KUALA LUMPUR 13 Feb - Pasaran hartanah Johor dijangka melonjak dan boleh menjadikan keluaran dalam negara kasar (KDNK) negeri itu 3% lebih besar dalam tempoh lima tahun berikutan pelantikan Sultan Ibrahim sebagai Yang di-Pertuan Agong (YDPA) ke-17.
Pengasas Bersama dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Juwai IQI, Kashif Ansari berkata Sultan Ibrahim, yang dikenali sebagai pemimpin yang dinamik dalam industri hartanah, bersedia untuk bekerjasama dengan lancar bersama kerajaan bagi mengemudi permulaan projek infrastruktur penting.
Beliau menambah bahawa perkembangan yang dijangkakan seperti sambungan kereta api berkelajuan tinggi ke Singapura, sistem transit aliran ringan yang canggih dan penubuhan zon kewangan khas berpotensi mentakrifkan semula landskap ekonomi Johor dan membentuk semula pasaran hartanahnya.'

“Juwai IQI percaya pemerintahan baginda akan memberi gambaran pelaburan swasta yang besar dalam infrastruktur, mendorong kepada limpahan ke industri, pelancongan serta hartanah kediaman dan komersial,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.
Ansari berkata, YDPA terdahulu, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, telah menjadi tonggak kestabilan ketika pandemik dan cabaran lain beberapa tahun kebelakangan ini.
Sementara itu, YDPA baharu¸Sultan Ibrahim boleh membina kejayaan ini dengan tumpuannya pada infrastruktur, membantu mengubah prospek ekonomi dan hartanah.
“Kami melihat Johor berkembang menjadi bandar utama, sama seperti Lembah Klang yang seterusnya. Ini adalah peluang keemasan untuk pembangunan hartanah, terutamanya di kawasan seperti Tuas Link dan sekitar stesen HSR baharu.
“Dalam visi ini, ekonomi negeri akan menjadi 1% hingga 3% lebih besar daripada yang sepatutnya pada 2029 dan kenaikan tersebut akan meningkat setiap tahun,” ulasnya.
Di samping itu, Ansari mendedahkan bahawa minat pelanggan terhadap hartanah Johor Bahru meningkat, terutamanya disebabkan oleh berita Kereta Api Singapura-Malaysia (SMRT).

“Projek yang digerakkan oleh YDPA baharu dan Parlimen ini akan memacu lebih banyak permintaan. Sejak separuh kedua tahun lalu, pasukan kami di Johor telah menyaksikan peningkatan 30% dari segi transaksi,” tambahnya.
Ansari turut berpendapat bahawa Forest City boleh mendapat manfaat khususnya menerusi zon kewangan khas (SFZ) yang bakal dilancarkan pada akhir tahun ini.
Beliau berkata, zon tersebut serta potensi pembinaan stesen HSR baharu di Forest City akan menjadikan kawasan itu sebagai zon pembangunan baharu yang mengurangkan tekanan di kawasan lain yang lebih padat di Johor.
Jika projek infrastruktur ini dijalankan, beliau menjangkakan ia akan mewujudkan peluang besar kepada pembelian hartanah pada harga murah, yang nilainya bakal meningkat apabila infrastruktur tersebut dibina. - DagangNews.com








