Teknologi Illumina NovaSeq 6000 bantu AGTC Genomics kesan penyakit menerusi analisis genom pantas | DagangNews.com Skip to main content

Teknologi Illumina NovaSeq 6000 bantu AGTC Genomics kesan penyakit menerusi analisis genom pantas

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 4 April - AGTC Genomics Sdn. Bhd. akan menggunakan Illumina NovaSeq 6000 sebagai platform terkini yang boleh merevolusikan pengesanan, diagnosis dan rawatan penyakit melalui analisis genom yang pantas dan cekap.

 

Pada masa sama, syarikat pembekal perkhidmatan dan penyelesaian genomik itu akan menggunakan teknologi berkenaan bersama DRAGEN Bio-IT iaitu perisian analisis sekunder yang tepat dan pantas untuk memproses sejumlah besar data jujukan DNA yang tidak diproses oleh NovaSeq.

 

Ketua Pegawai Eksekutif AGTC Genomics, Dr. Chee Onn Leong berkata, dengan penggunaan teknologi baharu itu, pihaknya dapat menyusun lebih 50 genom manusia dalam masa kurang daripada dua hari.

 

"Menerusi pengesanan sejumlah besar maklumat genetik mengenai penyakit dalam masa singkat, kami menjangkakan teknologi ini akan dapat meningkatkan kadar pengesanan, diagnosis dan rawatan penyakit dengan lebih pantas.

 

"Teknologi itu berpotensi menyelamatkan lebih banyak nyawa rakyat Malaysia dan kami berbesar hati kerana berjaya membawa teknologi berkenaan ke negara ini," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

 

Penggunaan teknologi NovaSeq6000 dijangka meningkatkan bilangan sampel jujukan secara drastik dan mengurangkan kos perubatan selain membolehkan penyelidik dan pakar membaca serta mentafsir maklumat genetik dengan lebih cepat.

 

illumina

 

Maklumat itu kemudiannya boleh digunakan untuk diagnosis penyakit atau untuk membantu mencari rawatan terbaik untuk menyasarkan sel kanser pada pesakit.

 

Sementara itu, Ketua Strategi Komersial Global dan Pengurus Besar illumina Asia Pasifik dan Jepun, Gretchen Weightman berkata, penggunaan teknologi genomik dan penyediaan ubat yang tepat adalah keperluan yang sangat penting untuk semua.

 

"Kami berbangga dengan dedikasi AGTC Genomics dalam meningkatkan keupayaan dan mengubah penjagaan kesihatan di Malaysia," katanya. - DagangNews.com