AirAsia terima kelulusan Danajamin untuk pembiayaan sehingga RM500 juta | DagangNews Skip to main content

AirAsia terima kelulusan Danajamin untuk pembiayaan sehingga RM500 juta

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 5 Okt. - AirAsia Group Berhad (AAGB) telah menerima kelulusan oleh Danajamin Nasional Berhad (Danajamin) untuk 80% pinjaman yang dijamin sehingga RM500 juta di bawah Skim Jaminan PRIHATIN Danajamin.

 

Sokongan itu merupakan sebahagian daripada Pakej Rangsangan Ekonomi Malaysia berikutan pandemik COVID-19. 

 

Pinjaman tersebut telah diluluskan oleh pemberi pinjaman AAGB di bawah kemudahan pembiayaan bersindiket, dengan jaminan oleh Danajamin melalui Syarikat Jaminan Pembiayaan Perniagaan (SJPP), sebuah entiti milik penuh Kementerian Kewangan.

 

Pengerusi Eksekutif AirAsia, Datuk Kamarudin Meranun berkata, syarikat penerbangan tambang murah itu merupakan penyumbang utama ekonomi Malaysia dengan menyediakan rangkaian penerbangan untuk memudahkan aktiviti pelancongan, perdagangan dan pelaburan. 

 

Kamarudin Meranun
Kamarudin Meranun

 

"Kami juga memainkan peranan penting dalam menyediakan peluang pekerjaan yang luas dan memperkasakan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) tempatan, terutamanya melalui usaha digital kami.

 

“Kelulusan daripada kerajaan Malaysia ini merupakan sokongan yang kuat terhadap kemampuan Kumpulan AirAsia untuk pulih dengan lebih cepat dan memacu keseluruhan strategi pengumpulan dana kami dalam persediaan kami untuk kembali beroperasi di semua pasaran utama kami,” katanya dalam satu kenyataan.

 

Bagi kumpulan, jaminan daripada kerajaan melalui Danajamin/SJPP mencerminkan sokongan yang kukuh terhadap AAGB dalam persediaannya untuk memastikan ia berada dalam kedudukan yang teguh.

 

Pembiayaan bersindiket tersebut diperuntukkan untuk modal kerja, yang akan menampung kos kakitangan dan perbelanjaan operasi utama seperti penyelenggaraan pesawat dalam persediaan AAGB untuk meningkatkan operasinya sempena pembukaan semula sempadan domestik dan antarabangsa dalam waktu terdekat.

 

Tambah Kamarudin, negara-negara di seluruh dunia, termasuk di rantau ini telah mula membuka semula sempadan antarabangsa berikutan kadar vaksinasi yang tinggi. 

 

“Kadar vaksinasi dewasa di Malaysia kini hampir 90%, dan sempadan domestik dijangka dibuka setelah kita mencapai sasaran itu. Gelembung perjalanan Langkawi merupakan kejayaan besar sejak ia dilancarkan dan kami telah melihat permintaan yang luar biasa menerusi 90 perkhidmatan penerbangan seminggu dari 16 September. 

 

“Kami juga telah melihat pembukaan secara beransur-ansur di Thailand, Indonesia dan Filipina di mana kami kembali beroperasi. Dalam pada negara-negara di rantau ini meneruskan perbincangan untuk membuka semula sempadan antarabangsa secara beransur-ansur dan melaksanakan gelembung perjalanan, kami yakin bahawa perkhidmatan kami akan pulih dalam waktu terdekat,” katanya lagi. - DagangNews.com