Selepas Serba Dinamik, dagangan SCIB pula digantung Bursa Malaysia mulai hari ini | DagangNews Skip to main content

Selepas Serba Dinamik, dagangan SCIB pula digantung Bursa Malaysia mulai hari ini

 

 

KUALA LUMPUR 9 Nov - Dagangan saham Sarawak Consolidated Industries Bhd (SCIB) digantung mulai pagi ini selepas ia gagal mengemukakan laporan tahunannya dalam tempoh masa ditetapkan Bursa Malaysia Securities.

 

Pada 3 November lalu, Bursa Malaysia Securities telah memberi amaran kepada SCIB untuk menggantung urus niaganya sekiranya SCIB gagal mengemukakan laporan tahunannya bagi tahun kewangan berakhir 30 Jun 2021 pada Isnin (8 November).

 

Bursa Securities berkata, SCIB gagal mengeluarkan laporan tahunannya yang merangkumi penyata kewangan teraudit tahunan bersama dengan laporan juruaudit dan pengarah bagi tempoh kewangan berakhir 30 Jun 2021 kepada Bursa Securities untuk siaran awam dalam tempoh masa yang ditetapkan iaitu 31 Oktober 2021, menurut perenggan 9.23(1) Pematuhan Penyenaraian Pasaran Utama Bursa Securities (LR).

 


Baca : SCIB's annual report 2021 to be issued on 31 December 2021

 

Baca : Gagal kemuka laporan tahunan, dagangan saham SCIB akan digantung mulai 9 Nov

 

Baca : Serba Dinamik fail saman terhadap Bursa Malaysia 

 

Sebelum itu, pada 26 Oktober lalu, SCIB memaklumkan permohonan lanjutan tempoh (EOT) bagi menyiapkan Laporan Tahunan 2021 kumpulan itu ditolak Bursa Securities.

 

Terdahulu, pada 8 Oktober, SCIB memohon EOT sehingga 31 Disember 2021 bagi melengkapkan pengauditannya ke atas penyata kewangan untuk tempoh kewangan berakhir 30 Jun 2021 Kumpulan SCIB supaya ia boleh dimasukkan dalam Laporan Tahunan 2021, berikutan usaha berkenaan terkesan akibat perubahan juruaudit luar dan sekatan pergerakan di Malaysia serta antarabangsa susulan pandemik COVID-19.

 

SCIB turut menerima tempias daripada apa yang menimpa Serba Dinamik Holdings Bhd. berikutan pertikaian audit dengan bekas juruaudit luarnya, KPMG.

 

Datuk Mohd. Abdul Karim Abdullah yang juga pengarah urusan dan ketua pegawai eksekutif Serba Dinamik merupakan pemegang saham utama SCIB dengan ketika ini sebanyak 24% dan 21.23% dalam Serba Dinamik.

 

Semalam, Serba Dinamik dilaporkan memfailkan saman terhadap Bursa Malaysia di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 3 November lalu dengan mendakwa bursa telah bertindak 'melampaui’ bidang kuasa apabila menggantung dagangan saham syarikat itu.

 

Isu ini bermula daripada kebimbangan yang dibangkitkan terhadap proses audit Serba Dinamik sejak Mei lalu. - DagangNews.com