Adakah Asia perlukan Tabung Kewangan sendiri? | DagangNews Skip to main content
DagangNews.com
Volatiliti - 1 May 2023

Adakah Asia perlukan Tabung Kewangan sendiri?

 

 

JIKA dekad lalu, pertumbuhan ekonomi global banyak bergantung kepada Amerika Syarikat (AS). Namun kini, pertumbuhan ekonomi global beralih ke Asia.

 

Pelaburan Asia memerlukan kira-kira AS$2 trilion dalam aspek infrastruktur manakala pendidikan sebanyak AS$300 bilion hingga AS$500 bilion.

 

Dalam bidang teknologi pula sebanyak AS$3 trilion, pembuatan sebanyak AS$1 trilion hingga AS$2 trilion dan e-dagang  sebanyak AS$500 bilion.

 

Daripada jumlah pelaburan  ini, Asia dijangka akan membangunkan ekonomi baharu yang boleh bersaing dengan kuasa besar dunia seperti AS.

 

Dalam merencanakan pertumbuhan ekonomi Asia ini, Asia memerlukan sokongan kewangan yang boleh memastikan pertumbuhan ekonomi Asia akan terus kukuh.

 

Adakah Asia akan tetap bergantung kepada Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF)?


 

imf

 


Kenali IMF

IMF ialah organisasi antarabangsa yang menyelia sistem kewangan dunia dengan mengikut polisi makro ekonomi negara anggota, terutama yang memberi kesan kepada kadar pertukaran asing dan imbangan pembayaran.

 

IMF juga memberi bantuan kewangan dan teknikal kepada negara anggota yang menjadikan organisasi ini sebagai peminjam antarabangsa terakhir.

 

IMF ini beribu pejabat di Washington, Amerika Syarikat. IMF dibentuk pada tahun 1944 dalam Persidangan Bretton Woods, kemudian dirasmikan pada tahun 1945 dengan 29 negara anggota. IMF sejak awal bertujuan menjaga sistem kewangan antarabangsa.

 

Negara anggota menyumbangkan dana dengan menggunakan sistem kuota. Suntikan dana tersebut dapat dipinjam oleh negara-negara yang mengalami kesusahan dalam hutangnya dan kewangannya.

 

Adakah IMF membantu negara anggota?

Secara asasnya, IMF memberi bantuan kewangan kepada  negara anggota. Namun dari sudut pandang berbeza, IMF dikatakan “menindas” dengan mengenakan syarat-syarat pinjaman yang ketat dan tuntutan-tuntutan yang akhirnya memberi tekanan kepada ekonomi dan sosial kepada negara yang meminjam.

 

 

imf

 

 

Jika kita mengimbau sejarah, Malaysia semasa kegawatan ekonomi Asia pada tahun 1997 pun menolak bantuan daripada IMF yang dikatakan mempunyai syarat yang ketat.

 

Walaupun tindakan Tun Dr. Mahathir ketika itu menolak IMF dikecam dunia, namun Tun sudah boleh membaca helah IMF yang mahu “menangguk di air yang keruh”.

 

Walaupun kebanyakan negara Asia yang lain menerima bantuan kewangan IMF tetapi tidak Malaysia. Negara kita ini akhirnya keluar dari krisis ekonomi 1997 dengan cara sendiri tanpa bantuan IMF.

 

IMF ikut telunjuk Amerika Syarikat

Tujuan utama IMF yang ingin membantu negara anggota sebenarnya bukannya telus. Banyak pihak yang menyatakan yang IMF seolah-olah mengikut telunjuk Amerika Syarikat. Amerika Syarikat yang menjadi “shadow”  kepada IMF dalam setiap keputusan.

 

Seperti yang kita ketahui, Amerika Syarikat adalah satu kuasa besar tunggal dunia dari segi ketenteraan serta kewangan menerusi dolar AS.

 

Tubuhkan Tabung Kewangan Asia

Dalam membangunkan pertumbuhan ekonomi Asia, adakah Asia masih boleh mengharapkan IMF? Sudah sampai masanya Asia menubuhkan sendiri Tabung Kewangan Asia (AMF).

 

Mampukah Asia menubuhkan tabungnya sendiri bagi membantu pertumbuhan ekonomi negara-negara Asia.

 

 

tnb

 

 

Jika cadangan mahu menubuhkan AMF, janganlah terburu-buru. Banyak faktor yang perlu dipertimbangkan  yang mana kini semua negara menghadapi ketidaktentuan ekonomi global dan  geopolitik yang semakin meningkat.

 

AMF sebagai alternatif IMF

Jika AMF dilihat sebagai alternatif kepada IMF. Jika AMF berjaya ditubuhkan, AMF pasti mempunyai fungsi yang sama seperti IMF yang mana AMF akan memberi bantuan kewangan kepada negara-negara  Asia yang memerlukan bantuan kewangan.

 

Syarat yang dikenakan mungkin lebih telus dan melindungi negara-negara Asia sendiri tidak seperti IMF yang “ada udang di sebalik batu”.

 

AMF juga dilihat akan meningkatkan akses terhadap kewangan dan mempromosikan pembangunan sektor swasta di kalangan negara Asia. AMF boleh memperbaiki akses terhadap kewangan bagi negara-negara Asia dalam pembangunan sektor swasta bagi meningkatkan pertumbuhan ekonomi negara-negara Asia.

 

Dari sisi berbeza, dengan penubuhan AMF ini pastinya akan meningkatkan kerjasama serantau antara negara-negara Asia. AMF akan “tulang belakang” dalam pembangunan bersama antara negara Asia dalam pembangunan ekonomi dan sosial yang dapat meningkatkan kestabilan politik dan perdagangan bagi Asia.

 

Timbang tara penubuhan AMF

Walaupun AMF dilihat mampu memberi kebaikan kepada Asia, namun banyak perkara yang perlu diteliti dan diperhalusi.

 

Secara asasnya, semua kuasa ekonomi akhirnya akan menjadi kuasa politik utama. Kita lihat bagaimana AS telah mendominasinya selama ini.

 

Faktor geopolitik pasti akan mengheret pertikaian dalam penubuhan AMF. Kita tidak mahu kuasa besar dalam IMF berlaku dalam AMF juga.

 

 

tnb

 

 

Pastinya China mahu mengukuhkan kedudukannya dalam Asia. China pasti mahu mewujudkan platformnya sendiri kerana saiz negara mereka yang antara paling besar bukan sahaja di Asia tetapi dunia.

 

Jepun juga mempunyai kekuatan tersendiri kerana Bank Pembangunan Asia yang berpusat di Jepun memberi kelebihan kepada Jepun sebagai kuasa dalam AMF. 

 

Asia juga tidak boleh menidakkan Indonesia yang boleh menyumbang kepada ekonomi Asia dengan jumlah penduduk seramai 300 juta orang.

 

Selain, faktor geopolitik, penubuhan AMF perlu “memikirkan” penggunaan mata wang. Jika semua transaksi perdagangan dua hala sebelum ini menggunakan Dolar Amerika Syarikat, penggunaan mata wang alternatif bagi menggantikan dolar perlu dikaji dengan sebaik mungkin.

 

Dalam senario semasa, majoriti komoditi dinilaikan dan didagangkan dalam US Dolar.

 

Perlu ada mekanisme pengawasan

Jika ditubuhkan, AMF perlu lah “ikhlas” memberi bantuan kewangan kepada negara-negara Asia yang lebih fleksibel. AMF juga perlu ada mekanisme pengawasan kepada negara penerima bantuan kewangan.

 

Mekanisme pengawasan ini penting bagi memastikan dana dan bantuan yang diberikan oleh AMF digunakan dengan efisien dan tidak disalahgunakan oleh negara peminjam. Sistem Pengawasan dan Audit Dalaman boleh membantu memantau dana dan bantuan yang disalurkan oleh AMF kelak.

 

 

entah

 

 

Tuntasnya, AMF ini dilihat satu langkah “berani” bagi menjadi alternatif kepada IMF yang telah lama “berkuasa”.

 

Jika ia berjaya ditubuhkan, pastinya akan dapat membangunkan ekonomi Asia. Siapa tahu, satu hari nanti, Asia sebagai kuasa utama ekonomi dunia. Ia tidak mustahil! - DagangNews.com

 

 

Syamsyul Samsudin adalah Pensyarah Kanan (Kewangan dan Pelaburan) Fakulti Pengurusan dan Perniagaan UiTM

KLIK DI SINI UNTUK KOLEKSI ARTIKEL VOLATILITI

Portfolio Tags