Aeon tidak merancang buka pusat beli-belah baharu dalam masa terdekat, kata Maybank IB | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Aeon tidak merancang buka pusat beli-belah baharu dalam masa terdekat, kata Maybank IB

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 22 Mei - Aeon Co (M) Berhad tidak merancang untuk membuka pusat beli-belah baharu dalam jangka masa terdekat.

 

Maybank Investment Bank (Maybank IB) berkata, sebaliknya kumpulan itu akan memberi fokus kepada meremajakan dua pusat beli-belah sedia ada iaitu di Cheras Selatan dan Ayer Keroh, Melaka menjelang akhir 2023.

 

Katanya, pada masa sama mereka akan membuka Daiso dan kedai Aeon Wellness baharu di dalam pusat beli-belah berkenaan. 

 

"Prestasi pendapatan kumpulan itu dijangka stabil pada suku tahun berikut dengan sambutan Hari Raya Aidilfitri memacu jualan runcit dan trafik pusat membeli-belah pada suku kedua 2023.

 

"Walaupun momentum lemah selepas sambutan Hari Raya Aidilfitri, pihak pengurusan percaya aktiviti pusat beli-belah yang dirancang pada FY23 akan dapat mengimbangi sebahagian sentimen pengguna yang lebih lemah," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Firma itu berkeyakinan bahawa pendekatan sasaran kumpulan dalam penawaran produk berasaskan komuniti membuahkan hasil dengan sumbangan pendapatan perkhidmatan pengurusan runcit dan hartanah yang stabil dijangka pada suku akan datang.

 

Katanya, pengurusan kos yang ketat juga akan memastikan peningkatan dalam kos operasi diminimumkan.

 

"Kadar penghunian suku pertama 2023 meningkat kepada 91.6% (daripada 89.7% pada suku pertama 2022).

 

"Nisbah sewa tetap dan berubah kini ialah 59:41 dan pengurusan merancang untuk mengekalkan nisbah ini untuk baki FY23.

 

"Kumpulan itu juga menyasarkan untuk mengurangkan kos elektrik  antara 11% hingga 13% pada 2023 menerusi pemasangan panel solar di semua pusat beli-belah mereka," katanya. 

 

Firma itu mengekalkan saranan 'beli' dengan harga sasaran (TP) RM2.00 sesaham. - DagangNews.com