AirAsia rugi RM803.85j pada Q1 2020 | DagangNews Skip to main content

AirAsia rugi RM803.85j pada Q1 2020

KUALA LUMPUR 7 Julai - AirAsia Group Berhad mengalami kerugian bersih sebanyak RM803.85 juta pada suku pertama tahun ini yang berakhir 31 Mac lalu.

Angka tersebut sekali gus melihat AirAsia mencatatkan kerugian lebih lapan kali ganda berbanding tahun lalu yang hanya merekodkan RM96.09 juta bagi tempoh sama. 

AirAsia dalam satu kenyataan memberitahu, kerugian itu berikutan penyelesaian lindung nilai bahan api yang menelan sehingga RM110.0 juta dan susut nilai tambahan serta faedah liabiliti pajakan bagi mengendalikan pesawat pajakan.

Angka itu juga didorong oleh kerugian nilai saksama bagi derivatif berjumlah RM270.1 juta.

Bagaimanapun, syarikat penerbangan tambang rendah itu mencatatkan pulangan modal pendapatan sebelum faedah, cukai, susut nilai dan pelunasan sebanyak RM29,000.

Tetapi, hasil yang diperoleh menurun kepada RM2.31 bilion berbanding RM2.73 bilion bagi tempoh yang sama tahun sebelumnya.

Sementara itu, menurut Presiden Kumpulan AirAsia (penerbangan), Bo Lingam, syarikat itu sedang beroperasi seperti biasa dan kini menumpukan kepada pasaran domestik.

Susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di Malaysia dengan seluruh dunia menutup sempadan negara, AirAsia sebelum ini dijangka mencatatkan kerugian lebih RM1.1 bilion pada tahun ini. 

Berikutan itu, pelbagai langkah diambil syarikat penerbangan berkenaan termasuklah mengecilkan jumlah tenaga operasi syarikat. 

Walaupun berdepan cabaran ketika krisis COVID-19, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia Tan Sri Tony Fernandes mendedahkan syarikatnya mengambil kesempatan untuk menyusun semula kumpulan sehingga berjaya mengurangkan perbelanjaan tunai sebanyak sekurang-kurangnya 50% tahun ini. - DagangNews.com