Tipu timbangan sawit, boleh digantung lesen - MPOB | DagangNews Skip to main content

Tipu timbangan sawit, boleh digantung lesen - MPOB

 

 


KUALA LUMPUR 20 Mei - Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) dengan kerjasama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) sedang melaksanakan Operasi Bersepadu - Ops Timbang Sawit 2021 di seluruh negara.

 

Operasi ini dijalankan bagi membanteras amalan manipulasi timbangan buah kelapa sawit dalam kalangan peniaga dan pengilang buah kelapa sawit. 

 

Ketua Pengarah MPOB, Dr. Ahmad Parveez Ghulam Kadir berkata, pelaksanaan operasi bersepadu manipulasi timbangan sawit itu melibatkan pemeriksaan alat timbang pusat pengumpulan buah kelapa sawit oleh MPOB bersama Pegawai Penguatkuasa KPDNHEP. 

 

Katanya, sebanyak 5 siri operasi bersepadu dengan 63 lawatan ke premis telah dilaksanakan sehingga 27 April tahun ini. 

 

“Pada Mac, operasi bersepadu telah dijalankan di Perak dengan lawatan ke 9 premis, diikuti dengan Sabah (9) dan Sarawak 24 buah premis. 

 

"Sementara itu, pada April, operasi bersepadu dilaksanakan di Pahang (Rompin) dengan lawatan ke 8 premis dan Selangor 13 premis," katanya dalam kenyataan hari ini.


 

Dr. Ahmad Parveez Ghulam Kadir
Dr. Ahmad Parveez Ghulam Kadir

 

 

Beliau berkata, hasil daripada operasi bersepadu ini, sebanyak 56 tindakan penguatkuasaan telah dikenakan ke atas pemegang lesen MPOB bagi kesalahan-kesalahan di bawah Peraturan-Peraturan Lembaga Minyak Sawit Malaysia (Pelesenan) 2005.
  

Daripada jumlah tersebut, 3 daripadanya adalah tindakan kompaun/mahkamah (Manipulasi Timbangan–Peraturan 42, PPLMSM (P) 2005) yang berlaku di Perak. 

 

Sebanyak 53 lagi kes adalah tindakan Amaran/Kompaun – Peraturan 21 & 23, PPLMSM (P) 2002, yang mana 12 daripadanya berlaku di Perak, Selangor (15), Sabah (10), Sarawak (13) dan Pahang (3).

 

Kebiasaannya, tindakan penguatkuasaan MPOB terhadap pemegang lesen yang melakukan kesalahan termasuk pengeluaran surat amaran, kompaun dan pendakwaan di mahkamah melibatkan denda sehingga RM200,000. 

 

Bagi pemegang lesen yang mengulangi kesalahan atau tegar, tindakan penggantungan, pembatalan atau lesen MPOB tidak diperbaharui. 

 

Memandangkan kesalahan menipu timbangan buah kelapa sawit amat serius dan memberi kesan negatif kepada pekebun kecil, MPOB bersedia dengan tindakan yang lebih tegas di mana pemborong yang terbukti melakukan penipuan atau manipulasi timbangan buah kelapa sawit akan digantung lesennya serta-merta. 

 

Untuk kesalahan sama, tindakan yang lebih tegas akan diambil termasuk pembatalan lesen secara serta merta.

 

Menurut Ahmad Parveez, operasi bersepadu serta tindakan penguatkuasaan yang dijalankan oleh MPOB dapat membanteras dan mencegah amalan manipulasi timbangan dalam urus niaga keluaran kelapa sawit yang boleh menjejaskan kesejahteraan industri sawit negara. 

 

“Operasi ini disambut baik oleh pekebun kecil kerana ia dapat meningkatkan keyakinan dan kepercayaan mereka terhadap industri sawit,” kata beliau. 

 

Tambahnya lagi, MPOB menyasarkan 4 lagi pelaksanaan operasi bersepadu di negeri Johor, Pahang, Sabah dan Sarawak.  

 

Bagi membendung kegiatan tidak sihat dalam industri sawit termasuk penipuan timbang buah kelapa sawit, semua pihak khususnya pekebun kecil yang mempunyai maklumat disarankan untuk melaporkan kepada MPOB untuk siasatan dan tindakan mengikut peraturan pelesenan MPOB.  

 

Beliau berkata, hampir kesemua aduan daripada pekebun kecil yang diterima MPOB adalah berkaitan dengan timbangan berat yang tidak tepat dan setimpal dengan jumlah buah kelapa sawit yang dihantar kepada penjual sama ada kilang buah kelapa sawit atau peniaga buah kelapa sawit. 

 

Katanya, pihak pembeli juga tidak mempamerkan bacaan timbang weight indicator display di premis perniagaan menyebabkan pekebun kecil tidak tahu jumlah berat kasar buah sawit yang dijual. 

 

"Ketidakadilan ini secara tidak langsung telah menyebabkan pekebun kecil mengalami kerugian dan berasa tertipu," tambahnya.

 

Selain itu, program penguatkuasaan alatan timbang dilaksanakan bagi memastikan setiap pelesen MPOB yang mempunyai peralatan timbang yang digunakan dalam perniagaan keluaran kelapa sawit mematuhi peruntukan Akta dan Peraturan. 

 

MPOB selaku badan yang bertanggungjawab memastikan kesejahteraan industri sawit negara, mengambil perhatian dan tindakan yang serius dalam menangani isu-isu manipulasi timbangan berat, serta pelbagai pelanggaran peruntukan di bawah akta-akta/peraturan berkaitan yang dikuatkuasakan. 

 

Agensi itu menjalankan aktiviti kawal selia dan penguatkuasaan peraturan bagi memastikan perkembangan industri sawit yang teratur. 

 

Di bawah Akta Lembaga Minyak Sawit Malaysia 1998 (Akta 582), MPOB diberi kuasa melesenkan 12 aktiviti utama merangkumi 24 kategori lesen dalam industri sawit termasuk urus niaga buah kelapa sawit oleh pekebun kecil, peniaga buah kelapa sawit dan kilang kelapa sawit seperti yang termaktub di bawah Peraturan-peraturan (Pelesenan) 2005 MPOB.

 

Bagi kes-kes penipuan timbangan buah kelapa sawit, tindakan pemantauan dan penguatkuasaan adalah tertakluk di bawah bidang kuasa KPDNHEP sebagaimana yang diperuntukkan di bawah Akta Timbang dan Sukat 1972 dan perundangan subsidiari di bawahnya. - DagangNews.com