Agricore CS meterai perjanjian taja jamin dengan M&A Securities bagi penyenaraian di Pasaran ACE Bursa Malaysia | DagangNews Skip to main content

Agricore CS meterai perjanjian taja jamin dengan M&A Securities bagi penyenaraian di Pasaran ACE Bursa Malaysia

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 2 Mei - Agricore CS Holdings Bhd memeterai perjanjian taja jamin bersama M&A Securities Sdn Bhd bagi tawaran awam permulaan (IPO) di Pasaran ACE Bursa Malaysia.


 
Kumpulan itu dalam satu kenyataan berkata, IPO itu melibatkan terbitan awam sebanyak 51.7 juta saham baharu, mewakili 25.5% daripada modal saham yang diperbesarkan semasa penyenaraian.

 

M&A Securities akan menaja jamin sejumlah 20.3 juta saham baharu yang disediakan kepada orang ramai Malaysia menerusi peruntukan borang merah jambu.

 

Sementara itu, 25.4 juta saham baharu akan disediakan kepada pelabur Bumiputera yang diluluskan oleh Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) manakala baki 6.1 juta saham baharu akan diperuntukkan melalui penempatan persendirian kepada pelabur terpilih.

 

Kumpulan Agricore terlibat dalam penyediaan sumber dan pengedaran makanan pertanian berasaskan tumbuhan terdiri daripada produk kanji, kekacang, produk bijirin dan produk lain di bawah jenama 'Pokok Agricore', 'SunRise' dan 'Cap Pokok' serta jenama pihak ketiga.

 

Pengarah Urusan Agricore, Oon Boon Khong berkata, memandangkan populasi dan keadaan ekonomi di Malaysia terus berkembang, permintaan terhadap bahan makanan dijangka meningkat seiring kerana bahan makanan adalah penting dalam pembuatan makanan serta penyediaan makanan.

 

"Memandangkan produk kami digunakan secara meluas, perniagaan kami kekal berdaya tahan menghadapi kemelesetan ekonomi kerana bahan makanan merupakan keperluan dalam kehidupan seharian pengguna,” katanya.

 

Kumpulan itu dijadualkan penyenaraian di Pasaran ACE Bursa Securities menjelang Jun 2024.

 

M&A Securities ialah penasihat, penaja, penaja jamin dan ejen penempatan untuk pelaksanaan IPO.- DagangNews.com