Aerotrain KLIA dijangka beroperasi semula akhir 2024 - MOT | DagangNews Skip to main content

Aerotrain KLIA dijangka beroperasi semula akhir 2024 - MOT

KUALA LUMPUR 26 Mac - Perkhidmatan aerotrain Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dijadual beroperasi semula pada akhir tahun ini atau selewat-lewatnya Mac 2025.

 

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, jangka masa itu mengambil kira kesediaan kontraktor dari sudut teknikal dan infrastruktur.

 

Katanya, skop pelan penggantian aerotrain di KLIA T1 merangkumi beberapa aspek iaitu sistem APM membabitkan kenderaan, isyarat dan rel kuasa.

 

"Selain itu, infrastruktur dan sistem lain yang diperlukan untuk sama ada pengubahsuaian, pemulihan, pengganti bagi menampung APM baru melibatkan 'Track 1,2 dan 3', penyelenggaraan, penyimpanan dan kemudahan bangunan (Depot), sistem agihan kuasa serta komunikasi," katanya.

 

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Datuk Seri M Saravanan (BN-Tapah) yang mahu mengetahui status aerotrain KLIA memandangkan ia amat penting untuk memastikan keselesaan dan kemudahan penumpang dalam perjalanan melalui lapangan terbang itu.

 

Sejak kerja penggantian dilaksana, orang ramai perlu menggunakan bas sementara untuk ke terminal menaiki pesawat.

 

Keadaan itu menyebabkan kesukaran kepada ribuan penumpang di KLIA setiap hari khususnya warga emas dan kanak-kanak yang perlu berjalan lebih jauh untuk menuju ke tempat menunggu bas.

 

Projek penggantian aerotrain itu kini diusahakan oleh konsortium yang terdiri daripada Alstom Transport Systems (Malaysia) Sdn Bhd, IJM Construction Sdn Bhd (IJMC) dan Pestech Technology Sdn Bhd. - DagangNews.com