KUALA LUMPUR 17 Julai - Selepas 16 tahun bertapak di Sunway Pyramid, Subang Jaya, pusat beli-belah Aeon akan menghentikan operasinya secara rasmi pada 31 Julai ini.
Sunway Pyramid menerusi hantaran di Facebooknya berkata, pihaknya menzahirkan penghargaan kepada perjalanan Aeon selama 16 tahun yang tidak dapat dilupakan bagi menyediakan komuniti dengan barangan keperluan semasa jatuh bangun.
"Dengan berat hati, Lion (maskot Sunway Pyramid) mengucapkan selamat tinggal dan mari kita sama-sama menyusuri lorong kenangan dengan melawat Aeon buat kali terakhir sebelum 31 Julai," katanya.
Dalam pada itu, Sunway Pyramid turut memaklumkan beberapa rancangan pengubahsuaian yang akan datang untuk penggunaan ruang itu selepas ketiadaan Aeon.

Menurut laman web Sunway Pyramid, ia akan mengalami satu fasa baharu dan bertujuan untuk membawa suasana yang lebih moden dan segar di setiap sudut ruang pusat beli belah tersebut. - DagangNews.com








