Ibu bapa ada anak perempuan sahaja, ketahuilah sepupu kepada anak anda berpotensi mewarisi rumah anda! | DagangNews Skip to main content
DagangNews.com
Anekdot Mawarith - 17 January 2024

IBU BAPA ADA ANAK PEREMPUAN SAHAJA, KETAHUILAH SEPUPU KEPADA ANAK ANDA BERPOTENSI MEWARISI RUMAH ANDA!

 

 

 

 

 

PENULISAN saya kali ini agak berbeza. Saya akan membawa penceritaan berkaitan harta pusaka yang banyak berlaku di dalam masyarakat namun masih banyak yang tidak terungkai.

 

Saya akan bercerita bagaiamana sepupu mendapat hak ke atas harta pusaka.

 

Ali (bukan nama sebenar) berkahwin dengan Sabrina (bukan nama sebenar) dan perkahwinan 20 tahun mereka dikurniakan dua orang anak perempuan, Rozlin dan  Rozlina. Ali mempunyai tiga orang adik lelaki manakala ibubapanya telah lama meninggal dunia.


 

mawarith

 


Ali seorang pelajar pintar dan melanjutkan pelajarannya sehingga ke luar negara. Sebagai pemegang biasiswa sebuah syarikat petroleum terkenal, Ali memulakan kerjayanya sebagai jurutera kimia sebaik sahaja menamatkan pengajiannya. Dengan pendapatannya sebagai seorang profesional, keluarga ini hidup selesa.

 

Tiga adik Ali kurang cemerlang dari segi pelajaran dan menetap di kampung sambil mengusahakan tanah kebun peninggalan arwah ayah dan ibu mereka. Mereka juga telah berkahwin dan mempunyai anak masing-masing.

 

Satu hari ketika bekerja di luar negara, Ali diserang sakit jantung dan meninggal dunia. Berita ini mengejutkan semua ahli keluarga dan kenalan kerana Ali dikenali sebagai seorang yang aktif bersukan.

 

Sabrina trauma dengan kematian Ali kerana sebagai suri rumahtangga yang tidak mempunyai pendapatan, dia kini ditinggalkan pula dengan tanggungjawab untuk membesarkan Rozlin dan Rozlina bersendirian.

 

Ali meninggalkan harta alih yang banyak seperti wang tunai, akaun CDS dan asb, namun yang paling dirisaukan Sabrina ialah rumah kerana di situlah tempat mereka tiga beranak berteduh.

 

Keseluruhan harta alih Ali dianggarkan bernilai RM2 juta manakala rumahnya bernilai RM3 juta.

 

Sabrina faham mengikut hukum faraid, selain dirinya yang mewarisi 9/72 dan anak-anak perempuannya mewarisi 24/72 bahagian, baki harta pusaka Ali juga diwarisi oleh adik-adiknya kerana mereka tidak mempunyai anak lelaki.

 

Namun ketika perbincangan tentang harta pusaka Allahyarham Ali berjalan, Sabrina lega kerana secara lisan kesemua adik Ali telah menyatakan persetujuan untuk melepaskan hak masing-masing yang sebanyak 5/72 bahagian kepada anak-anak saudara mereka.

 

Mereka faham walaupun mereka mempunyai hak mengikut hukum faraid, anak-anak saudara mereka lebih memerlukannya. Kaedah pelepasan hak ini dipanggil ‘takharruj’.


 

mawarith

 


Ketika di dalam proses pengumpulan dokumen untuk urusan tuntutan harta pusaka, salah seorang adik Ali meninggal dunia akibat kemalangan. Adik itu mempunyai lima orang anak lelaki tetapi isterinya telah lama meninggal dunia.

 

Secara tidak langsung, bahagian 5/72 yang diwarisi adik itu daripada harta pusaka Ali, kini telah menjadi milik lima anak-anaknya iaitu setiap seorang mendapat 1/72 bahagian. Kesemua anak-anak ini berumur di bawah 18 tahun.

 

Ketika proses perbicaraan dijalankan, dua adik Ali telah menyatakan persetujuan untuk melepaskan bahagian mereka sebanyak 5/72 setiap seorang itu kepada Rozlin dan Rozlina.

 

Namun bagi bahagian seorang lagi adik Ali yang telah meninggal dunia, bahagian 5/72 itu telah diwariskan kepada anak-anaknya sebanyak 1/72 setiap seorang.

 

Mereka tiada kuasa untuk melepaskan bahagian kerana mereka masih di bawah umur 18 tahun. Bahagian mereka itu dipegang secara amanah oleh salah seorang adik lelaki Ali sebagai bapa saudara sebapa mereka.

 

Apabila proses perbicaraan kuasa ini selesai, telah diperintahkan bahawa harta alih seperti wang tunai, akaun ASB dan akaun CDS yang bernilai RM2 juta itu, 5/72 bahagian daripadanya iaitu RM138,888 perlu diserahkan kepada Amanah Raya Berhad untuk dipegang bagi pihak lima orang anak saudara tadi.

 

Manakala bagi rumah pusaka Ali, bahagian 5/72 yang berhak ke atas lima orang anak-anak ini didaftarkan di atas nama salah seorang adik Ali sebagai pemegang amanah.

 

Di dalam kes ini, adik-adik Ali yang telah dewasa boleh membuat keputusan untuk melepaskan bahagian mereka kepada Rozlin dan Rozlina namun lima anak saudara yang merupakan anak kepada salah seorang adik yang meninggal dunia selepas Ali itu, keputusan melepaskan bahagian tidak boleh mereka buat kerana mereka masih di bawah umur.

 

Ini salah satu cara bagaimana sepupu juga mewarisi rumah pusaka Ali. Walaupun sepupu ini mahu melepaskan bahagian mereka, mereka perlu menunggu sehingga umur mereka 18 tahun sebelum mereka perlu melalui proses di Pejabat Pusaka Kecil semula bagi pelepasan pemegang amanah oleh bapa saudara mereka.


 

mawarith

 


Selepas proses ini selesai sepupu itu bolehlah mengisi borang 14A untuk memindah milik nama mereka yang ada di dalam geran tanah Ali kepada nama mana-mana sepupu mereka (Rozlin atau Rozlina).

 

Bayangkan kesukaran proses undang-undang yang perlu dilalui. Keadaan pastinya akan jadi sangat sukar kalau sepupu berlima ini hubungannya tidak rapat dengan Rozlin atau Rozlina dan mereka enggan melepaskan bahagian mereka walaupun selepas mereka berumur 18 tahun.

 

Bagi wang tunai, ia kurang komplikasi kerana kelima-lima sepupu ini boleh menikmati bahagian mereka tanpa sebarang implikasi kepada Rozlin dan Rozlina. Namun bagi hartanah seperti rumah, kesannya berpanjangan kerana nama Rozlin dan Rozlina juga wujud di dalam geran tersebut.

 

Jika ditakdirkan ada di antara lima sepupu ini meninggal dunia, bahagian 1/72 mereka itu akan diwarisi oleh waris-waris faraid mereka pula. Ini adalah antara punca kenapa wujud RM90 bilion nilai harta pusaka tertunggak di Malaysia.

 

Ia bukan semata-mata berpunca daripada perbalahan waris tetapi lebih kepada komplikasi proses undang-undang yang terkait dengan kes waris berlapis.

 

Kampung Baru Kuala Lumpur ialah contoh kes klasik komplikasi urusan ini. Ada kes yang saya jumpai waris yang berhak ke atas sekeping tanah sehingga ratusan orang!

 

Jadi, adakah kita mahu harta pusaka yang bakal kita tinggalkan kelak juga berdepan dengan situasi ini?

 

Jika anda rasa anda ingin membiarkan anak-anak anda melalui kegetiran ini, janganlah berbuat apa-apa. Biarkan harta anda seperti sedia ada sekarang.

 

Tetapi jika anda sangat menyayangi anak-anak dan pasangan anda, buatlah HIBAH bagi harta-harta anda (bukan HIBAH TAKAFUL ya!).

 

 

mawarith

 


Jika Ali masih hidup, dia boleh menghibahkan rumahnya kepada Rozlin dan Rozlina. Rumah itu akan terkeluar daripada harta pusakanya maka ia tidak perlu difaraidkan. Sepupu akan terelak daripada mendapat bahagian ke atas rumah itu.

 

Wasiyyah Shoppe Berhad sebagai organisasi peneraju di dalam urusan hibah di Malaysia boleh membantu anda.

 

Seperti yang saya sebutkan di atas, jika harta alih yang diwarisi mengikut hukum faraid, implikasinya tidak serius kerana ia tiada komplikasi dalam jangka panjang namun untuk hartanah seperti rumah, situasi kompleks seperti ini tidak boleh dielakkan.

 

 

ariffin sabirin
ARIFFIN SABIRIN adalah Pengasas dan CEO Kumpulan Wasiyyah Shoppe Bhd

 

KLIK DI SINI UNTUK KOLEKSI ARTIKEL ANEKDOT MAWARITH

 

dagangnews

 

 

 

     

 

Portfolio Tags