Lelaki berpoligami lebih stres dari lelaki monogami? | DagangNews Skip to main content
DagangNews.com
Anekdot Mawarith - 15 May 2024

LELAKI BERPOLIGAMI LEBIH STRES DARI LELAKI MONOGAMI?

 

 

 

BEBERAPA hari lepas, saya berpeluang duduk sesi ‘mengopi’ dengan beberapa kenalan yang sebaya.

 

Kebanyakan daripada kami ialah pemilik perniagaan dan sesi ini bermula seperti apa yang kami maksudkan iaitu berkongsi pengalaman perniagaan, ‘networking’ di samping berbincang hala tuju ekonomi tempatan dan global.

 

Saya memang suka sesi begini sebab ia membuka perspektif baru kepada saya terutamanya apabila mendengar pengalaman kenalan yang telah berjaya membawa perniagaannya ke tahap baru yang lebih tinggi.

 

Sehinggalah topik perbincangan itu bertukar kepada topik misteri yang masih saya tiada jawapannya sehingga hari ini iaitu ‘kenapa lelaki berumur ramai berpoligami’?    

 

Ramai kenalan saya ini berkongsi cerita sipolan sipolan yang bernikah di sempadan dengan isteri kedua, ketiga dan keempat. Siapa kata lelaki tidak bergosip?

 

Subjek-subjek cerita ini pula semuanya rakan sebaya dengan kami iaitu lelaki yang umurnya telah melebihi 50 tahun!

 

Semua cerita ini menjurus kepada kesimpulan yang sama iaitu lelaki yang berpoligami kehidupannya lebih tertekan berbanding dengan lelaki monogami seperti kami!

 

 

anekdot mawarith

 

 

Saya sudah terlibat dalam industri perancangan harta orang Islam selama 26 tahun. Antara situasi kritikal yang kerap saya temui ialah kes perbalahan harta pusaka apabila suami berpoligami meninggal dunia.

 

Walaupun mungkin semasa hidupnya si suami, kedua-dua keluarga pertama dan keluarga kedua ini kelihatannya ‘tenang’, (ramai kawan saya yang berada di dalam situasi ini berkata bahawa isteri-isteri mereka ‘OK’ ) , dalam banyak keadaan, perang akan tercetus sebaik si suami mati.  

 

Sangat jarang berlaku (walaupun ada) , isteri pertama dapat bertolak ansur dan berkompromi dengan isteri kedua.

 

Isteri pertama akan sentiasa berfikir bahawa isteri kedua itu berkahwin dengan suaminya kerana harta memandangkan mereka berkahwin ketika suaminya telah stabil dari segi kewangan serta telah berumur.

 

Sangat jarang juga berlaku (walaupun ada) , adik-beradik tiri anak-anak isteri pertama dan kedua, dapat hidup mesra dan harmoni sesama mereka.

 

Mereka akan sentiasa berpandangan bahawa keluarga kedua itu adalah ‘perampas’ kebahagiaan mereka yang telah dibina puluhan tahun.

 

Anak-anak keluarga pertama akan berdendam dengan anak-anak keluarga kedua kerana merasakan ayah mereka telah beralih kasih.

 

Anak-anak keluarga pertama akan menjadi sangat defensif dan dalam keadaan tertentu akan berdendam dengan ayah kerana telah ‘menganiaya’ ibu mereka.

 

 

anekdot mawarith

 

 

Bagi si suami pula, selepas berpoligami, dia sentiasa mengharapkan isteri-isterinya boleh berdamai dan hidup harmoni di dalam satu keluarga.

 

Dalam banyak kes saya dapati memang suami sangat sayang dengan semua anak-anaknya baik daripada isteri pertama ataupun isteri kedua.

 

Kasih sayangnya kepada keluarga pertama tidak pernah berkurangan walaupun dia sudah mempunyai keluarga kedua.

 

Si suami mencuba sedaya-upaya membuat apa sahaja agar keluarganya hidup tenang dan bahagia namun apabila saya memerhatikan ‘body language’ kedua-dua keluarga ini, usaha si suami ini sebenarnya kurang berjaya.

 

Keluarga pertama mungkin kelihatan tenang namun mereka menunggu detik yang sesuai untuk bertindak. Keluarga kedua pula walaupun kelihatan tenang namun cuba sedaya-upaya untuk mendapatkan seberapa banyak hak yang boleh memandangkan masih ada anak kecil.

 

Akhirnya ketenangan dan kebahagian yang dicari suami tidak kesampaian. Dia lebih stres sekarang berbanding dengan ketika beristeri seorang.

 

Banyak suami berpoligami yang saya temui mengadu stres dan menghidap pelbagai penyakit akibat stres itu.

 

Apabila si suami jatuh sakit pula, dalam banyak keadaan, keluarga pertamalah yang akan menguruskannya.

 

 

anekdot mawarith

 

 

Keadaan ini menimbulkan ketidakpuasan hati keluarga pertama pula kerana merasakan keluarga kedua tidak mahu mengambil tanggungjawab itu dan hanya mahukan harta.

 

Keluarga kedua sebenarnya bukan tidak mahu mengambil tanggungjawab itu tetapi bimbang dikatakan cuba mengambil kesempatan untuk merebut harta pula.

 

Memang serba salah keadaannya. Si suami semakin stres dan sakit !

 

Saya ini cucu sulung daripada anak sulung kepada nenek sulung. Datuk saya beristeri empat. Daripada kanak-kanak saya memerhatikan keluarga ini di depan mata saya.

 

Dalam kalangan empat nenek ini, hidupnya tenang dan harmoni. Mungkin juga ada percikan api di antara mereka, namun ia berjaya dikawal arwah datuk saya.

 

Walaupun mungkin di antara anak-anak kesemua isteri ini, wujud perasaan yang saya sebutkan di atas tadi, namun ia tidak serius sehingga memutuskan hubungan.

 

Kebelakangan ini saya melihat hubungan ibu saya dengan semua adik-beradiknya baik dan mesra. Mereka saling ambil berat antara satu sama lain.

 

Namun ini situasi dahulu. Datuk saya pun telah meninggal dunia pada 1988. Orang tua dahulu hidup dalam situasi berbeza dan mereka juga lengkap berilmu untuk mengemudi empat keluarga serentak.

 

Ramai salah anggap kerana menyangkakan ‘kemampuan’ untuk berpoligami itu hanya berkaitan harta sahaja.

 

 

anekdot mawarith

 

 

Mereka fikir hanya kerana mereka berharta maka layaklah mereka berpoligami. Mereka lupa sepenuhya bahawa ilmu berpoligami itu jauh  lebih penting.

 

Kerana kegagalan itulah menyebabkan ramai suami berpoligami stres lebih teruk daripada suami monogami seperti saya.

 

Jadi kepada rakan-rakan sebaya saya di luar sana, fikirkanlah panjang lebar sebelum anda berpoligami.

 

Jika di dalam peringkat umur yang semakin senja ini anda lebih menghargai ketenangan dalam kehidupan melebihi segala-galanya (seperti saya) dan tiada keupayaan ilmu untuk berpoligami, janganlah ambil risiko itu.

 

Anda bukan sahaja meletakkan diri anda di dalam stres, malah semua orang di sekeliling anda juga akan turut terjejas.

 

Namun jika anda telah bersedia secukupnya dengan ilmu poligami dan bersedia juga  untuk berhadapan dengan pelbagai ombak ujian dan stres, silakanlah.

 

 

wainuiomata

 

 

Bagi memastikan urusan  harta pusaka selepas ketiadaan anda kelak bermasalah, jumpalah Wasiyyah Shoppe Berhad.

 

Insya-Allah kami boleh membantu anda merancang harta mengikut kaedah Syariah supaya semua hak keluarga pertama dan keluarga kedua dapat dipertahankan.

 

 

KLIK DI SINI UNTUK KOLEKSI ARTIKEL ANEKDOT MAWARITH

 

 

 

 

Ariffin Sabirin
Tn Hj Ariffin Sabirin adalah Pengasas dan CEO Wasiyyah Shoppe Bhd

 

 

dagangnews

 

Portfolio Tags