KUALA LUMPUR 18 Mei - Affin Hwang Investment Bank (Affin Hwang) telah mengurangkan pendapatan sesaham (EPS) teras Samaiden Group Berhad pada tahun kewangan 2023 (FY23) sebanyak 34%.
Firma penyelidikan itu menurunkan EPS teras berikutan penambahan semula buku pesanan dan pengebilan kemajuan yang perlahan dengan baki buku pesanannya sebanyak RM269 juta pada akhir 2022.
Menurut firma itu tiga projek Solar Berskala Besar 4 (LSS4) kejuruteraan, perolehan, pembinaan dan pentauliahan (EPCC) kumpulan itu masih dalam fasa awal pembinaan dan pecutan dalam sumbangan pendapatan bergantung kepada penghantaran dan pemasangan panel solar, kerja bernilai tinggi, dalam suku keempat tahun kewangan 2023 (4QFY23).
“Kami mengekalkan EPS teras FY24 tetapi meningkatkan pendapatan FY25 sebanyak 5% memandangkan kami melihat sumbangan pendapatan daripada projek yang sedang berjalan dan baharu. Kami telah mengekalkan andaian kontrak baharu sebanyak RM300 juta setahun dalam FY23 hingga FY25,” tambah firma itu dalam nota hari ini.
Samaiden telah mengemukakan cadangan untuk membangunkan ladang solar 30MW (megawatt), yang akan menghasilkan pendapatan berulang jangka panjang, dan telah menawarkan perkhidmatan EPCC kepada pemaju lain di bawah Program Kuasa Hijau Korporat (CGPP).
“Projek-projek CGPP boleh menyumbang kira-kira RM300 juta kepada buku pesanannya jika diperoleh. Penilaian penyerahan boleh mengambil masa tiga hingga enam bulan justeru kontrak EPCC yang berpotensi di bawah CGPP dijangka meningkatkan buku pesanannya pada FY24,” jelasnya.
Di samping itu, Samaiden juga sedang memuktamadkan rundingan kontrak EPCC untuk projek LSS4 50MW dan projek loji solar penggunaan sendiri (SELCO).
Menurut Affin Hwang, nilai kontrak indikatif adalah kira-kira RM180 juta untuk setiap projek ini dan berpotensi menyumbang kepada buku pesanannya pada 4QFY23 atau FY24 jika rundingan berlarutan dan memerlukan lebih masa untuk memuktamadkan terma kontrak.
Firma itu mengekalkan saranan ‘beli’ dengan harga sasaran (TP) dinaikkan kepada RM1.05 sesaham daripada 92 sen, di mana ia melihat prospek yang baik untuk Samaiden mengembangkan buku pesanan.
Bagaimanapun, Affin Hwang berkata harga saham mungkin lemah dalam jangka pendek berikutan pendapatan FY23 boleh mengecewakan pasaran.
Oleh itu, keuntungan bersih teras FY23 disemak semula kepada RM12.3 juta berbanding ramalan konsensus RM17.4 juta dan pendapatan dijangka lebih rendah sebanyak RM171 juta pada FY23 berbanding ramalan konsensus RM201 juta.
“Namun, kami melihat beberapa pemangkin untuk merangsang penarafan semula yang positif untuk Samaiden dalam jangka sederhana iaitu potensi kemenangan kontrak baharu dan aliran berita positif mengenai inisiatif kerajaan untuk mengembangkan kapasiti penjanaan tenaga boleh diperbaharui (RE) di Malaysia yang memberi manfaat kepada kontraktor RE EPCC seperti Samaiden,” katanya. -DagangNews.com








