Unit Central Global catat untung bersih RM12.55 juta | DagangNews Skip to main content

Unit Central Global catat untung bersih RM12.55 juta

KUALA LUMPUR 22 Jun - Central Global Bhd. (CGB) mengumumkan anak syarikat pegangan 70% miliknya, RYRT International Sdn. Bhd. menerusi anak syarikat milik penuh CIC Construction Sdn. Bhd. merekodkan keuntungan selepas cukai (PAT) sebanyak RM12.55 juta bagi tahun kewangan berakhir 28 Februari 2022.

 

Sebagai sebahagian daripada pengambilalihan RYRT pada Januari 2022, kumpulan telah memeterai perjanjian jaminan keuntungan yang mana RYRT menjamin bahawa ia akan mencapai agregat PAT teraudit sebanyak RM43 juta untuk tempoh 2 tahun bagi tahun kewangan berakhir 31 Ogos 2022 dan FYE 31 Ogos 2023.

 

Pengambilalihan itu adalah untuk jumlah pertimbangan pembelian indikatif sebanyak RM30.1 juta yang akan dipenuhi sepenuhnya melalui terbitan saham dalam CGB pada harga RM1.04 yang akan diperuntukkan dan diterbitkan atas dasar pembayaran tertunda pada setiap 6 bulan bersamaan 70% daripada agregat PAT yang diaudit untuk setiap 6 bulan yang dinyatakan di atas.

 

Selaras dengan terma Perjanjian Jual Beli dan Perjanjian Jaminan Untung, sebanyak 8,448,380 baki saham pertimbangan, mewakili 70% daripada agregat PAT yang telah diaudit untuk tahun kewangan 28 Februari 2022 sebanyak RM8,786,316, akan diperuntukkan dan diterbitkan oleh CGB.

 

Chew Hian Tat
Chew Hian Tat

 

 

Dalam kenyataan hari ini, Pengarah Urusan CGB, Chew Hian Tat berkata, kumpulan pada awal tahun ini melaksanakan strategi perniagaan yang diperlukan untuk memperoleh RYRT International bagi mengembangkan penawaran segmen pembinaan dalam subsektor pembinaan infrastruktur yang mewujudkan pertumbuhan hasil jangka panjang dan kemampanan pendapatan.

 

Beliau percaya, industri pembinaan di Malaysia tahun ini akan terus berkembang didorong persekitaran ekonomi yang semakin baik dan fokus kerajaan untuk menyiapkan projek infrastruktur yang besar, dan meningkatkan pelaburan ke atas projek perindustrian dan tenaga.

 

"Oleh itu, terdapat banyak peluang yang boleh diterokai RYRT International sekali gus meningkatkan keuntungan jangka panjang kumpulan," katanya.

 

Setakat ini, nilai kontrak RYRT International mencecah hampir RM262 juta dan dijangka terus meningkat sekiranya tiada sebarang perkara dijangka. -DagangNews.com