KUALA LUMPUR 6 Mac - AirAsia menyambung semula penerbangan ke Bhubaneswar di ibu negeri Odisha, India dengan tiga penerbangan mingguan bermula pada 28 Mei 2024.
Syarikat penerbangan itu berkata, pengumuman itu tepat pada masanya berikutan syarikat penerbangan ini meningkatkan laluan udara antara Malaysia dan India sebanyak 13 laluan secara keseluruhan sejak 2008.
Katanya, penerbangan antara Kuala Lumpur dan Bhubaneswar juga menambah rangkaian laluan unik AirAsia ke India selepas Jaipur dan Visakhapatnam yang menjadikan AirAsia sebagai satu-satunya syarikat penerbangan di Malaysia ke bandar-bandar itu.
"Rangkaian kukuh AirAsia membolehkan lebih lima juta pengembara terbang antara India dan Malaysia dalam tempoh enam tahun lalu dan jumlah ini terus meningkat selepas pengumuman kerajaan mengenai kemasukan tanpa visa untuk warganegara India ke Malaysia," katanya dalam kenyataan media di sini hari ini.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia Aviation Group, Bo Lingam berkata, pihaknya berbangga untuk meneruskan momentum dalam meningkatkan perjalanan ke India yang juga merupakan pasaran penting dan popular para pengembara.
Katanya, AirAsia terus komited untuk menerokai lebih banyak laluan unik antara kedua-dua buah negara ini dan memperluas rangkaian destinasi supaya lebih ramai tetamu dapat melawati destinasi impian mereka dengan tambang berpatutan.
"Bhubaneswar merupakan sebuah bandar yang memilki tarikan menarik dan terkenal dengan sejarah, warisan dan seni bina unik. Justeru, kami berbesar hati untuk menyambung semula laluan yang dinantikan ini," katanya.

Menurut kenyataan itu, Bhubaneswar yang juga dikenali sebagai ‘Bandar Kuil India’ mempunyai lebih daripada 600 kuil batu pasir di seluruh bandar yang dibina pada abad ketujuh.
Katanya, bandar itu tidak hanya dihiasi dengan tapak sejarah unik malah seni bina dan monumen yang menarik selain kepelbagaian budaya.
"Bandar ini juga merupakan pusat yang berkembang pesat untuk perdagangan dan perniagaan seterusnya menjadikannya destinasi popular untuk pengembara khususnya dalam sektor perniagaan dan rekreasi di samping melihat keindahan landskap yang ditawarkan," katanya.
Sementara itu katanya, bagi meraikan penyambungan semula penerbangan ke Bhubaneswar, AirAsia menawarkan tambang promosi mulai hari ini hingga 17 Mac 2024 dengan tambang bermula RM199 sehala dan hanya INR4,999 dari Bhubaneswar ke Kuala Lumpur untuk tempoh perjalanan antara 28 Mei 2024 dan 18 Jun 2025.
Katanya, tambang promosi itu boleh ditempah di airasia.com dan aplikasi AirAsia MOVE, yang sebelum ini dikenali sebagai 'airasia Superapp'. - DagangNews.com








