KUALA LUMPUR 29 Julai – PGF Capital Bhd. (sebelum ini dikenali sebagai Poly-Glass Fibre (M) Bhd.) merekodkan keuntungan selepas cukai sebanyak RM5 juta pada suku pertama berakhir 31 Mei 2022, meningkat 394% berbanding suku sebelumnya.
Kumpulan juga merekodkan peningkatkan pendapatan sebanyak 54% kepada RM25.9 juta daripada RM16.8 juta, sekali gus menandakan pencapaian terbaik kepada kumpulan.
Bagi tahun ke tahun, kumpulan juga mencatatkan prestasi cemerlang dengan pendapatan meningkat 52% manakala untung bersih pula melonjak 150%.
Segmen penebat dan produk berkaitan terus menjadi penyumbang terbesar kepada pendapatan kumpulan, menyumbang sebanyak RM25.3 juta pada suku pertama yang diterjemahkan kepada kira-kira 98% daripada jumlah hasilnya, mencerminkan peningkatan 52% berbanding tempoh yang sama tahun sebelumnya.
Hasil daripada projek pembinaan semula relau dan menaik taraf loji pada pertengahan Oktober 2021 yang telah siap serta penyelesaian isu tenaga kerja akibat pembukaan semula sempadan antarabangsa pada 1 April 2022, kumpulan mencapai pengeluaran output yang lebih tinggi menyumbang kepada peningkatan penghantaran jualan dan hasil jualan.
Ini menyaksikan peningkatan dalam keuntungan selepas cukai kumpulan untuk suku yang dikaji.
Sementara itu, segmen pembangunan hartanah kumpulan merekodkan kerugian sebelum cukai sebanyak RM220,000 manakala segmen pegangan pelaburan mengalami kerugian RM320,000.
Segmen lain yang merangkumi aktiviti pertanian dan akuakultur mengalami kerugian sebelum cukai sebanyak RM270,000 disebabkan peningkatan dalam aktiviti dan perbelanjaan yang dilakukan sebelum penuaian.
Dalam kenyataan hari ini, Pengerusi Eksekutif PGF Capital, Fong Wern Sheng berkata, ia merupakan perjalanan yang sukar bagi kumpulan dengan kadar pemulihan ekonomi global yang perlahan akibat tekanan inflasi, kenaikan kos bahan mentah, wabak cacar monyet dan peningkatan kes COVID-19.
Namun, katanya, dengan strategi yang dilaksanakan, PGF Capital mampu mendepani cabaran tersebut dengan kumpulan terus mencatatkan satu lagi prestasi positif pada suku tersebut.
"Kami juga mendapati permintaan dari rantau Oceania semakin kukuh apabila sektor pembinaan semakin berkembang.
"Semakan dalam Kod Pembinaan Kebangsaan (NCC) di Australia dan Kod Bangunan di New Zealand pada tahun depan juga dijangka menyumbang kepada peningkatan permintaan untuk bahan penebat bangunan, dan ini secara tidak langsung menepati pelan pengembangan kumpulan di rantau ini," katanya. - DagangNews.com








