Ahmad Fuzi kunjungi kemudahan pembuatan Iconic Medicare | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Ahmad Fuzi kunjungi kemudahan pembuatan Iconic Medicare

Pengarah Urusan Iconic Worldwide Bhd., Datuk Tan Kean Tet menyerahkan 200,000 keping pelitup muka perubatan pakai buang kepada Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang, Tun Ahmad Fuzi Abdul Razak ketika mengadakan lawatan khas ke kemudahan pembuatan sarung tangan dan pelitup muka Iconic Medicare Sdn. Bhd. (Iconic Medicare) di Taman Perindustrian Batu Kawan, Pulau Pinang, semalam.

PULAU PINANG 9 Jun –Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang, Tun Ahmad Fuzi Abdul Razak mengadakan lawatan khas ke kemudahan pembuatan sarung tangan dan pelitup muka bernilai RM200 juta milik Iconic Medicare Sdn. Bhd. (Iconic Medicare) di Taman Perindustrian Batu Kawan, Pulau Pinang.

 

Sempena lawatan itu, Pengarah Urusan Iconic Worldwide Bhd., Datuk Tan Kean Tet menyerahkan 200,000 keping pelitup muka perubatan pakai buang bernilai RM140,000 sebagai tanda sokongan atas usaha berterusan Ahmad Fuzi untuk membantu golongan yang memerlukan. 

 

Pengarah Eksekutif Iconic Worldwide James Tan, Katherine Tan dan Jason Chung turut hadir pada acara berkenaan.

 

Sementara itu, Ahmad Fuzi diiringi oleh Ahli Parlimen Batu Kawan, Kasthuriraani Patto dan ADUN Bukit Tambun, Goh Choon Aik. Tan Sri Dr Tan Khoon Hai juga hadir sebagai tetamu pada majlis tersebut.

 

Ia melibatkan lawatan ke 12 barisan celupan sarung tangan berganda Iconic Medicare dan 22 barisan pengeluaran pelitup muka perubatan, yang berupaya menghasilkan kapasiti pengeluaran 3.5 bilion keping sarung tangan dan 220 juta keping pelitup muka setiap setahun. 

 

Iconic Medicare ialah anak syarikat milik penuh Iconic Worldwide yang tersenarai di Bursa Malaysia, yang mana terlibat terutamanya dalam pelancongan, pembangunan hartanah dan pembuatan peralatan perlindungan diri (PPE).

 

Menyingkap kembali, kemudahan pembuatan sarung tangan dan pelitup muka bernilai RM200 juta di Taman Perindustrian Batu Kawan, Pulau Pinang itu telah dilancarkan secara rasmi pada 15 Januari 2022 oleh Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow.

 

Syarikat pada April tahun ini telah meluluskan audit tanggungjawab alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) mengikut metodologi SMETA, yang dijalankan oleh firma audit antarabangsa pihak ketiga. 

 

Perniagaan pembuatan sarung tangan Iconic Medicare telah diperakui secara rasmi selepas melalui skop audit SMETA 4-teras.

 

Audit Perdagangan Etika Ahli Sedex (SMETA), salah satu format audit etika yang paling meluas digunakan di dunia, diasaskan berdasarkan konvensyen Pertubuhan Buruh Antarabangsa serta undang-undang tempatan yang berkaitan. 

 

Ia terdiri daripada modul seperti piawaian buruh, kesihatan dan keselamatan, sistem pengurusan, penilaian alam sekitar dan etika perniagaan. - DagangNews.com