Skip to main content
DagangNews.com
Anekdot Mawarith - 10 May 2021

ariffinsabirin

URUSAN HARTA PUSAKA TAK PENTING KEPADA NEGARA?

 

INDUSTRI perancangan harta secara syariah ini boleh dikatakan hampir tidak wujud ketika saya mula menceburinya pada tahun 1998. Tiada langsung kedengaran ceramah atau seminar dibuat untuk menerangkan kepada masyarakat tentang perancangan harta pusaka.

 

Pengetahuan faraid sangat minimum dalam masyarakat. Ketika itu mungkin ada satu atau dua pihak yang bercerita tentang wasiat tetapi tentang Hibah ? Langsung tidak kedengaran tentangnya.

 

Saya masih ingat ketika itu hanya saya dan beberapa orang rakan lain (tak sampai 10 orang pun) daripada syarikat berbeza, bertungkus-lumus menganjurkan pelbagai aktiviti ceramah, seminar dan bengkel dan bermusafir seluruh negara untuk memberi kesedaran kepada masyarakat betapa pentingnya mereka merancang harta mengikut kaedah syariah.

 

Setakat pengetahuan saya, sehingga hari ini hanya tinggal beberapa orang sahaja daripada kami yang masih aktif di dalam industri. Yang lain? Ada antaranya telah meninggal dunia, ada yang telah meninggalkan industri ini dan ada yang telah bersara.  

 

Perjalanan memperjuangkan industri perancangan harta secara syariah ini sesungguhnya bukan mudah dan ia penuh cabaran. Ibarat kita cuba menjual kasut kepada orang yang tidak pernah kenal apa itu kasut.

 

Pada peringkat permulaan ini, saya antara orang yang berada dalam kedudukan paling ‘vulnerable’ kerana saya tiada gaji berbanding dengan rakan-rakan lain yang bekerja makan gaji dengan syarikat amanah besar. Pendapatan saya berdasarkan ‘success basis’ apabila saya berjaya meyakinkan orang merancang harta melalui perkhidmatan saya.   

 

 

ariffinsabirin
Hj Ariffin Sabirin berucap pada sesi Muzakarah isu-isu kontemporari perwarisan harta Islam pada 2018.

 

 

Ada kalanya saya gagal meyakinkan sesiapapun untuk membuat dokumen perancangan harta melalui saya sehingga berbulan lamanya! Dalam keadaan saya ada keluarga untuk ditanggung, saya tiada pendapatan!

 

Dengan kelayakan dan pengalaman, saya boleh saja mengambil jalan mudah untuk berhenti dan bekerja sahaja di dalam bidang lain yang pendapatannya lebih lumayan. Seorang ahli keluarga pernah menasihatkan supaya berhenti membuat kerja sia-sia ini.

 

Kenapa saya teruskan juga kerja ini pada peringkat awal itu dalam keadaan saya tahu ia sangat susah dan tidak menjanjikan pendapatan lumayan? Sebaik tamat pengajian saya memulakan kerjaya di bidang perbankan dan pelaburan. Saya pernah hidup selesa dan mewah di dalam bidang itu. Tetapi saya buat keputusan untuk meninggalkannnya bagi mengejar sesuatu yang tidak pasti di dalam industri perancangan harta secara syariah.

 

Ketika itu, saya menoleh sekeliling, saya dapati tidak ramai orang Islam yang berbuat sesuatu untuk membantu masyarakat merancang harta secara syariah. Bidang ini tidak dipandang sebagai satu bidang yang signifikan.

 

 

ariffinsabirin

 

 

Malah ketika itu ada rakan peguam yang berkata kepada saya, “Aku yang peguam pun tak mahu buat bisnes harta pusaka ni sebab tak berbaloi apatah lagi kau yang bukan peguam. Kerja ini penat, pecah kepala dan leceh sebab kau kena layan kerenah waris-waris bergaduh. Hasilnya tak seberapa pun. Jangan buang masa!”

 

Masalah harta pusaka semakin banyak, institusi kekeluargaan Islam semakin tercabar akibat perbalahan harta pusaka tetapi tidak ramai orang Islam yang mengambil inisiatif menggerakkan kesedaran masyarakat secara agresif mengenai kepentingan perancangan harta ini. Itu antara sebab utama kenapa saya memilih untuk serius bergiat di dalam bidang ini. Ia adalah satu ibadat fardu kifayah bukan bisnes semata-mata.

 

Sejak itu, saya tidak menoleh lagi ke belakang. Segala usaha, idea, keringat dan modal kewangan digembleng sepenuhnya. Alhamdulillah perjuangan itu mulai menampakkan hasil.

 

Hari ini, masyarakat mulai faham dan sedar. Kini semakin banyak pemain menceburi industri ini sekaligus mewujudkan momentum kuat meningkatkan kefahaman masyarakat. Industri ini mulai dipandang sebagai sebahagian komponen penting di dalam industri perancangan kewangan (financial planning). Seminar, ceramah, bengkel mulai banyak dianjurkan pelbagai pihak di seluruh negara.     

 

Di Wasiyyah Shoppe Berhad sendiri, kami telah membantu lebih 70,000 orang Islam merancang harta mengikut kaedah syariah semenjak 2004. Nilai harta dalam pewarisan (Asset under inheritance) yang bakal kami uruskan apabila 70,000 pelanggan ini meninggal dunia, dianggarkan mencecah nilai RM35 bilion. Nilai ini adalah separuh dari nilai harta pusaka tertunggak yang dilaporkan di Malaysia iaitu RM70 bilion. 

 

Malangnya di mata pihak berwajib, kepentingan industri perancangan harta secara syariah ini masih tidak dipedulikan. Walaupun sejak 17 tahun lepas, telah secara istiqomah kami usahakan untuk ‘engage’ dan menunjukkan kepada mereka betapa kritikalnya industri ini dipandang serius dan disokong perkembangannya kerana kegagalan merancang harta akan merisikokan berlakunya masalah harta pusaka seterusnya menyebabkan kerugian kepada ekonomi negara, usaha itu ibarat mencurah air di daun keladi.

 

  • Bayangkan jika tanah berharga di kawasan Kampung Baru Kuala Lumpur dapat diselesaikan isu pewarisannya dan dapat dibangunkan secara sistematik.
  • Bukankah ia akan menjadi sumber ekonomi yang sangat baik untuk waris dan juga negara?
  • Bayangkan jika wang terbeku bernilai ratusan juta RM dapat diwariskan dengan cepat kepada waris yang berhak?
  • Bukankah ia akan sangat membantu mereka di dalam keadaan ekonomi yang serba mencabar sekarang? 

 

Selama 17 tahun operasi dan sehingga hari ini, Wasiyyah Shoppe Berhad telah bersusah-payah berusaha berdiri di atas dua kaki sendiri tanpa apa-apa bentuk sokongan pun dari mana-mana pihak berwajib.

 

Tidaklah kami mengemis simpati memohon bantuan kerana kami faham gagal atau berjayanya kami adalah di atas usaha sendiri (dan dengan izin Allah SWT), namun jika ada sokongan ia akan memberi stimulus tambahan untuk kami bergerak lebih laju dalam membantu masyarakat. Memang pun menjadi tanggungjawab pihak berwajib berkenaan membantu sosio-ekonomi rakyat Malaysia.  

 

 

 

ariffinsabirin
Hj Ariffin Sabirin berucap pada majlis Himpunan Perniagaan Eropah di Oxford, United Kingdom.

 

 

 

Kami diperlekehkan apabila membuat pembentangan kepada pihak-pihak berwajib ini kerana mereka menganggap apa yang kami buat tidak signifikan untuk negara dan tiada nilai ekonomi untuk dibantu.

 

Walau ditunjukkan berulang kali segala fakta, bukti dan rekod cemerlang, mereka masih tidak dapat melihat impak positif kepada ekonomi negara apabila harta dirancang dengan baik. Mereka juga gagal nampak bahawa apa yang kami buat ini ialah ibadat fardu kifayah memperjuangkan muamalat dan bakal memberi saham akhirat kepada kita.

 

Apapun saya tidak kecewa sehingga ‘frust menonggeng’ ibarat patah cinta. Ia tidak pernah mematahkan malah lebih membakar semangat kerana saya jadikan ia sebagai motivasi bagi membuktikan bahawa pandangan mereka adalah salah.

 

Wasiyyah Shoppe Berhad telah berjaya muncul sebagai syarikat amanah patuh syariah terbesar di Malaysia tanpa bantuan dan sokongan dari mana-mana pihak berwajib. Insya-Allah kami juga akan mula meluaskan operasi ke peringkat antarabangsa pada tahun ini untuk membantu umat Islam global.

 

Cuma kepada pihak berwajib berkenaan, saya hanya nak tanya soalan, “Urusan harta pusaka tidak penting kepada ekonomi negara ? Think again!”     

 

 

ariffinsabirin
Tn Hj Ariffin Sabirin adalah pengasas dan CEO Wasiyyah Shoppe

 

ariffinsabirin

 

KOLEKSI ANEKDOT MAWARITH

 

 

 

Portfolio Tags