Airbus Helicopters tawar bida kontrak bekal 12 pesawat H225M TUDM | DagangNews Skip to main content

Airbus Helicopters tawar bida kontrak bekal 12 pesawat H225M TUDM

Airbus Helicopters yakin H225M menepati keperluan operasi TUDM.
Oleh Zaki Salleh

KUALA LUMPUR 30 April - Airbus Helicopters menawarkan 12 buah pesawat H225M bagi membida kontrak perolehan helikopter baharu Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).

 

Berdasarkan pengalaman TUDM sebagai pengguna pesawat berkenaan, Airbus Helicopters percaya helikopter H225M menepati keperluan operasi TUDM.

 

Pengarah Urusan Airbus Helicopter Malaysia, Axel de Pascal berkata, keupayaan pesawat H225M juga telah terbukti sepanjang dioperasikan TUDM sejak 12 tahun lalu.

 

 

Katanya, pembelian tambahan itu juga akan melengkapkan jumlah seimbang yang diperlukan TUDM dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

 

TERKINI: Airbus cadang H135 digunakan agensi penguat kuasa Malaysia 

 

 

Helikopter
TUDM memerlukan pembelian tambahan 12 buah lagi helikopter seperti H225M.

 

“Malaysia sudah mengenali keupayaan H225M dan mendapat manfaat daripada pesawat yang boleh beroperasi dengan segera dan kos operasi yang rendah.

 

“Dengan ekosistem semasa, sebarang aset tambahan akan meningkatkan kecekapan bagi pihak tentera udara pada setiap peringkat,” katanya.

 

Airbus Helicopter Malaysia mengadakan sesi bersama media berhubung operasi semasa firma tersebut serta penawaran helikopter H225M.

 

Mengulas lanjut katanya, Airbus Helicopter Malaysia bersedia untuk memberikan komitmen langsung kepada kerajaan Malaysia bagi perolehan pesawat H225M.

 

Helikopter

 

“Mengikut Belanjawan 2024, sejumlah dana telah diperuntukkan kepada TUDM untuk memperoleh 12 buah helikopter,

 

“Airbus sedia untuk membekalkan H225M untuk pertimbangan kerajaan Malaysia,” katanya.

 

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim semasa pembentangan Belanjawan 2024 telah mengumumkan peruntukan bagi pembelian 12 buah helikopter baharu TUDM.

 

Perolehan ini juga ditetapkan sebagai antara fokus utama Kementerian Pertahanan tahun ini, bermakna ia akan dimuktamadkan dalam masa terdekat.

 

Helikopter
Helikopter EC725AP turut digunakan dalam membantu operasi lintas udara Tentera Darat.

 

Ketika ini, TUDM mengoperasikan 12 buah helikopter EC-725AP (H225M) yang diterima sejak tahun 2012.

 

Pembelian tersebut bagi menggantikan helikopter Sikorsky S61-A Nuri bagaimana pun tidak dibuat secara menyeluruh kerana cadangan asal adalah untuk mendapatkan 24 buah pesawat.

 

Ini apabila TUDM terpaksa menangguhkan pembelian tambahan berikutan kekangan kewangan kerajaan.

 

Sehingga Mac lalu TUDM telah merekodkan 30,000 jam penerbangan bagi kesemua helikopter EC-725/H225M TUDM menunjukkan ia digunakan secara ekstensif. - DagangNews.com