97.71% pekerja p-hailing adalah golongan belia - DOSM | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

97.71% pekerja p-hailing adalah golongan belia - DOSM

Gambar hiasan

KUALA LUMPUR 17 Feb - Kajian Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) melibatkan 6,657 pekerja p-hailing mendapati 97.71% daripada mereka adalah belia berusia 15 hingga 30 tahun, manakala 2.29% lagi terdiri daripada warga emas berumur 60 tahun ke atas.


 
DOSM dalam kenyataan hari ini memaklumkan, kajian yang dijalankan dari 1 Mac hingga 31 Disember 2022 mendapati, kebanyakan pekerja p-hailing mempunyai tahap pendidikan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) / Sijil Pelajaran Malaysia Vokasional (SPMV) atau setaraf (39.54%), kelulusan Diploma dan setaraf (23.24%) dan Ijazah Sarjana Muda (11.79%).

 

Katanya, dapatan juga menunjukkan 0.21% pekerja p-hailing adalah kelompok yang tidak bersekolah dan 0.99% tidak mempunyai sebarang kelayakan akademik.

 

Menurutnya, 73.98% pekerja p-hailing menjadikan pekerjaan itu sebagai sumber pendapatan utama, manakala 70.35 peratus menjadikannya sebagai pekerjaan utama, selain 29.65% tidak menjadikan p-hailing sebagai pekerjaan utama mereka.

 

Mengenai perlindungan sosial pula, kajian itu mendapati 72.25% responden mencarum dengan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso), dan hanya 22.5% yang mencarum dengan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

 

Menurut kenyataan itu, terdapat peningkatan pendapatan pekerja p-hailing selepas menyertai aktiviti penghantaran makanan dan barangan, dengan pendapatan tertinggi yang diperoleh antara RM1,501 hingga RM2,499 (26.78%), diikuti RM1,500 dan ke bawah (23.39%) serta RM2,500 hingga RM3,170 (11.67%).

 

“Terdapat 36.61% pekerja p-hailing mempunyai simpanan mahu pun pelaburan sendiri manakala 63.39% tidak mempunyai apa-apa simpanan.

 

 

dosm

 

 

“Dari segi pemilikan polisi insuran didapati 45.7% pekerja p-hailing mempunyai polisi insurans sendiri manakala 54.93% adalah sebaliknya,” katanya.

 

Katanya, waktu bekerja pekerja p-hailing dalam seminggu menunjukkan tiga kategori tertinggi ialah yang bekerja antara tempoh 49 jam hingga 84 jam (30.79%), 30 jam hingga 48 jam (25.84%) dan kurang daripada 30 jam (25.42%).

 

Kajian itu juga mendapati lima sebab utama pekerja p-hailing menyertai bidang perkhidmatan itu adalah untuk menampung perbelanjaan harian, membantu keluarga, mempunyai masa bekerja fleksibel, membuat simpanan dan tidak terikat dengan peraturan atau kontrak pekerjaan.

 

Tambah kenyataan itu, terdapat lima tumpuan strategik yang meliputi 19 inisiatif dan 19 pelan tindakan yang dicadangkan hasil kajian itu, antaranya memastikan kebajikan pekerja p-hailing dilindungi di bawah perundangan perburuhan atau yang setara.

 

Selain itu, menyediakan saluran aduan dan komunikasi sesuai bagi menyelesaikan pertikaian antara syarikat penyedia perkhidmatan dan pekerja. - DagangNews.com