30 cawangan jenama teh premium Chagee bakal peroleh pensijilan halal menjelang akhir tahun ini | DagangNews Skip to main content

30 cawangan jenama teh premium Chagee bakal peroleh pensijilan halal menjelang akhir tahun ini

Chagee menyasarkan pembukaan sejumlah 300 cawangan di seluruh Malaysia menjelang akhir 2025.
Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 26 Sept -  Jenama teh premium, Chagee Malaysia mengumumkan penerimaan sijil halal daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) untuk lima cawangannya, dengan 30 lagi cawangan dijangka mendapat sijil tersebut menjelang 2023. 

 

Menurut Timbalan Pengurus Besar Chagee Malaysia, Ng Jia Jun, dengan sijil halal ini, penggemar teh boleh menikmati minuman Chagee kegemaran mereka dengan penuh yakin dan tanpa was-was, terutamanya masyarakat Islam yang merupakan populasi terbesar di Malaysia.

 

"Sama ada anda menikmati adunan teh susu segar klasik atau mencuba teh buah-buahan hasil ciptaan inovatif kami, anda diberi jaminan bahawa setiap cawan teh Chagee memenuhi piawaian halal yang tertinggi dan juga piawaian operasi dan keselamatan makanan," katanya dalam kenyataan media di sini, hari ini.

 

Pada majlis tersebut, Penolong Pengarah Kanan JAKIM, Mohd Shahril Abd Samat menyampaikan sijil halal kepada Chagee, sekali gus membuktikan komitmen untuk memenuhi piawaian halal dan memastikan rangkaian tehnya mematuhi keperluan syariah pelanggan Islam. 

 

Dengan peningkatan keyakinan pelanggan menerusi sijil halal JAKIM, di samping prospek pasaran cerah dan trend minum teh yang semakin berkembang, Chagee berhasrat meluaskan rangkaian cawangan daripada 70 yang sedia ada kepada sejumlah 300 cawangan di seluruh Malaysia menjelang akhir 2025.

 

Ia sebagai sebahagian daripada visi jangka panjang untuk mengukuhkan dan mengembangkan budaya minum teh di negara ini. 

 

Setakat ini, Chagee telah menjual lebih daripada 10 juta cawan teh di Malaysia dan akan meneruskan trend ini menerusi rancangan peluasannya untuk mencapai lebih ramai pelanggan.

 

 

chagee

 

 

Chagee sememangnya merupakan pelopor trend, sebagai salah satu rangkaian kedai bertumpukan teh serantau yang paling awal untuk mencetus kebangkitan minuman teh generasi baharu sejak 2017. 

 

Jejak Chagee telah diperluas ke seluruh rantau, dengan tapak yang kukuh di Asia Pasifik, termasuk Malaysia, Thailand, Singapura dan negara-negara lain. 

 

Dengan lebih daripada 2,400 cawangan di serata dunia, Chagee erus menyatukan hati peminat teh di seluruh dunia, dengan berkongsi minat mendalamnya untuk nikmat teh yang berkelainan. 

 

Untuk meraikan penerimaan sijil halal serta pelanggan terhadap mercu jaya penting ini, Chagee membawakan kembali kempen paling popularnya, iaitu promosi “Big Big News, Big Big Tear & Win!” pada 7 Oktober 2023.

 

Hadiah-hadiah menarik termasuk Beg Dior Saddle Pouch, pemegang kad Gucci, Gincu YSL, Losyen L’Occitane,Beg Beli Belah dUCK, Teh Susu Chagee dan banyak lagi. 

 

Pelanggan hanya perlu membeli Teh Susu Oolong Pic Putih, Teh Susu Hijau Jasmin atau Teh Susu Da Hong Pao saiz besar (700 ml) dan minuman mereka akan dinaik taraf secara automatik kepada saiz Big Big Cup. Mereka boleh terus membuka bahagian bawah cawan untuk mendedahkan hadiah istimewa kemenangan mereka. - DagangNews.com