Agmo, Alibaba Cloud meterai MoU lancar aplikasi EV SuperApp pertama di Malaysia | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Agmo, Alibaba Cloud meterai MoU lancar aplikasi EV SuperApp pertama di Malaysia

Gambar Bernama
Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 14 Jun - Agmo Holdings Bhd dan Alibaba Cloud memeterai MoU untuk melancarkan aplikasi 'Agmo Electric Vehicle (EV) SuperApp' yang pertama di Malaysia.

 

Aplikasi tersebut itu direka sebagai sebuah platform yang menyediakan pusat penyelesaian EV sehenti yang secara asasnya membantu penyertaan dan penyatuan beberapa industri automotif dan ekosistem aplikasi mini. 

 

Agmo EV Superapp bertujuan untuk menangani kesulitan yang dialami pengguna EV domestik dan meningkatkan penggunaan EV dengan memberikan pengalaman pengguna yang intuitif dan lancar. 

 

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Chang Lih Kang berkata, sektor automotif Malaysia sedang mengalami ledakan penerimaan EV oleh rakyat, dipacu gabungan inisiatif kerajaan dan tawaran berteraskan nilai daripada pelbagai pengeluar antarabangsa. 

 

"Kami memuji usaha kerjasama Alibaba Cloud dan institusi tempatan, Agmo kerana mereka memainkan peranan penting dalam membangunkan rumusan inovatif dalam industri yang mempunyai impak  besar untuk pengguna akhir, khususnya rakyat Malaysia. 

 

"Melalui sumbangan ini, kita memajukan negara ke arah hab berteknologi tinggi melalui sains dan teknologi," katanya dalam kenyataan.

 

Pengurus Besar Malaysia Alibaba Cloud Intelligence, Kun Huang pula berkata, menerusi kerjasama ini, ia menyaksikan Agmo sebagai pelanggan antarabangsa pertama rumusan 'SuperApp Enterprise Mobile Application Studio (EMAS)' dalam usahanya memacu evolusi EV menggunakan kuasa teknologi terunggul mereka.

 

 

agmo
                                                                                    Kun Huang

 

 

"SuperApp EV yang dibina berdasarkan teknologi awan termaju dan penyelesaian digital kami boleh dihubung dengan mudah menggunakan ekosistem superapp kami, yang pasti dapat membuka banyak peluang perniagaan serta memberikan pengalaman lancar kepada pengguna tempatan," katanya.

 

Ketua Pegawai Eksekutif Agmo, Tan Aik Keong berkata, pelancaran Agmo EV Superapp menandakan satu pencapaian penting dibawah strategi berterusan Agmo dalam mempercepatkan peralihan negara ke arah mobiliti elektrik, terutamanya memandangkan isu ‘kerisauan jarak’ yang sentiasa wujud dalam kalangan pemandu EV. 

 

 

agmo
                                                                            Tan Aik Keong

 

 

"Oleh itu, penyepaduan teknikal Superapp EMAS oleh Alibaba Cloud adalah kritikal dalam merealisasikan matlamat kami untuk mewujudkan penyelesaian positif menerusi komuniti EV yang semakin berkembang kerana mereka telah membangunkan rumusan mudah dan boleh dilaksanakan, membolehkan kami memasarkan konsep kami," katanya.

 

 

agmo

 

 

Kerjasama itu menyelaraskan lagi komitmen Alibaba Cloud dan Agmo dalam usaha membantu menjadikan ekonomi Malaysia bernilai tambah tinggi dengan menyediakan persekitaran kondusif sepanjang perjalanan pendigitalannya menerusi teknologi termaju dan rumusan yang diperkemas. 

 

Agmo menyokong sepenuhnya sasaran Kerajaan Malaysia, melalui Pelan Pembangunan Mobiliti Rendah Karbon, untuk menyediakan sebanyak 10,000 stesen pengecas awam untuk EV di Malaysia menjelang 2025. - DagangNews.com