1998, bermula dengan perimejan angkasa. 

 

Tahun ini, untuk meraikan 25 tahun kerjasama, Airbus dan Agensi Angkasa Malaysia (MYSA) bersama-sama menganjurkan seminar bertajuk "Kesan Keseluruhan: Kepentingan Angkasa untuk Kesejahteraan, Pertahanan, dan Keselamatan Global".

 

Ketua Pertahanan dan Angkasa Airbus Asia Tenggara, Jose Corcia Palomo berkata, beliau  menekankan kepentingan untuk memperkuatkan keupayaan dan kapasiti negara dalam bidang yang meningkatkan daya tahan infrastruktur penting dan menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi.

 

"Airbus telah membantu pelbagai negara dan syarikat menangani dan memenuhi aspirasi ruang angkasa mereka selama lebih lima dekad, dan kami bersedia untuk menjalin usaha sama yang lebih mendalam dengan Malaysia untuk mencapai matlamat Dasar Angkasa Negara 2030," katanya dalam kenyataan media di sini, hari ini.

 

Airbus aktif terlibat dalam pembangunan, pengeluaran, dan penghantaran MEASAT-3b, satelit terbesar yang dipesan oleh sektor komunikasi Malaysia. 

 

Airbus kemudian dipilih untuk membina MEASAT-3d, satelit telekomunikasi pelbagai misi baharu untuk menggantikan kapasiti dan meningkatkan perniagaan inti MEASAT di Malaysia, Asia, Timur Tengah, dan Afrika. Satelit tersebut berjaya dilancarkan pada Jun 2022.

 

 

airbus

 

 

Selain dari satelit komunikasi, Airbus juga menjalin usahasama dengan MYSA untuk membangunkan keupayaan penerimaan imej satelit. Pada masa kini MYSA menerima imej daripada serakan pelbagai jenis satelit, optikal mahupun radar, yang membantu Malaysia untuk membuat pemantauan siang dan malam, dan mengoptimumkan sumber asli negara.

 

Airbus dan MYSA merupakan olaborator rapat dalam bidang pengimejan satelit Ruang Angkasa, sistem dan perkhidmatan berkaitan. 

 

MYSA sejak bertahun-tahun telah mempertingkatkan kapasiti Ruang Angkasa melalui serakan pelbagai satelit pengimejan milik Airbus, yang menjana data bagi menyokong inisiatif pembangunan dan kemampanan negara. MYSA telah membangunkan aplikasi berasaskan-angkasa dengan menggunakan satelit penderiaan jauh Airbus.

 

Hari ini, MYSA merupakan rakan usaha sama rangkaian Stesen Penerimaan Data Satelit yang utuh di rantau ini. Agensi angkasa nasional ini juga merupakan penerima Program Kerjasama Industri mengenai Sistem Ruang Angkasa termasuk terminal TerraSAR-X dan Kilang Pixel.

 

 

airbus

 

 

Kini Malaysia merupakan satu-satunya negara di Rantau Asia Tenggara yang memiliki infrastruktur dan kapasiti untuk menerima telemetri SPOT, Pléiades dan TerraSAR-X.

 

MYSA juga mempunyai akses maya kepada gambar yang diperoleh oleh satelit kembar terkini Airbus -- Pléiades Neo.

 

Pada resolusi 30 cm, yang kini merupakan resolusi tertinggi pengimejan satelit yang sedia ada dalam pasaran komersial, Pléiades Neo boleh digunakan untuk pelbagai aplikasi seperti di sektor maritim, tenaga, pertanian, perhutanan, kejuruteraan awam, dan mobiliti, yang mana data dan perkhidmatan berkualiti tinggi akan merangsang inovasi dan pembangunan aplikasi baru tempatan di Malaysia.

 

Menurut Palomo, terdapat potensi yang besar dalam usaha pembangunan kedaulatan Ruang Angkasa Malaysia yang didorong oleh ekosistem Ruang Angkasa tempatan yang kukuh. 

 

"Di sinilah terletaknya keupayaan dan kekuatan Airbus dalam menyokong usaha Malaysia membangunkan industri ini. Kami berhasrat untuk memperkukuhkan lagi usahasama yang dijalin ini ketika kami bersama-sama mengorak langkah menuju masa hadapan," katanya. - DagangNews.com