KUALA LUMPUR 18 Julai - Universiti Putra Malaysia (UPM) melancarkan siri program mobiliti pelajar ‘Putra Madani Outreach Innovation Technology of Japan 2023-2024’ yang merupakan program Semarak Siswa Madani Antarabangsa pertama daripada lima siri pada Julai, September dan November 2023 serta Januari dan Mac 2024.
Penaung program, Prof Dr Arifin Abdu berkata, program itu bertujuan mengembangkan ilmu dan kemahiran pelajar UPM dengan kemajuan teknologi di Jepun melalui kerjasama jangka panjang dengan Kyushu Institute of Technology (Kyutech) yang telah terjalin sejak 2012 hingga 2019 dan secara dalam talian pada 2022 dan 2023.
Beliau berkata, usaha UPM menyokong hasrat Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin agar negara menerapkan kemahiran dan kecekapan teknologi yang bersifat ‘kalis masa depan’.
Katanya, pada bulan lalu, Mohamed Khaled yang mengadakan perbincangan dengan Menteri Pendidikan, Kebudayaan, Sukan Sains dan Teknologi Jepun, Keiko Nagaoka bersetuju untuk penglibatan lebih ramai pelajar Malaysia dan Jepun dalam program pertukaran pelajar kedua-dua negara.
"Kyutech merupakan universiti di Jepun yang tersohor dalam bidang kejuruteraan sains dan teknologi. Kemajuan sains dan teknologi Jepun yang maju dalam jangka masa singkat mampu menyediakan platform kepada mahasiswa Malaysia untuk mempelajari amalan ilmu teknologi terkini Jepun," katanya dalam kenyataan media di sini.
Arifin yang juga Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UPM berkata, pada siri pertama, seramai 25 pelajar UPM akan menjalani program mobiliti itu di Kyutech dari 19 Julai hingga 1 Ogos dengan kerjasama Persatuan Kebajikan Mahasiswa Negeri Johor (Perkasa Johor UPM) dan Yayasan Pelajaran Johor.
Beliau yang merupakan pelopor dan aktivis hubungan mobiliti pelajar UPM dan Kyutech sejak 2013 berkata, hubungan kedua-dua institusi itu merentasi jaringan penyelidikan dan saintifik, program akademik seperti dual-degree program, mobiliti pelajar kebudayaan dan akademik.

"Aktiviti-aktiviti ini dapat memberi peluang kepada peserta daripada kedua belah pihak untuk bertukar pandangan, dan ilmu berkaitan teknologi yang berkaitan. Sebanyak 21 siri lawatan antara UPM-Kyutech telah melibatkan pelajar sejak 2013.
"Pelajar UPM juga ibarat duta yang membawa nilai-nilai murni gagasan Malaysia MADANI seiringan dengan pertembungan nilai-nilai murni pelajar Jepun kelak," katanya.
Katanya, program 'outbound' pelajar UPM ke Kyutech memberi peluang kepada pelajar untuk mengikuti sebahagian pengajian akademik di Kyutech dalam bidang kejuruteraan, bioteknologi, robotik dan sains angkasa kerana ia diiktiraf oleh Jepun sebagai salah satu institusi pengajian tinggi terbaik dalam melahirkan saintis dalam teknologi robotik dan sains angkasa.

"Perkongsian ilmu pengetahuan antara peserta dan pelajar Kyutech memberi kelebihan kepada UPM dalam usaha melahirkan pelajar yang mempunyai pengalaman dan pengetahuan di peringkat global dalam bidang berkaitan.
"Penghayatan enam nilai teras MADANI dan nilai-nilai murni bangsa Jepun boleh membantu Matlamat Pembangunan Lestari (SDGs) yang difokuskan oleh pengurusan Kyutech untuk manfaat pelajar Malaysia dan Jepun," katanya. - DagangNews.com








