Palestin: Setitik darah dan kesan kepada dunia | DagangNews Skip to main content
DagangNews.com
Volatiliti - 24 October 2023

Palestin: Setitik Darah dan Kesan Kepada Dunia

 

 

 

PASTINYA seluruh dunia tertumpu dengan isu semasa iaitu perang antara Israel dan Palestin. Seluruh dunia bersoladiriti sebagai tanda sokongan kepada Palestin. 

 

Data dari sumber Kementerian Kesihatan Palestin setakat 20 Oktober 2023 menunjukkan angka kematian dalam kalangan warga Palestin ialah 4,137 iaitu 1,524 kanak-kanak dan 1,000 wanita. Manakala penduduk Palestin yang cedera 13,000.

 

Kenapa begitu kejamnya Israel ini membunuh rakyat Palestin ini?

 

Sejarah konflik Israel-Palestin

Konflik Israel-Palestin bermula dari tuntutan ke atas tanah yang sama di wilayah Timur Tengah. Sejak penubuhan negara Israel pada tahun 1948, konflik ini telah melahirkan pelbagai perang dan pertempuran, termasuk Perang Arab-Israel 1948, Perang Enam Hari 1967, serta Intifada pertama dan kedua di Palestin.

 

Salah satu isu utama adalah status Jerusalem, yang diakui sebagai bandar suci oleh tiga agama utama iaitu Islam, Kristian, dan Yahudi.

 

Perjuangan rakyat Palestin

Konflik semasa memberi tumpuan kepada perjuangan Palestin untuk mencapai kemerdekaan dan menubuhkan negara merdeka mereka, sementara Israel berkeras untuk mengekalkan keselamatan dan kedaulatannya.

 

Isu-isu seperti pembangunan penempatan Israel di wilayah Palestin, blokade Gaza, dan hak asasi manusia menjadi punca ketegangan yang berterusan yang tidak berpenghujung sehingga hari ini.

 

Tidak ada siapakah yang boleh bantu mereka?

Konflik ini juga mempunyai kesan meluas di arena antarabangsa. Banyak negara dan pertubuhan antarabangsa berusaha untuk mencari penyelesaian damai bagi mengakhiri konflik ini.

 

Walau bagaimanapun, perbincangan damai sering terhenti disebabkan kegagalan mencapai kata sepakat mengenai isu-isu penting seperti status Baitulmaqdis, sempadan, dan hak kembali orang Palestin yang terusir. Dek kerana itu, Palestin terus hidup “dalam suasana perang” hingga ke hari ini.

 

Harga minyak yang tidak stabil

Dalam situasi semasa, perang Israel-Palestin ini akan menyebabkan ketidakstabilan di rantau tersebut yang boleh mempengaruhi pasaran minyak dunia. Zon ini adalah salah satu pengeluar minyak utama. Ketidakstabilan ini boleh meningkatkan harga minyak mentah yang mempengaruhi kos pengeluaran dan harga barang dan perkhidmatan di seluruh dunia.

 

Harga minyak dunia  meningkat lebih tinggi selepas Israel menggempur kawasan Gaza di Palestin dengan pasaran bahan mentah itu dikhuatiri terjejas jika konflik di kawasan tersebut masih berterusan dan tidak berakhir.

 

Perang ini telah menyebabkan minyak mentah Brent naik sehingga AS$4.18 (RM19.78) atau 4.94 peratus, kepada AS$88.76 (RM420.05) setong dalam perdagangan Asia minggu lalu.

 

Harga minyak dunia akan terus berada dalam ketidaktentuan apabila Iran menyatakan hasrat untuk melakukan “gangguan bekalan” minyak.

 

Desakan Iran kepada OPEC

Iran mendesak OPEC melalui negara-negara Islam untuk segera memboikot Israel termasuk embargo minyak

 

Adakah OPEC bersetuju dengan cadangan Iran?

 

OPEC belum memberi persetujuan dengan cadangan Iran untuk memboikot embargo minyak ke atas Israel. Kenapa OPEC “semacam” tidak bersetuju.

 

OPEC sebenarnya bukan organisasi politik sehingga ingin menjalankan fungsi untuk menjaga keamanan dunia dan menggunakan minyak sebagai senjata untuk “mengugut’ mana-mana negara/

 

Kenali OPEC

Pertubuhan Negara-negara Pengeksport Petroleum (OPEC) adalah sebuah pertubuhan antara kerajaan yang ditubuhkan pada 1960 di Baghdad oleh Iran, Iraq, Kuwait, Arab Saudi, dan Venezuela sejak 1965 di Vienna, Austria.

 

Sehingga kini OPEC mempunyai 14 negara keahlian. OPEC adalah berfungsi untuk memantau kestabilan harga minyak mentah dalam pasaran dunia di mana sebelum OPEC ditubuhkan, harga minyak mentah dunia ditentukan oleh kumpulan syarikat multinasional Amerika Syarikat (AS). 

 

Secara puratanya, OPEC menyumbang hampir 50% pengeluaran minyak mentah dunia dan mengawal lebih 80% bekalan simpanan minyak mentah dunia.

 

Bagaimana EU redakan perang Rusia-Ukraine

Jika mahukan tamatkan perang Israel dan Palestin boleh mengambil contoh bagaimana Kesatuan Eropah (EU) meredakan perang Rusia-Ukraine apabila EU telah sepakat untuk mengurangkan pembelian minyak daripada Rusia melalui Perjanjian EUCO yang telah dipersetujui bersama negara-negara EU.

 

Perjanjian ini telah mengharamkan untuk mengeksport minyak Rusia ke EU. Apakah kesannya kepada Rusia?

 

Apabila Rusia “disekat” untuk mengeksport minyak mereka ke EU, sumber pendapatan Rusia berkurangan. Ia menjejaskan hampir 2/3 sumber pendapatan Rusia kesan daripada sekatan minyak daripada EU ini.

 

Ia sekali gus mengurangkan sumber pembiayaan yang besar untuk peralatan perang Rusia. Dek kerana kurang sumber pembiayaan untuk perang, Rusia mengurangkan serangan terhadap Ukraine.

 

Ini yang sebenarnya yang ingin dilakukan oleh Iran dengan embargo minyak, tetapi Iran tidak mendapat sokongan OPEC.

 

OIC boleh campur tangan

Iran seharusnya meminta sokongan kepada Organisation of Islamic Cooperation (OIC) untuk melakukan embargo minyak ini.

 

Jika benar-benar negara Islam ingin membantu Palestin, anggota OIC perlu menyatakan sokongan terhadap Iran. Jika semua negara OIC bersetuju, sedikit sebanyak boleh mengurangkan “keangkuhan” Israel.

 

Namun, adakah negara OIC akan menyokong tindakan Iran ini. Ada negara OIC nak “jaga periuk nasi” mereka juga. Mereka takut tindakan menyokong Iran ini menyebabkan mereka hilang sokongan kuasa besar lain yang pro Israel.

 

Campur tangan kuasa besar

Perang  ini juga akan mengheret “perang proksi” antara kuasa besar. Antara kuasa besar ialah Amerika Syarikat yang menjadi pro kepada Israel.

 

Terdahulu Iran telah memberitahu Persatuan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang Iran akan campur tangan perang di Semenanjung Gaza jika dilancarkan Israel ke atas Semenanjung Gaza itu.

 

Sementara itu, Amerika Syarikat (AS)  telah memaklumkan melalui Setiausaha Pertahanan Amerika Syarikat Llyod Austin yang mana AS telah mengarahkan kapal pengangkut pesawat USS Dwight D. Eisenhower dan kapal perang pengiringnya untuk bergerak ke timur Lautan Mediterranean untuk menyertai kapal pengangkut pesawat USS Gerald R. Ford yang telah berada di perairan tersebut bagi persediaan menghadapi sebarang kemungkinan yang akan berlaku.

 

Situasi “perang proksi” antara AS dan Iran ini juga bukan signal yang baik dan boleh membawa kepada ketidaktentuan ekonomi global.

 

Kesan kepada pasaran wang dan modal

Ketidaktentuan ekonomi global ini pastinya memberi kesan yang besar pasaran saham, bon dan komoditi. Minggu lalau, pasaran saham di seluruh rantau Asia Barat suram dengan indeks penanda aras pasaran saham Israel, Tel Aviv Stock Exchange 35 merosot antara 7-10% manakala DJIA dan NASDAQ dibuka masing-masing rendah antara 0.5% sehingga 1% berdasarkan harga niaga hadapan secara langsung.

 

Dalam situasi begini pastinya pelabur mengambil langkah berhati-hati dan memerhatikan pasaran. Jika perang antara Israel dan Palestin ini berpanjangan, pastinya ia kan memberi impak yang lebih besar kepada kadar inflasi global.

 

Apabila inflasi global semakin tinggi, pasti akan memberi kesan kepada bank-bank pusat utama dunia terutamanya Rizab Persekutuan (Fed) AS terhadap dasar monetari mereka bagi mengurangkan inflasi. - DagangNews.com

 
Syamsyul Samsudin adalah Pensyarah Kanan (Kewangan dan Pelaburan) Fakulti Pengurusan dan Perniagaan UiTM

KLIK DI SINI UNTUK KOLEKSI ARTIKEL VOLATILITI


 

parafrasa

 

Portfolio Tags