AirAsia perkenal tiga laluan baharu hubungkan Taipei, Kaohsiung dan Jepun | DagangNews Skip to main content

AirAsia perkenal tiga laluan baharu hubungkan Taipei, Kaohsiung dan Jepun

Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 19 Mac - AirAsia meneruskan pengembangan strategiknya ke pasaran Asia Timur Laut dengan pelancaran tiga laluan bebas kelima yang menghubungkan Taipei dan Kaohsiung dengan Jepun.

 

Syarikat penerbangan itu berkata, AirAsia X akan mengendalikan laluan baharu dari Taipei ke Tokyo (Narita) bermula 31 Mei 2024, manakala Thai AirAsia akan menghubungkan Taipei ke Okinawa bermula 15 Jun 2024 dan Kaohsiung ke Tokyo (Narita) pada 16 Jun 2024.

 

Katanya, AAX mengendalikan laluan dari Taipei ke Tokyo (Narita) menggunakan pesawat berbadan lebar jenis Airbus A330 (termasuk A330 atau A330-300) yang mempunyai sehingga 377 tempat duduk, termasuk 12 tempat duduk 'Premium Flatbed' manakala Thai AirAsia terbang dengan pesawat A320 yang mempunyai 180 tempat duduk, termasuk 42 'Hot Seats'.

 

"Pelancaran laluan bebas kelima ini sejajar dengan fokus syarikat penerbangan ini yang menjadikan Taiwan sebagai hab virtual, yang menghubungkan para tetamu ke 130 destinasi di seluruh Asia Tenggara dan Asia Timur Laut melalui rangkaian luas," katanya dalam kenyataan media di sini hari ini.

 

Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia X, Benyamin Ismail berkata, pihaknya berbangga untuk melancarkan laluan bebas kelima pertama pada tahun ini dari Taipei ke Tokyo yang merupakan bukti pemulihan ketara AAX. 

 

Beliau berkata, Jepun sentiasa menjadi salah satu destinasi utama bagi AAX dan pelancaran laluan ini merupakan komitmen kami kepada pasaran yang kompetitif dan untuk menawarkan perjalanan lebih mudah dan berpatutan. 

 

Selain itu katanya, para tetamu yang terbang antara Taiwan dan Jepun juga dapat menikmati pengalaman perjalanan lebih selesa dengan tempat duduk Premium Flatbed. 

 

 

airasia

 

 

"Kami percaya pelancaran laluan baharu ini dapat meningkatkan peluang industri pelancongan antara Taiwan dan Jepun, dan berharap untuk mengembangkan lebih banyak laluan pada masa hadapan," katanya.

 

Bagi meraikan pelancaran laluan baharu itu, para tetamu AirAsia kini boleh menempah penerbangan antara Taipei dan Tokyo (Narita) dengan tambang promosi bermula TWD1,888 sehala untuk tempoh perjalanan antara 31 Mei 2024 dan 26 Oktober 2024. 

 

Para tetamu juga boleh menikmati tambang promosi bermula TWD888 sehala antara Taipei dan Okinawa untuk tempoh perjalanan antara 15 Jun 2024 hingga 26 Oktober 2024 atau antara Kaohsiung dan Tokyo dengan tambang promosi bermula TWD1,888 sehala antara 16 Jun 2024 dan 25 Oktober 2024. - DagangNews.com