Sedania raih anugerah Platform Dagangan Islam Paling Inovatif-Tawarruq 2022 International Finance UK | DagangNews Skip to main content

Sedania raih anugerah Platform Dagangan Islam Paling Inovatif-Tawarruq 2022 International Finance UK

As-Sidq ialah platform dagangan komoditi digital patuh-Syariah yang memudahkan pembrokeran komoditi digital dengan selamat.
Oleh Mohamad Iman

KUALA LUMPUR 23 Jun - Subsidiari syarikat teknologi kewangan (Fintech) Sedania Innovator Bhd iaitu Sedania As Salam Capital Sdn Bhd, telah memenangi anugerah Platform Dagangan Islam Paling Inovatif-Tawarruq 2022 daripada International Finance, majalah perniagaan dan kewangan yang berpangkalan di London.

 

Anugerah ini mengiktiraf kecemerlangan dan keupayaan unik As-Sidq, platform Fintech digital Sedania Innovator Bhd As Salam, dalam menyokong keperluan pembiayaan Islam industri perkhidmatan kewangan.

 

Ini diperkukuhkan lagi dengan kehadiran syarikat dalam industri ini melalui pangkalan pelanggannya yang terdiri daripada lebih 80 institusi perkhidmatan kewangan, dan
pinjaman yang bernilai lebih daripada RM50 bilion yang diproses sehingga kini.

 

Ketua Pegawai Eksekutif Sedania As Salam, Nisa Ismail berkata, pihaknya berbesar hati untuk menerima anugerah ini kerana ia memberi impak yang besar terhadap keupayaan platform As-Sidq dalam penyumbangan positif ke arah pendigitalan industri perkhidmatan kewangan dengan menambah baik kemudahan transaksi pembiayaan Islam.

 

"Pencapaian baharu ini meningkatkan hasrat kami untuk menambah baik dan mengembangkan portfolio tawaran perkhidmatan Fintech kami, serta terus membina
perkongsian bermakna untuk memperkasakan industri Fintech”, kata beliau dalam kenyataan di sini hari ini.

 

As-Sidq ialah platform dagangan komoditi digital patuh-Syariah yang memudahkan pembrokeran komoditi digital dengan selamat, secara langsung dan sentiasa tersedia untuk keperluan Tawarruq (murabahah komoditi) institusi kewangan.

 

"Platform kami memudahkan proses keseluruhan kemudahan kredit secara digital dengan bertindak sebagai platform pemerolehan pengguna dan untuk institusi perkhidmatan kewangan, serta menghubungkan pengguna dengan mudah kepada rangkaian produk pembiayaan Islamik.

 

"Kami diiktiraf kerana kami mendominasi perdagangan komoditi digital dengan menawarkan penyelesaian perbankan digital yang relevan dengan ekosistem pinjaman digital. Maka, di sinilah institusi perkhidmatan kewangan yang menggunakan penyelesaian kami akan mempunyai kelebihan berbanding pesaingnya.

Nisa Ismail
                        Nisa Ismail

 

 

"Sebagai contoh, Program Pembiayaan GoHalal kami, yang dilancarkan pada 2021. Bersama Grab, salah satu rakan kongsi terkemuka di bawah program ini, ia bertujuan untuk menyediakan akses pembiayaan yang lebih mudah dan selamat untuk masyarakat Malaysia serta memartabatkan produk pembiayaan Islamik secara digital,” ujar beliau.

 

Keupayaan Sedania As Salam untuk memenuhi keperluan pasaran perniagaan-ke-perniagaan dan juga pasaran perniagaan-ke-pengguna meletakkannya secara strategik sebagai proksi pertumbuhan tinggi kepada evolusi industri Fintech.

 

Nisa percaya anugerah ini akan meningkatkan lagi nama Sedania dalam segmen perkhidmatan kewangan, dan memberi kesan positif berganda dengan membantu
mendapatkan kontrak baharu daripada ledakan perbankan digital, serta membantu membentuk perkongsian strategik baru untuk memperkenalkan lebih banyak inovasi Fintech.

 

Pada masa ini, Sedania As Salam adalah rakan kongsi teknologi untuk dua syarikat besar yang merupakan sebahagian daripada konsortium perbankan digital di Malaysia, iaitu Aeon Credit Service (M) Berhad dan juga syarikat yang menawarkan produk pembiayaan peribadi patuh-Syariah kepada pengguna platformnya melalui Program Pembiayaan GoHalal Sedania As Salam. - DagangNews.com