5 perkara penentu prestasi pasaran Malaysia pada Ogos | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

5 perkara penentu prestasi pasaran Malaysia pada Ogos

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
[email protected]

 

KUALA LUMPUR 7 Ogos - Berdasarkan data sejarah FBM KLCI, pasaran Malaysia cenderung berprestasi negatif pada bulan Ogos, dengan pulangan negatif 0.8% hingga 1.8%.

CGS-CIMB Research (CGS-CIMB) dalam laporan analisisnya melihat KLCI pada bulan ini akan dipengaruhi oleh lima peristiwa atau prospek yang akan berlaku sepanjang bulan. 

“Pasaran pada Ogos akan memfokuskan angka Keluaran dalam negara kasar (KDNK) suku kedua menjelang 14 Ogos ini, keputusan kajian semula indeks MSCI pada 12 Ogos.

“Keputusan suku kedua bagi syarikat-syarikat di Malaysia, persidangan Dewan Rakyat, perkembangan terkini berhubung Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah dan keputusan kerajaan terhadap pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) yang berakhir 31 Ogos depan,” jelas CGS-CIMB. 

Mengambil kira faktor berkenaan, CGS-CIMB menjangkakan KLCI akan mencapai paras 1,550 pada penghujung tahun ini berdasarkan target nisbah harga perolehan (P/E) 16 kali ganda. 

“Kami menggalakkan pelabur untuk kekal bertahan, dan mereka yang cenderung terhadap pasaran berisiko pula dinasihatkan untuk menceburi kitaran terpilih yang menawarkan nilai tinggi,” tambah CGS-CIMB.

Dalam pada itu, prestasi pasaran Malaysia pada separuh kedua 2020 pula akan didorong oleh Pilihan Raya Ke-15 (PRU15), nilai tinggi atau penggabungan dan pengambilalihan (M&A), hasil dividen, benefisiari dan pemulihan COVID-19.

Sementara itu, pasaran Malaysia pada bulan Julai menyaksikan semua pemain industri sarung tangan menduduki carta teratas sekali gus mendorong KLCI kekal positif hampir mencapai paras 1,600. 

Syarikat peruncitan juga menyumbang kepada pemulihan pasaran pada Julai dan menjadi pembeli utama ekuiti bernilai RM2.1 bilion.

“Pembuat sarung tangan mendominasi senarai teratas hampir setiap hari pada bulan Julai dan menyumbang kira-kira 89% kepada keuntungan mata atau 86% dalam indeks KLCI,” jelas CGS-CIMB. - DagangNews.com