Abd Rahman, Yasmin dilantik sebagai Pengarah MBSB baharu bermula 5 Disember 2023 | DagangNews Skip to main content

Abd Rahman, Yasmin dilantik sebagai Pengarah MBSB baharu bermula 5 Disember 2023

Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 5 Dis - Tan Sri Abd Rahman Mamat dan Datuk Yasmin Mahmood dilantik sebagai Pengarah Malaysia Building Society Berhad (MBSB) baharu berkuatkuasa pada 5 Disember 2023.

 

Menurut makluman di Bursa Malaysia hari ini, Abd Rahman, 71, yang dilantik sebagai Pengarah Bebas Bukan Eksekutif MBSB juga merupakan pengerusi di empat syarikat iaitu MCE Holdings Berhad, Lotte Chemical Titan Holding Berhad, ECA Integrated Solutions Berhad dan Malaysian Industrial Development Finance Berhad (MIDF).

 

Beliau menyertai Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) pada April 1975 sebagai Penolong Pengarah.

 

Sepanjang 35 tahun kerjayanya di MITI, beliau memegang pelbagai jawatan kanan sebelum bersara pada Disember 2010.

 

Sepanjang tempoh 35 tahun beliau di MITI, Abd Rahman turut berkhidmat sebagai wakil MITI dalam lembaga pengarah pelbagai syarikat berkaitan kerajaan termasuk Lembaga Kemajuan Perindustrian Malaysia (MIDA); Johor Corporation; Lembaga Kemajuan Ekonomi Wilayah (RECODA) Sarawak; Small and Medium Corporation Malaysia (SME Corp); Perbadanan Pembangunan Ekonomi Negeri Pahang; Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE), Kumpulan Industri-Kerajaan Malaysia bagi Teknologi Tinggi (MIGHT) dan Perbadanan Pembangunan Teknologi Malaysia (MTDC).

 

Beliau juga merupakan ahli kehormat Persekutuan Pertubuhan Kejuruteraan ASEAN, Pemimpin Malaysia bagi Pasukan Petugas Peringkat Tinggi Integrasi tentang Ekonomi ASEAN dan ahli PEMUDAH (Pasukan Petugas Khas Pemudahcara Perniagaan).

 

Beliau mempunyai Ijazah Sarjana Muda Ekonomi (Kepujian) dari Universiti Malaya dan menyertai Program Pengurusan Lanjutan di Harvard Business School, Boston.

 

Sementara itu, Yasmin, 60, dilantik sebagai Pengarah Bukan Bebas Bukan Eksekutif MBSB.

 

Beliau juga merupakan Pengarah Bebas di Bintulu Port Holdings Berhad; UMW Holdings Berhad dan Citaglobal Berhad, di samping memegang peranan Pengerusi Skymind Holdings Berhad dan Pengarah MIDF.

 

Menurut portfolio beliau di laman web UMW, Yasmin telah berkhidmat dalam industri teknologi selama lebih 31 tahun, baik di sektor swasta mahupun awam.

 

Beliau memulakan kerjayanya sebagai pengaturcara penganalisis sebelum menyandang jawatan ketua pegawai eksekutif dan jawatan kanan dalam Malaysia bagi jenama global seperti Pengarah Serantau Dell Asia Pasifik dan Pengarah Urusan Microsoft Malaysia.

 

Selain itu, beliau dilantik sebagai Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) dari 2015 hingga 2019 dan sebelum itu, beliau merupakan Pengarah Eksekutif di YTL Communications Sdn Bhd.

 

Yasmin mempunyai Ijazah Sarjana Muda Sains Komputer dan Matematik Gunaan, Universiti New South Wales, Sydney, Australia dan Ijazah Kehormat Doktor Pengurusan (Honoris Causa) UNITAR. - DagangNews.com