Skip to main content
DagangNews.com
Kolum Dari Hikayat Kita - 29 January 2022

ALAM MARITIM MELAYU MELALUI KACA MATA HIKAYAT 

Petikan pembentangan ISTAC IIUM oleh NINOT AZIZ

 

 

KEPULAUAN Melayu adalah satu daripada wilayah paling unik di dunia di mana rantaian kerajaan dibina menghubungkan ribuan pulau dan kerajaan di persisiran pantai, dari Filipina ke Indonesia, Malaysia ke Borneo.  

 

Hari ini hampir 600 juta penduduk bermastautin di rantau Maritim Asia Tenggara, sebuah wilayah yang mempunyai lebih 25,000 pulau.. Tetapi ratusan tahun dahulu, kerajaan Champa, Srivijaya, Majapahit, Melaka, Patani, Langkasuka mempelopori pembentukan kerajaan maritim.  

 

Kini betapa kehilangan generasi hari ini, apabilabegitu banyak ilmu dan kemahiran yang diwarisi dari zaman itu hampir pupus - begitu juga identiti kita sebagai peneroka lautan suatu masa dahulu.

 
Bagaimana pula Hikayat Melayu dapat menyingkap keberadaan Alam Maritim Melayu ini?

 

Kita tahu bahawa Hikayat Melayu adalah antara bentuk kesusasteraan yang paling popular dan tertua yang melambangkan peradaban dan gaya hidup zaman dahulukala Kepulauan Melayu.  Ia adalah sebahagian daripada kesusasteraan klasik yang umumnya dikongsi melalui penceritaan lisan pada masa lalu.

 
Ini kemudiannya dipelihara dengan mengabadikan cerita di atas sumber semula jadi yang sedia ada seperti buluh, daun lontar palma, dan pada kulit pokok dengan dakwat buatan lokal menggunakan jelaga, sabut padi, sarang labah-labah dan dakwat sotong.

 
Apabila dunia perdagangan menjadi lebih global pada abad ke-16, kertas senang didapati.  Dan cerita hikayat diabadikan dalam manuskrip.

 
Selama bertahun-tahun, Hikayat, lagenda dan cerita rakyat hanya untuk menghibur dan memikat penonton, untuk merakamkan sejarah kita seperti Sejarah Melayu, Hikayat Merong Mahawangsa dan Misa Melayu – dan tidak lebih dari itu. 

 
Walau bagaimanapun, setelah bertahun-tahun kita meneliti, menceritakan semula dan menulis semula hikayat kita dalam usaha untuk membawanya kepada generasi baru,  penyelidikan Hikayat menunjukkan kepada saya bahawa hikayat itu bagai penemuan arkeologi dalam menunjukkan kepada kita kehidupan zaman tori sebenarnya pada ratusan tahun dahulu, jika tidak beribu-ribu tahun dahulu di Kepulauan Melayu.

 

 

melayu

 

 

Dan ini tidak terhad kepada Hikayat kita, pantun, syair dan gurindam kita mendedahkan cara hidup yang sangat berhubungkait dengan laut. Contohnya, pantun klasik ini:
 
 Rumah kecil tiang seribu​​​
 Rumah besar tiang sebatang​​
 Kecil-kecil ditimang ibu​​​
 Sudah besar ditimang gelombang​
 

 

Apabila kita memberi perhatian kepada bahasa, kita menyedari naratif dan perbendaharaan kata adalah seperti ‘time capsul’,  seolah-olah seperti foto atau video yang masih ada  dari lima ratus hingga seribu tahun yang lalu.

 
 Izinkan saya berkongsi petikan Hikayat Awang Sulong Merah Muda ini:

Ketika sepupu baginda puteri Dayang Nuramah sedang bersiap-siap untuk berlayar di laut, dengan anak-anak kapal seluruhnya anak dara.

 
 “Himpunkanlah anak-anak dara datang mengadap ke istana.”
 
 “Lalu bertitah Datok Batin Alam kepada Bujang Selamat, Pergilah kau panggil mualim, jurubatu, jurumudi sekeliannya suruh siapkan kakap.
 
 Bunga Rampai Layangan Angin itu serta alat senjata alat peperangan.”
 

Maka Selamat pun bermohon pergi mendapatkan mualim, jurumudi, jurubatu sekeliannya.  Maka segeralah jurumudi mengerakan sekelian hulubalang memuatkan obat bedil peluru serta menyiapkan Meriam senapang apa yang kurang disuruh ditambahi.”
 
 “Tinggal sekelian anak dara;  ada yang menjadi mualim, jurumudi, jurubatu masing masing dengan jawatannya.  Maka kakap pun belayar.”
 
 Secara ringkasnya, anak-anak kapal dayang bermusafir bersama puteri Dayang Nuramah menaiki kakap atau kapal Bunga Rampai Layangan Angin lengkap dengan senjata api di laut.
 

Dan jauh di laut, puteri ternampak pula geliong panjang kepunyaan puteri Jawa Puteri Dayang Seri Jawa.  Kedua-dua kapal menaikkan bendera kuning mereka, dan Puteri Dayang Nuramah menaiki geliong.  Dia disambut dengan sireh, dan bertukar pantun - persembahan berbudi bahasa di kalangan puteri bangsawan.

 

 

 

kakap
                                                             Kakap Layar

 

 

Inilah kisah dua puteri dunia Melayu berperang sesama sendiri kerana berebutkan Awang Sulong Merah Muda yang gagah perkasa.  Tetapi marilah kita baca maksud kisah latar belakang.  Bukan kisah gadis dalam kesusahan tetapi hikayat srikandi yang mengharungi lautan dan menggunakan senjata api dan meriam.

 
Begitu banyak legenda sebegini. Laksamana Hang Tuah yang legendanya muncul di dinding VijayaNagara, Ryukyu mencatatkan dan Hikayat Hang Tuah.  Hikayat Hang Tuah menceritakan Hang Tuah ke Majapahit, Bentan, Lingga, Palembang, Acheh, Brunei, Sri Lanka, Benua Keling, Benua China, Jeddah and Stamboul (Catatan VijayaNagara).

 
Enrique the Black, manusia pertama mengelilingi dunia apabila dia menemani Ferdinand Magellan.  

 
Saya seorang pencerita.  Bukan ahli sejarah.

 

TETAPI sekilas pandang ke dalam cebisan penceritaan dunia Alam Melayu ini meyakinkan saya: Hikayat kita adalah memori tamadun purba kita.

 
Dalam lagenda, secebis sejarah kita dibekukan bagaikapsul masa yang akan dibuka seperti kotak keseronokan oleh kita berabad-abad kemudian.

 

 

Statue of Enrique in the Maritime Museum of Malacca, Malacca City, Malaysia
                                     Patung Enrique The Black di Muzium Maritim Melaka

 

 

Jadi, apabila kita membaca Hikayat hari ini ditambah dengan ilmu sejarah yang lain, kita mula menghimpunkan kewujudan Kerajaan-Kerajaan Maritim Melayu di seluruh Kepulauan Melayu.

 
Apa yang paling menarik, kita akan dapati bahawa lagenda dan epik terkenal dunia telah masuk ke dalam hikayat kita yang menunjukkan pertukaran budaya hasil daripada titik hubungan yang dibuat melalui perdagangan dan agama.  

 

Ini adalah petunjuk bagaimana Orang Melayu mengembara ke seluruh dunia... Dan yang lebih penting, hikayat kita turut mengembara.  Dan legasi kesusasteraan hari ini menjadi bukti kukuh. 

 

PSYCHE ORANG MELAYU 

Melalui hikayat, kita melihat ke dalam minda pemikiran orang Melayu ratusan tahun dahulu.
 

  • Dalam Sulalatus Salatin, seorang raja ingin membina kapal yang boleh menyelam jauh ke dasar laut.  Raja Chulan turun ke Dika ingin membina        “Sebuah peti, kaca berkunci dan berpesawat dari dalam”

  • Kisah Makyung menceritakan tentang putera raja dan lelaki yang melayari kapal yang terkandas, apabila angin mati.  Ini adalah bahaya di laut.

  • Puteri-puteri yang berani mengarungi lautan Kepulauan Melayu untuk mengejar cintanya.  Dalam membaca kisah pengembaraannya, kita dapati perkataan seperti teropong, bongkar sauh, kakap, geliong.

  • Orang Melayu itu pengembara dunia yang melayari kapal-kapal yang mengagumkan - JONG gergasi untuk perdagangan, prahu terbang pantas dan Gobel Pinis.

 

 

jong
                           JONG gergasi Gobel Pinis.

 

 

Sejak abad pertama Masihi, pengaruh Hindu terserlah di Kepulauan Melayu.  Apabila Islam muncul di sini berabad-abad kemudian, sedikit demi sedikit, berlaku peralihan budaya dan kepercayaan yang membawa kepada pertindihan pengaruh.

 
 Ini hanya membuktikan lagi bahawa Kepulauan Melayu merupakan transit dan titik pertemuan ramai pengembara dunia di sepanjang Selat Melaka. 

 
Pada minggu hadapan,  kita bersedia untuk melihat beberapa kerajaan utama yang dikesan dalam Hikayat - peta indah menunjukkan Dunia Melayu.

 

 

Ninot Aziz merupakan penggiat seni dan kebudayaan Melayu, dari bzBee Consult, aktif menulis di dalam pelbagai medium seperti akhbar dan menerbitkan buku-buku seperti Bentala Naga - A Makyung Tale dan Lipur Lara Nusantara dan kini menulis menerusi kolum Dari Hikayat Kita di DagangNews.com, setiap Sabtu.   Emel : ninotaziz@gmail.com

 

KLIK DI SINI UNTUK KOLEKSI ARTIKEL DARI HIKAYAT KITA

Portfolio Tags