Kehidupan Palestin Yang Sukar | DagangNews Skip to main content
DagangNews.com
WAINUIOMATA - 7 September 2023

Kehidupan Palestin Yang Sukar

 

 

 

SEMASA saya ke Jordan, Syria, Lebanon, Palestin, Israel, sempadan Turki dan Iraq perang baru hendak bermula. Sudah terasa bahang melihat keseluruhan Syria yang mula bayangan dan saya ingin segera keluar untuk kembali ke Jordan.

 

Setiap negeri melalui pertukaran visa dan memerlukan kesabaran tinggi apa lagi disempadan. Paspot saya sudah banyak kali dicop tetapi masih dihujani pertanyaan pegawai imigresen mengapa saya mahu melawat. Soalan yang nampak mudah tetapi punya kesan mendalam.

 

Dari sempadan Jordan ke Syria, ke sempadan Lebanon dan kembali ke Syria untuk kembara mencari pengalaman. Menunggu keputusan imigresen di sempadan ada kalanya lama. Selalu menanti dengan ketabahan.

 

Pemandu kami adalah seorang Palestin dari Jordan yang membawa Mercedes sepanjang perjalanan. Kami bayar tanpa bersoal banyak hanya mengikuti untuk melihat lima negara di Timur Tengah yang indah dengan majoriti Arab.

 

Saya lupa nama tetapi panggil saja Abdullah. Dia seorang yang suka bercerita sambil memandu. Ada sahaja cerita kehidupan yang dilaluinya.

 

Abdullah pada asalnya tinggal di Palestin tetapi perang dengan Israel menyebabkan keluarganya ke Jordan. Hampir separuh dari Jordan adalan Palestin yang menjadi rakyat Jordan. Saya tidak dari kawasan mana.


 

amman
Bandar raya Amman, ibu negeri Jordan di waktu senja.

 


Mula-mula Abdullah bercerita mengenai adik beradiknya seramai lapan orang dan kehidupan di Palestin. Saya mendengar kerana duduk di hadapan sambil melihat keliling.

 

Adak bongsunya seorang pejuang yang benar-benar berani untuk mempertahankan Palestin. Dimana adik bongsunya telah membunuh (rasanya) empat orang Israel. Adiknya terus ditangkap dan dibunuh tanpa keluarganya mengambil mayat kerana tentera Israel menyembelih. Tidak tahu mana ditanam atau dibuang.

 

Saya tersentuh kerana kehidupan tidak adil untuk orang Palestin dengan tanah-tanah diambil oleh orang Israel sewenangnya. Lalu keluarganya turut dibuang dari tanak pusaka yang diduduki sejak ratusan tahun. Mereka terus lari ke Jordan untuk memulakan penghidupan pelarian.

 

Namun ada ganjaran buat adik-beradik Abdullah yang masih hidup.

 

“Dia boleh pilih 40 orang untuk masuk syurga bersamanya.”

 

Abdullah terus bercakap sambil memandu laju dalam kendeaan yang banyak di lebuh raya.

 

“Termasuk saya, abangnya,” kata Abdullah.

 

“Kamu mahu masuk syurga?” Tanya saya yang kecut perut dengan pemanduan Abdullah.

 

“Ya, tentu dia pilih adik beradik dahulu.”

 

“Tapi cara kamu memandu membahayakan kami penumpang, kamu mungkin membunuh kami yang tidak berdosa, pada siapa kami nak minta masuk syurga? Kamu juga dengan membunuh kami?”


 

jordan
Pintu masuk ke Jordan dari Palestin

 


Senyap Abdullah yang tidak perasan memandu begitu bahaya di negara Syria, Lebanon, Israel dan Palestin. Abdullah mula membawa sedikit perlahan dan mengikuti jalan raya.

 

Sambil terus bercerita tentang kehidupan Palestin yang saya tidak dibenarkan masuk oleh tentera Israel kerana ada cop Gaza.

 

Tanpa disedari konflik di Timur Tengah antara Palestin dan Israel  tiada kesudahan sejak lebih tujuh dekad lalu. Masih berpanjangan hingga hari ini.

 

Selama lebih 70 tahun penduduk Palestin sengsara, menderita dan hak dinafikan apabila terpenjara dalam negara sendiri akibat ditindas rejim zionis yang melampau.

 

Rejim zionis  dilabel sebagai bangsa tidak tahu mengenang budi sebab terus rakus menjarah wilayah Palestin sejak mengisytiharkan negara haram Israel pada tahun 1948 dahulu.

 

Yahudi yang berasal dari Bani Israel Timur Tengah hanya golongan yang hidup tanpa negara dan sering ditindas terutama di negara Barat seperti Jerman.

 

Yahudi menubuhkan Pertubuhan Zionis Antarabangsa (WZO) dengan pengasas gerakan Zionisme, Theodor Herzl bercita-cita tinggi membangunkan negara haram Israel bagi membela nasib dan untuk bangkit.

 

Palestin mempunyai kedudukan istimewa di hati umat Islam kerana Masjidil Aqsa destinasi terakhir Rasulullah sebelum diangkat ke langit bertemu Allah dalam peristiwa Israk dan Mikraj.


 

al-aqsa
Masjidil al-Aqsa di Palestin

 


Apa lagi Palestin  disebut dalam al-Quran sebagai tanah suci umat Islam kerana Masjidil Aqsa berkait rapat dengan sejarah rasul terdahulu manakala bagi penganut Kristian, Palestin adalah tanah air Nabi Isa.

 

Palestin dan kawasan Timur Tengah lain berada di bawah pemerintahan Empayar Turki Uthmaniyah sebelum Perang Dunia Pertama antara 1914 hingga 1918.

 

Namun sejarah berubah selepas kejatuhan Empayar Turki Uthmaniyah yang menyertai pakatan perikatan kuasa bersama Jerman dan Austria-Hungary kalah dalam Perang Dunia Pertama. Seterusnya punca British meluaskan kuasa pengaruhnya ke Timur Tengah.

 

Dari perubahan empayar Perancis memperoleh Syria dan Lubnan manakala Jordan, Palestin dan Iraq menjadi milik British mengikut perjanjian Sykes-Picot pada 1916. Dengan penghijrahan Yahudi berlaku secara beramai-ramai ke Palestin hingga ketegangan sering berlaku.

 

Apabila suasana semakin tidak terkawal dan terjaga, PBB mengeluarkan Resolusi 181 PBB pada November 1947 yang membahagikan kawasan Palestin kepada dua iaitu 57 peratus kawasan Arab Palestin manakala 43 peratus lagi milik Yahudi Israel.

 

Jerusalem atau Baitulmaqdis diisytiharkan sebagai entiti berasingan dan bebas pengaruh Yahudi Israel atau Arab Palestin serta ditadbir badan antarabangsa.

 

Kemudian negara Arab termasuk Mesir, Jordan dan Syria membantah pelan PBB itu hingga tercetusnya perang Arab-Israel pada 15 Mei 1948. Sama tahun Israel mengisytiharkan negara haram mereka.

 

Demi kekalahan perang yang pakatan Arab terpaksa akur menerima syarat gencatan senjata pada Mac 1949. Mesir memperoleh Gaza, Jordan mendapat Tebing Barat dan Baitulmaqdis Timur manakala Dataran Tinggi Golan  menjadi milik Syria.


 

wainuiomata
Tentera Zionis menewaskan tentera Arab dalam Perang Yom Kippur 1973.

 


Pada 5 Jun hingga 11 Jun 1967 Israel melancarkan perang enam hari ke atas pakatan Arab.  Israel berjaya merampas semua wilayah dikuasai tiga negara itu dan turut tidak terkecuali Baitulmaqdis Timur yang menempatkan Masjidil Aqsa.

 

Peristiwa Sempadan 1967 yang dikecam seluruh dunia termasuk PBB sebelum mengeluarkan Resolusi 242 pada November 1967 dengan mengarahkan Israel berundur ke sempadan namun tidak diendahkan dan dipedulikan.

 

Pada 1973 pakatan Arab mula bangkit dengan melancarkan Perang Yom Kippur namun kerana terikat dengan perjanjian gencatan senjata yang diusul Amerika dan Russia, mereka gagal menawan semula kawasan ditawan Israel.

 

Perang Yom Kippur memaksa Israel berunding memulangkan semula Semenanjung Sinai menerusi Perjanjian Camp David 1978 dan menyerahkan Tebing Barat dan Gaza kepada Palestin dalam Perjanjian Oslo 1993.

 

Israel tidak patuh kepada perjanjian dan pelan damai malah semakin rakus dengan membina penempatan dan tembok pemisah haram di Tebing Barat. Israel juga tidak mahu melepaskan Baitulmaqdis Timur dengan menggunakan alasan agama.

 

Israel mencabar keputusan Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) 5 Februari lalu yang memutuskan mereka melakukan jenayah perang dan kemanusiaan di wilayah Palestin sejak 1967.


 

icc

 


Bagi saya negara Islam harus bersatu menentang penjajahan dan penindasan berterusan rejim Zionis ke atas Palestin yang tidak berdosa termasuk golongan tidak berdaya seperti OKU, kanak-kanak, wanita dan warga emas.

 

Isu Palestin bukan membabitkan penduduknya sahaja tetapi lebih daripada itu apatah lagi Masjidil Aqsa adalah kiblat Rasul dan terawal bagi umat Islam yang harus terus dijaga. Dengan pencerobohan dan penjajahan tanah suci umat Islam  tidak wajar dipandang mudah, malah sudah tiba masanya pelakunya dibawa ke muka pengadilan.

 

Saya selalu teringat Abdullah sehingga kini, semuga keluarganya terus selamat di Jordan.- DagangNews.com

 

 

Mohd Fudzail Mohd Nor telah aktif menulis di pelbagai medium termasuk sebagai kolumnis portal berita dan memenangi banyak hadiah sastera selama beliau berkelana di luar negara. Kolum Wainuiomata ini adalah bersempena nama bandar universiti beliau di New Zealand. - DagangNews.com

 

 

KLIK DI SINI UNTUK KOLEKSI ARTIKEL WAINUIOMATA

dagangnews

 

Portfolio Tags