Titijaya Land peroleh kebenaran semakan kehakiman cabar taksiran cukai tambahan RM9.6 juta LHDN | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Titijaya Land peroleh kebenaran semakan kehakiman cabar taksiran cukai tambahan RM9.6 juta LHDN

Oleh HAMDEN RAMLI

KUALA LUMPUR 15 Julai - Mahkamah Tinggi Shah Alam membenarkan permohonan semakan kehakiman yang difailkan oleh anak syarikat milik penuh Titijaya Land Berhad, Shah Alam City Centre Sdn. Bhd. (SACC), berhubung Notis Taksiran Tambahan bernilai RM9.6 juta yang dikeluarkan Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDN).

 

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, syarikat berkata, Mahkamah Tinggi pada 14 Julai 2026 turut melanjutkan perintah penangguhan sementara terhadap pelaksanaan taksiran tersebut sehingga pendengaran inter-parte bagi permohonan penangguhan yang dijadualkan pada 1 Oktober 2026.

 

SACC sebelum ini menerima Notis Taksiran Tambahan bagi Tahun Taksiran 2024 berjumlah RM9,596,316.04, termasuk penalti, pada 25 Mei 2026 hasil audit cukai pendapatan yang dijalankan LHDN.

 

Pertikaian itu melibatkan cukai terhadap wang pampasan berkanun yang diterima SACC pada Disember 2023 di bawah Akta Pengambilan Tanah 1960.

 

Bagi mencabar keputusan tersebut, SACC memfailkan permohonan semakan kehakiman di Mahkamah Tinggi Shah Alam pada 17 Jun 2026 bagi mendapatkan perintah Certiorari untuk membatalkan keputusan LHDN serta memohon penangguhan pelaksanaannya.

 

Pada 23 Jun 2026, syarikat turut mengemukakan rayuan terhadap taksiran tambahan itu dengan memfailkan Borang Q kepada LHDN.

 

Semasa pengurusan kes pada 23 Jun lalu, Mahkamah Tinggi memberikan perintah penangguhan sementara sehingga 14 Julai 2026.

 

Dalam prosiding sama, Jabatan Peguam Negara (AGC) memaklumkan hasrat untuk membantah permohonan kebenaran semakan kehakiman tersebut sebelum Mahkamah menetapkan pendengaran lanjut pada 14 Julai.

 

Menurut Titijaya Land, Mahkamah kemudiannya membenarkan permohonan kebenaran semakan kehakiman dan melanjutkan perintah penangguhan sementara sehingga pendengaran inter-parte pada Oktober depan.

 

SACC diwakili oleh peguam Abhilaash Subramaniam sebagai peguam utama bersama Iman Johar, Yong Siong Yaw dan Luqmanur Diyana daripada firma guaman Messrs Johar Athari & Co.

 

Titijaya Land berkata, syarikat kekal komited sebagai pembayar cukai yang bertanggungjawab dan akan terus bekerjasama secara konstruktif dengan LHDN bagi menyelesaikan perkara itu secara baik dan segera.

 

Menurut lembaga pengarah syarikat, isu sama ada wang pampasan yang diterima di bawah Akta Pengambilan Tanah 1960 tertakluk kepada cukai merupakan persoalan undang-undang yang penting dan memerlukan penjelasan melalui proses semakan kehakiman.

 

"Semakan kehakiman ini dijangka memberikan kejelasan terhadap kedudukan percukaian serta implikasi kewangan yang melibatkan SACC," katanya. - DagangNews.com