KUALA LUMPUR 15 Julai - AirAsia X (AAX) berjaya menyelesaikan lebih 270,000 tempahan yang dibatalkan akibat pandemik sejak dua tahun lalu termasuk semua pemegang Pas Tanpa Had RM499, melalui baucar perjalanan sah sehingga lima tahun dengan nilai penuh tempahan.
Baucar perjalanan ini boleh digunakan untuk menempah mana-mana penerbangan AAX (kod penerbangan D7) serta-merta dan untuk perjalanan pada masa hadapan ke beberapa destinasi antarabangsa menarik yang tersedia.
Banyak lagi laluan akan ditambah ke rangkaian AAX pada masa hadapan termasuk ke Jepun, Australia, Hawaii, New Zealand, London, Dubai dan Istanbul pada tahun 2022.
Para tetamu yang masih belum menerima baucar perjalanan tersebut dikehendaki mendaftar sebagai ahli airasia rewards menggunakan e-mel yang sama digunakan untuk membuat tempahan kerana baucar perjalanan akan dipautkan ke akaun tersebut.
AAX akan mengutamakan proses penyelesaian baki tertunggak termasuk untuk tempahan yang dibuat oleh ejen pelancongan dalam beberapa minggu akan datang. Semua tetamu akan dihubungi melalui alamat e-mel berdaftar mereka.
Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AAX, Tan Sri Tony Fernandes berkata, beliau berbesar hati telah melaksanakan komitmen kepada tetamu AAX, dan memberikan baucar perjalanan bernilai lebih AS$92 juta untuk lebih suku juta tempahan.
"Ini adalah kira-kira 80% daripada jumlah tempahan, dan kami sedang menyelesaikan kumpulan tetamu terakhir supaya semua orang menerima kelayakan mereka.
"Terima kasih kerana anda setia menyokong kami melalui susah dan senang. Saya juga difahamkan ada yang menyatakan kekecewaan kerana tidak menerima bayaran balik secara tunai untuk penerbangan yang dibatalkan.
"AAX tidak dapat membayar bayaran balik tunai berikutan proses undang-undang bagi penstrukturan semulanya, tetapi kami telah bekerja keras untuk mengimbangi kelangsungan syarikat dengan menawarkan baucar perjalanan untuk anda terbang ke destinasi menarik sekarang dan pada masa hadapan.
"Sekali lagi, terima kasih untuk kesabaran dan kefahaman kepada kami, setelah melalui dua tahun yang paling sukar tanpa keuntungan ketara atau sebarang subsidi oleh kerajaan. Kami kini fokus untuk kembali dengan lebih kuat," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Ketua Pegawai Eksekutif AAX, Benyamin Ismail pula berkata, dua tahun yang lalu amat mencabar bagi industri pelancongan di seluruh dunia termasuk kepada AAX berikutan kesan berterusan pandemik dan penutupan sempadan antarabangsa dalam pasaran utama mereka.
"Di sebalik semua cabaran ini, kami ingin memberi jaminan kepada semua tetamu kami bahawa AAX terus komited kepada para tetamu kami yang mempunyai tunggakan tempahan, apabila kami kembali beroperasi," katanya. - DagangNews.com








