AirAsia tawar tambang serendah RM23 untuk laluan domestik, RM69 laluan antarabangsa | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

AirAsia tawar tambang serendah RM23 untuk laluan domestik, RM69 laluan antarabangsa

Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 23 Dis - Sempena musim perayaan ini, AirAsia melancarkan jualan akhir tahun dengan tambang istimewa dari Kuala Lumpur dan Singapura ke Kota Kinabalu, Kota Bharu dan destinasi menarik lain daripada RM23 untuk masa terhad.

 

AirAsia dalam satu kenyataan berkata, selain itu, tambang istimewa itu turut melibatkan penerbangan antarabangsa serendah daripada RM69 dari Kuala Lumpur ke Singapura, Krabi, Jakarta, Phuket dan sebagainya. 

 

Selain itu tambang istimewa menerusi AirAsia X ke Taipei, Tokyo, Auckland dan banyak lagi daripada RM459, termasuk ke Gold Coast daripada RM599 atau RM3,999 dengan tempat duduk Premium Flatbed. 

 

"Orang ramai boleh menempah tawaran tersebut di airasia Super App atau laman web dari 26 Disember hingga 8 Januari 2023," katanya.

 

Sementara itu, AirAsia telah meraikan para tetamunya yang mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (klia2) dan Lapangan Terbang Changi dengan pelbagai hadiah menarik.

 

Katanya, para tetamu yang menaiki penerbangan AK527 dan AK869 di klia2 pada 19 Disember lalu dan penerbangan QZ504, Z2825, AK707 dan FD357 di Changi pada 23 Disember telah diberi kejutan istimewa semasa ketibaan mereka di Kuala Lumpur dan Singapura.

 

"Kejutan ini bermula di klia2, yang mana hadiah istimewa berisi barangan cenderamata eksklusif AirAsia seperti topi, rantai kunci, alat tulis, beg dan banyak lagi diletakkan di tempat pengambilan bagasi untuk kedua-kedua penerbangan yang mendarat dari Bandar Ho Chi Minh dan Krabi. 

 

"Selain hadiah istimewa, balai ketibaan di klia2 juga dihiasi dengan dekorasi menarik untuk para tetamu bergambar bersama-sama. 

 

 

airasia

 

 

airasia

 

 

"Untuk menjadikan hari ini lebih istimewa, para tetamu juga dihiburkan oleh Santa Claus semasa ketibaan," katanya.

 

Katanya, di Terminal 4 Lapangan Terbang Changi pula, para tetamu yang tiba dari empat destinasi pada masa yang berbeza sepanjang hari turut disambut dengan pelbagai kejutan istimewa termasuk tiket emas.

 

 

airasia

 

 

airasia

 

 

Setibanya di lapangan terbang, mereka dijemput ke gerai AirAsia Winter Wonderland untuk menikmati makanan ringan serta menerima pelbagai cenderamata dan barangan eksklusif, katanya.

 

"Beberapa bulan lalu, kami bukan sahaja telah melancarkan kempen tempat duduk percuma terbesar setakat ini, malah mencipta sejarah dengan menjadi syarikat penerbangan pertama di ASEAN yang menganjurkan acara istimewa di udara untuk meraikan kejayaan kami menerbangkan 700 juta tetamu," katanya. - DagangNews.com