TNG, PayNet lancar kempen 'Mai Kita Cashless' galak amalan bayaran tanpa tunai masyarakat luar bandar | DagangNews Skip to main content

TNG, PayNet lancar kempen 'Mai Kita Cashless' galak amalan bayaran tanpa tunai masyarakat luar bandar

(Dari kiri) Ketua Pegawai Komersial Touch ‘n Go eWallet, Danny Chua, Ketua Pembangunan Ekosistem PayNet, Heliziana Madzin dan Ketua Penolong Pegawai Daerah Pejabat Daerah Kubang Pasu, Mohd Khairul Nizam Abd Latif.
Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 18 Julai - Kumpulan Touch 'n Go (TNG) melalui Touch 'n Go eWallet, bersama Payment Network Malaysia Sdn Bhd (PayNet) melancarkan kempen 'Mai Kita Cashless' di Pasar Tani Kekal di Changlun, Kedah yang membolehkan peniaga dan pengguna memasuki era digital dengan penggunaan pembayaran tanpa tunai. 


 
Kempen itu memberi tumpuan kepada masyarakat di tiga kampung dalam kawasan Changlun iaitu Kampung Baru Changloon, Kampung Paya Nongmi dan Kampung Tradisi Lembah Keriang.

 

Ketua Pegawai Eksekutif TNG Digital Sdn Bhd, Alan Ni berkata, kempen itu bertujuan menggalakkan amalan tanpa tunai bandar dengan kemajuan teknologi ke kawasan luar bandar. 

 

"Kami memulakan inisiatif ini dengan PayNet kerana kami ingin menyediakan peluang dan platform kepada masyarakat luar bandar di Malaysia, bermula dengan Changlun di wilayah Utara, untuk menggunakan dan mendapat manfaat daripada Touch 'n Go eWallet dan DuitNow QR,” katanya dalam satu kenyataan. 

 

Kempen Mai Kita Cashless dilancarkan untuk menggalakkan dan menyokong usaha berterusan kerajaan dalam mempromosikan pembayaran tanpa tunai, serta mencapai misi mengubah masyarakat luar bandar kepada masyarakat tanpa tunai dengan pantas. 

 

Mai Kita Cashless bertujuan untuk mendidik dan meningkatkan pemahaman masyarakat tentang transaksi tanpa tunai sebagai cara pembayaran.

 

Terdapat lebih 300 peniaga di Pasar Tani Kekal dan kawasan sekitarnya. Mereka digalakkan untuk menukar strategi operasi perniagaan mereka dengan Touch ‘n Go eWallet dan DuitNow QR sebagai mod pembayaran utama supaya mereka boleh berdagang dengan cara lebih mudah.

 

 

TNG
Danny Chua dan Ketua Pegawai Kewangan Touch ‘n Go eWallet, Wilson Soon berinteraksi dengan salah seorang peniaga di Pasar Tani Kekal Changlun, Kedah.

 

 

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PayNet, Farhan Ahmad pula berkata, peniaga dan pengguna di kawasan bandar telah menikmati faedah pembayaran tanpa tunai sejak sekian lama. 

 

"Kami gembira bekerjasama dengan TNG Digital untuk membawa faedah kepantasan dan kemudahan yang sama kepada Changlun sebagai sebahagian daripada 'Projek Kampung Tanpa Tunai' kami, satu inisiatif bertujuan mengembangkan pembayaran digital dalam komuniti bukan bandar. 

 

"Memandangkan DuitNow QR ialah kod QR biasa untuk negara, pengguna boleh menggunakannya untuk membuat pembayaran tanpa tunai di seluruh Changlun tanpa mengira bank atau e-dompet yang mereka mahu gunakan. Kami berharap inisiatif ini akan memacu pertumbuhan ekonomi di kawasan itu dengan menjadikan perdagangan lebih lancar dan mengurangkan kos serta kerumitan mengurus tunai,” katanya.

 

 

TNG
Mohd Khairul Nizam Abd Latif merasmikan majlis dengan mengimbas kod QR DuitNow melalui Touch ‘n Go eWallet.

 

 

Mulai sekarang hingga 31 Ogos 2022, pengguna boleh menggunakan Touch 'n Go eWallet untuk pembelian di Pasar Tani Kekal Changlun dan kawasan sekitar Changlun dengan mengimbas kod QR DuitNow dan mereka akan menikmati pulangan tunai RM5 untuk setiap transaksi, dengan jumlah transaksi minimum sebanyak RM10. Peniaga yang mendaftar dalam tempoh masa ini, akan mendapat ganjaran RM20 setelah selesai 10 transaksi.

 

Pada masa ini, Touch 'n Go eWallet diterima di lebih 670,000 tempat runcit dalam talian dan luar talian dan pada 1.2 juta mata jualan DuitNow QR di seluruh negara. Selain itu, Touch ‘n Go eWallet juga diterima di peringkat antarabangsa di Singapura dan di Jepun melalui rangkaian pedagang Alipay+.

 

Kempen Mai Kita Cashless akan berlangsung sehingga 31 Disember 2022 dengan aktiviti dan acara yang akan datang. Untuk maklumat lanjut mengenai kempen tersebut, layari www.touchngo.com.my. - DagangNews.com