TNB nasihat orang ramai patuh panduan keselamatan menjelang musim tengkujuh | DagangNews Skip to main content

TNB nasihat orang ramai patuh panduan keselamatan menjelang musim tengkujuh

 

NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR
azan@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 3 Nov - Tenaga Nasional Berhad (TNB) menyarankan orang ramai di kawasan banjir untuk mengamalkan nasihat dan panduan keselamatan menjelang musim tengkujuh yang dijangka melanda bermula hari ini.

 

TNB dalam satu kenyataan memngingatkan orang ramai untuk  hindari penggunaan sebarang peralatan elektrik dan pastikan suis utama ditutup bagi mengurangkan kemungkinan renjatan elektrik berlaku dan hubungi TNB CareLine 15454 atau Facebook TNB CareLine sebaik paras air meningkat supaya bekalan elektrik boleh diputuskan segera di kawasan terlibat.

 

Pengguna juga dinasihatkan tidak menyentuh mana-mana peralatan atau kabel elektrik yang terendam dalam air banjir walaupun walupun bersalut penebat selain mematikan bekalan masuk utama di papan agihan dengan menutup suis utama.

 

"Pastikan semua suis di soket alir keluar ditutup dan tanggalkan palam kuasa peralatan elektrik, simpan kelengkapan elektrik di tempat yang tinggi dan selamat daripada ditenggelami atau terkena air banjir dan jangan memegang tiang elektrik atau dawai umbang semasa hujan atau banjir.

 

"Sekiranya premis dipasang dengan sistem solar PV, matikan sistem tersebut sebelum keluar dari rumah bagi mengelakkan bekalan suap balik ke sistem pendawaian rumah selain hindari daripada menghampiri atau menyentuh mana-mana tiang besi yang ditenggelami air bagi mengelak risiko terkena renjatan elektrik

 

"Orang ramai juga dinasihatkanuntuk mengelakkan kawasan yang mempunyai talian elektrik terutamanya pada waktu malam di mana tahap penglihatan adalah kurang baik supaya tidak tersentuh talian dan jangan sesekali menggunakan tangga berhampiran talian elektrik," katanya.

 

Selepas banjir pula, TNB menasihatkan orang ramai agar memastikan suis utama pada papan agihan telah ditutup sebelum membersihkan peralatan elektrik atau pendawaian rumah dan pastikan suis elektrik dan perkakas elektrik yang terendam dalam air banjir diperiksa dan diuji terlebih dahulu oleh kontraktor elektrik yang berdaftar dengan Suruhanjaya Tenaga sebelum digunakan semula.

 

Selain itu, ibu bapa perlu mengawasi pergerakan anak-anak supaya tidak menghampiri tiang elektrik yang tumbang atau kabel elektrik yang putus semasa banjir.-DagangNews.com