KUALA LUMPUR 21 Sept - Jualan 5 juta tempat duduk percuma AirAsia yang dilancarkan pada Isnin lalu mendapat sambutan hebat dengan setengah juta tempat duduk dijual bagi penerbangan jarak dekat dan jauh dalam masa 48 jam.
Ini menandakan jualan pecah rekod untuk AirAsia dengan jumlah tempat duduk tertinggi dijual pada setiap hari sejak bermulanya COVID-19.
Hampir setengah juta tempat duduk telah ditempah hanya dalam masa dua hari pertama sahaja, membuktikan satu pencapaian luar biasa untuk syarikat penerbangan dan industri pelancongan secara keseluruhan berikutan sekatan perjalanan hampir tiga tahun.
Antara destinasi jarak dekat popular yang telah ditempah menerusi jualan tempat duduk percuma adalah Langkawi, Pulau Pinang dan Kota Kinabalu di Malaysia serta Phuket, Krabi dan Chiang Mai di Thailand, Bali di Indonesia dan Cebu di Filipina.
Ketua Pegawai Eksekutif Capital A, Tan Sri Tony Fernandes berkata, sama seperti 21 tahun lalu apabila AirAsia mula melancarkan jualan besar-besaran, mereka kini kembali menumpukan kepada media tradisional.
"Saya berbesar hati kerana sokongan kami terhadap media tradisional yang turut menyokong AirAsia menghasilkan jualan harian pecah rekod.
"Pencapaian hari ini amat membanggakan setelah hampir tiga tahun kami menempuh tempoh sukar untuk melihat kami melepasi rekod jualan harian pra-COVID sebanyak 230,000 pada bulan Januari 2020.

"Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Allstars di jabatan komersial, penjenamaan dan komunikasi kerana semangat mereka membawa kami terbang lebih tinggi," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Sementara itu, penerbangan jarak jauh melalui AirAsia X dan Thai AirAsia X turut tersedia dengan tambang lebih nilai bermula daripada RM499 (termasuk cukai dan caj berkenaan).
Penerbangan ke destinasi popular itu meliputi dari Kuala Lumpur dan Bangkok ke Korea Selatan, (Seoul), Australia (Melbourne, Sydney, Perth, Auckland), India (New Delhi) dan destinasi baharu ke Timur Tengah (Jeddah) dan Jepun (Tokyo dan Sapporo).
Para tetamu disarankan untuk menempah penerbangan segera kerana jualan hebat ini akan berakhir pada 25 September 2022. - DagangNews.com








