Agmo meterai taja jamin dengan Kenanga Investment untuk IPO di Pasaran ACE | DagangNews Skip to main content

Agmo meterai taja jamin dengan Kenanga Investment untuk IPO di Pasaran ACE

 Tan Aik Keong dan Datuk Roslan Tik pada majlis memeterai perjanjian taja jamin di Kuala Lumpur pada 28 Jun 2022.

KUALA LUMPUR 28 Jun –  Agmo Holdings Berhad memeterai Perjanjian Taja Jamin dengan Kenanga Investment Bank Berhad bersempena dengan tawaran awam permulaannya (IPO) di Pasaran ACE Bursa Malaysia Securities Berhad.

 

Menurut Perjanjian Taja Jamin berkenaan, KIBB akan menaja jamin sebanyak 22,750,000 saham baru yang terdiri daripada 16,250,000 saham baru yang diperuntukkan kepada orang awam Malaysia dan 6,500,000 saham baru yang diperuntukkan kepada pengarah, pengurusan kanan utama, kakitangan, dan rakan perniagaan yang layak yang telah menyumbang kepada kejayaan Agmo dan anak-anak syarikatnya.

 

Bursa Securities baru-baru ini telah meluluskan penyenaraian Agmo di Pasaran ACE Bursa Securities. Agmo menyasarkan Pelancaran Prospektus untuk IPO ini yang melibatkan penerbitan 85,000,000 saham baru.

 

Ketua Pegawai Eksekutif Agmo Holdings Berhad, Tan Aik Keong berkata, terdapat peluang yang besar untuk diraih oleh Agmo dalam trend pendigitalan pada masa ini.  Dengan kepakaran yang dibina selama ini, kami bersedia untuk membantu perniagaan dalam usaha pendigitalan mereka.

 

Ditubuhkan pada 2012 dengan MY E.G. Capital Sdn. Bhd. sebagai salah satu pelabur awal Kumpulan Agmo, rangkaian perkhidmatan Kumpulan Agmo pada masa ini terdiri daripada pendigitalan operasi perniagaan melalui pembangunan aplikasi mudah alih dan web serta penyediaan perkhidmatan berasaskan platform digital dengan teknologi terkini untuk memenuhi trend dan permintaan pasaran.

 

Aplikasi yang dibinakan oleh Agmo digunakan oleh perniagaan yang merentasi pelbagai industri termasuklah penjagaan kesihatan, logistik, minyak dan gas, automotif, perkhidmatan kewangan dan sektor kerajaan.

 

KIBB adalah Penasihat Utama, Penaja, Penaja Jamin dan Ejen Penempatan IPO dan diwakili Pengarah Eksekutif dan Ketua Perbankan Pelaburan Kumpulan dan Perbankan Islam Kenanga Investment, Datuk Roslan Tik.- DagangNews.com