Skip to main content

AirAsia X sedia benarkan penumpang guna semula kredit beli tiket

 

 

Oleh ZUNAIDAH ZAINON
zunaidah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 22 Okt. - AirAsia X Bhd. bersedia membenarkan penumpang menggunakan semula kredit untuk membeli tiket pada masa akan datang sebaik sahaja ia beroperasi dengan pembukaan semula sempadan antarabangsa.

 

Bagaimanapun, dalam kenyataannya hari ini, syarikat penerbangan tambang rendah jarak jauh AirAsia Group itu berkata, ia bergantung kepada kejayaan proses penstrukturan semula hutang syarikat. 

 

Syarikat penerbangan itu menyedari terdapat kebimbangan yang disuarakan oleh pelbagai laporan media berhubung proses penstrukturan hutang yang sedang berjalan, termasuk yang dilaporkan oleh DagangNews.com pagi tadi.

 

"Kami memberi jaminan apabila langkah penstrukturan hutang ini berjaya, adalah menjadi hasrat kami untuk mengembalikan keistimewaan dalam bentuk kredit perjalanan, yang boleh digunakan untuk pembelian tiket penerbangan atau barangan dan perkhidmatan yang disediakan AirAsia X pada masa akan datang apabila sempadan antarabangsa dibuka semula," katanya.

 

 

Baca : Can Air Asia X customers get their money back?

 

Baca : AirAsia X adakan pertemuan dengan pemiutang 12 Nov ini
 

 

Bagaimanapun, AirAsia X berkata, keistimewaan perjalanan untuk penumpang yang mempunyai kredit mungkin dilanjutkan dari semasa ke semasa sebaik saja syarikat boleh beroperasi semula selepas penstrukturan semula hutang diluluskan pemiutang dan mendapat kebenaran Mahkamah Tinggi pada 12 November ini.

 

"AirAsia X secara dasarnya mempunyai hak untuk mengambil tindakan yang difikirkan sesuai dengan keberkesanan perniagaan dan juga bagi meningkatkan nama baik syarikat.

 

"Bagi kami, rakan kerjasama dan penyokong termasuk para tetamu dan penumpang kami adalah penting kepada AirAsia X. 

 

"Dalam hal ini, kami menghargai hubungan ini dan telah mengambil pertimbangan sewajarnya dalam langkah penstrukturan semula hutang ini," jelasnya.

 

Pada 18 Oktober lalu, AirAsia X bercadang untuk membayar hanya 0.5% kepada setiap pemiutang dan menghentikan semua kontrak sedia ada bagi membolehkannya menstruktur semula liabiliti sebanyak RM33.65 bilion.

 

Dalam maklumannya kepada Bursa Malaysia, syarikat tambang murah jarak jauh AirAsia Group ini akan mengadakan pertemuan dengan pemiutang pada 12 November ini untuk mengundi bagi cadangan pelan penstrukturan semula hutangnya.

 

AirAsia X juga dilaporkan sedang berunding dengan pemajak kepada 29 pesawatnya dan beberapa pemiutang lain mengenai terma komersial bagi meneruskan hubungan perniagaan pada masa hadapan. - DagangNews.com