Skip to main content
DagangNews.com
Anekdot Mawarith - 9 January 2021

WasiyyahShoppe

TERUKNYA TANGGUNGJAWAB WASI HARTA PUSAKA

 

DALAM penulisan sebelum ini saya menceritakan tentang wasiat yang melantik wasi dan kedudukannya dari segi undang-undang. Kali ini saya nak sambung lagi cerita tentang wasiat yang melantik wasi tetapi kali ini dari sudut tanggungjawab wasi yang dilantik di dalam wasiat.  

 

Berbeza dengan wasiat agihan harta yang menyebut tentang bagaimana harta pusaka dibahagikan (perlu ingat bahawa sahnya wasiat agihan harta ini tertakluk kepada syarat 1/3 kepada bukan waris seperti yang pernah saya ceritakan dalam artikel sebelum ini), wasiat melantik wasi merujuk kepada hasrat si pewasiat melantik wasi (pentadbir harta pusaka) bagi menguruskan harta pusakanya selepas kematiannya.

 

Selepas kematian pewasiat, wasi (pentadbir harta pusaka) yang dilantik ini akan bertanggungjawab untuk mengkoordinasikan urusan tuntutan harta pusaka sipewasiat. Dia akan mengumpulkan harta pusaka, mengutip hutang pihak yang berhutang dengan si pewasiat, mengumpulkan semua harta pusaka si pewasiat dan membayarkan hutang si pewasiat itu  kepada pihak lain dari harta pusakanya dan akhirnya mengagihkan harta itu kepada waris atau pihak yang berhak ke atasnya.

 

Siapakah yang boleh dilantik sebagai wasi di dalam wasiat? Pewasiat boleh melantik sesiapa pun sebagai wasi baik individu dari kalangan waris atau bukan waris atau syarikat amanah seperti Wasiyyah Shoppe Berhad  yang mempunyai bidang kuasa di bawah Akta Syarikat Amanah 1949 ( Akta 100 ) untuk menjadi wasi.

 

Walaupun begitu pewasiat perlu mempertimbangkan beberapa faktor sebelum membuat pilihan melantik wasi individu atau wasi syarikat amanah. Jika pewasiat melantik wasi individu, wasi itu mungkin tidak akan mengenakan sebarang fi kepada usahanya menguruskan harta pusaka namun terdapat kemungkinan individu itu tiada masa untuk turun naik pelbagai pejabat dan  agensi bagi menguruskan permohonan bicara kuasa kerana dia juga bekerja dan mempunyai urusan peribadi yang lain.

 

Ada kemungkinan juga individu yang dilantik itu tidak tahu secara tepat apa tanggungjawabnya di sisi undang-undang sebagai wasi, apa proses dokumentasi dan  perundangan  yang perlu dilaluinya. Ketiadaan pengetahuan ini berkebarangkalian menyebabkan proses tuntutan harta pusaka itu menjadi lambat dan bermasalah.

 

Ada kemungkinan juga individu yang dilantik sebagai wasi apabila dia menerima harta pusaka itu, dia tidak akan menjalankan tanggungjawabnya untuk mengagihkan harta pusaka itu kepada waris/ pihak yang berhak, sebaliknya menyalahguna harta pusaka itu untuk kepentingan sendiri. Kadang-kadang wasi menerima harta pusaka sehingga berjuta-juta RM ! Jadi godaannya juga hebat.

 

Ada kemungkinan lagi individu yang dilantik sebagai wasi/ pentadbir harta pusaka selepas Surat Kuasa Mentadbir/ Geran Probet/ Letter of Administration dikeluarkan, mati pulak. Keadaan ini akan menyebabkan proses baru perlu dibuat untuk melantik wasi/ pentadbir harta pusaka yang baru. Bertambahlah lagi kos dan panjanglah lagi proses.

 

WasiyyahShoppe

 

Jika wasi yang dilantik ialah syarikat amanah pula, kesemua kemungkinan di atas itu tidak ada. Ini kerana syarikat amanah yang terikat kuat dengan Akta Syarikat Amanah 1949 ( Akta 100 ) pasti akan menjalankan tanggungjawabnya dengan telus, cekap dan profesional. Namun faktor pertimbangan yang pewasiat kena fikir ialah dari segi fi pengurusan pusaka jika syarikat amanah yang dilantik.

 

Sama ada wasi individu atau syarikat amanah, selepas selesai bicara, nama wasi akan muncul di dalam Surat Kuasa Mentadbir (bagi kes yang dibicarakan di Pejabat Pusaka Kecil) atau Geran Probet/ Letter of Administration (bagi kes yang dibicarakan di Mahkamah Tinggi Sivil).

 

Wasi ialah orang yang akan pergi ke bank untuk menuntut wang di dalam akaun sipewasiat, pergi ke Bursa Malaysia untuk menuntut CDS akaun si pewasiat, ke JPJ untuk menukar nama kenderaan kepada namanya, berurusan dengan setiausaha syarikat untuk memindah milik semua saham si pewasiat ke atas namanya  dan juga ke agensi-agensi lain untuk menuntut harta simati.

 

Ini bermakna bagi harta alih (kecuali bagi harta yang berpenama), wasi ialah pihak  yang akan menerima harta itu. Bagi harta yang berpenama pula, wasi harta pusaka perlu berurusan dengan penama dan meminta supaya penama menyerahkan wang milik sipewasiat kepadanya untuk ditadbirkan secara keseluruhannya.

 

Bunyinya macam wasi ialah orang yang paling berkuasa ke atas harta pusaka si pewasiat. Ya memang wasi berkuasa penuh ke atas harta pusaka. Namun tanggungjawabnya juga berat. Jika wasi gagal membayar hutang si pewasiat sebelum mengagihkan harta pusaka kepada waris/ pihak yang berhak, wasi ialah pihak yang akan disaman oleh pemberi hutang. Bank, individu malah LHDN juga boleh menyaman wasi jika wasi gagal membayar hutang yang tertunggak.

 

Jika wasi gagal mengagihkan harta pusaka dengan sempurna kepada waris/ pihak yang berhak pula, dia boleh disaman pula oleh pihak-pihak ini. Sebab itu sangat penting bagi wasi menyimpan segala rekod kewangan berkaitan urusan harta pusaka dengan terperinci supaya ia boleh diaudit dengan baik.

 

Kerana beratnya tanggungjawab wasi, maka Akta Probet dan Pentadbiran 1959 di dalam Seksyen 43 menetapkan bahawa wasi boleh mengenakan fi pengurusan pusaka sehingga 5% dari nilai harta pusaka. Kebanyakan syarikat amanah yang menguruskan harta pusaka memang mengenakan fi pengurusan pusaka di dalam lingkungan kadar ini. Fi 5% ini hanyalah fi profesional sahaja tidak termasuk fi-fi lain yang akan dikeluarkan wasi sepanjang proses tuntutan harta pusaka itu berjalan.

 

Seperti yang pernah saya ceritakan sebelum ini, kesemua fi ini akan ditolak dari harta pusaka pewasiat yang bersifat harta alih (wang tunai ), dibayar oleh waris (Jika pewasiat tidak meninggalkan harta alih yang mencukupi) atau harta pusaka dijual dan hasil jualan diguna untuk membayar fi pengurusan pusaka (jika pewasiat hanya meninggalkan hartanah sahaja).

 

Namun masyarakat hari ini mempunyai pilihan. Jika mereka tidak mahu harta pusaka mereka ditolak dengan pelbagi fi atau tidak mahu waris terbeban dengan pelbagai fi pengurusan pusaka tetapi dalam masa yang sama mahukan perkhidmatan Wasiyyah Shoppe Berhad sebagai syarikat amanah profesional, masyarakat boleh mendapatkan perkhidmatan pengurusan pusaka Al-Wasitah Wasiyyah Shoppe Berhad.

 

Melalui perkhidmatan ini, waris akan dibantu urus untuk melalui semua proses perundangan secara percuma. Tiada fi perlu mereka bayar dan tiada harta pusaka yang akan ditolak untuk apa-apa bayaran perkhidmatan kami. Pilihan di tangan anda.  

 

ariffinsabirin
Ariffin Sabirin adalah pengasas dan CEO Wasiyyah Shoppe Berhad​​​

 

ariffinsabirin

 

Nota Pengarang: Tarikh siaran artikel Faraid dan Tanggungjawab ini ialah pada 28 Disember 2020 tetapi disebabkan masalah teknikal, ia disiar semula pada tarikh 9 Januari 2021. Pihak kami memohon maaf atas segala kesulitan yang berlaku.

 

KOLEKSI ANEKDOT MAWARITH

Kenapa penting untuk hibahkan rumah kita yang masih ada pinjaman bank – Bahagian Pertama

KENAPA PENTING UNTUK HIBAHKAN RUMAH KITA YANG MASIH ADA PINJAMAN BANK – Bahagian Kedua

Kenapa penting untuk hibahkan rumah kita yang masih ada pinjaman bank - Bahagian Ketiga

BAGAIMANA CARA WARIS TIDAK PERLU BAYAR FI KHIDMAT PENGURUSAN PUSAKA?

ORANG MALAYSIA TIDAK TAHU KOS URUS HARTA PUSAKA MAHAL!

ALTRUISME DAN  HARTA PUSAKA

COVID-19 dan perancangan harta

INTEGRITI DALAM INDUSTRI PERANCANGAN HARTA

Tak semua orang perlu wasiat?

Jangan lupa rancang harta untuk manfaat diri sendiri dulu

 

 

Portfolio Tags