Sedania Greentech raih kontrak 6 tahun dari Pos Malaysia | DagangNews Skip to main content

Sedania Greentech raih kontrak 6 tahun dari Pos Malaysia

 

 


KUALA LUMPUR 6 Sept. – Sedania Innovator Bhd. melalui anak syarikatnya, Sedania Technologies Sdn. Bhd., memperoleh kontrak dari Pos Malaysia untuk pengurangan penggunaan tenaga melalui konsep simpanan bersama.

 

Menerusi kontrak tersebut, syarikat akan menawarkan perkhidmatan teknologinya melalui rangka kerja Energy Performance Contract (EPC) yang membolehkan organisasi meneruskan objektif bagi memenuhi keperluan alam sekitar, sosial dan tabbir urus (ESG) mereka dengan mengurangkan penggunaan tenaga pada asas sifar-capex.

 

Sebelum ini, perkhidmatan Greentech Solutions Sedania ditawarkan kepada sektor perbankan dan telekomunikasi. 

 

 

Daniel Ruppert
Daniel Ruppert

 

 

Ketua Pegawai Eksekutif Sedania, Daniel Ruppert berkata, usaha terbaru itu merupakan satu titik penting bagi Sedania setelah mereka memperluaskan sektor Greentech Solutions ke industri logistik dan rantaian bekalan, sebuah industri dengan beribu-ribu pusat pemprosesan dan cawangan di seluruh Malaysia.

 

Katanya, fasa pertama akan merangkumi pelan kecekapan tenaga dan penyelesaian tenaga boleh diperbaharui di 8 tapak Pos Malaysia yang terpilih di Lembah Klang dan dijadualkan bermula tahun ini dan dijangka selesai dalam tempoh 3 bulan.

 

"Saya memuji inisiatif yang dilakukan oleh Pos Malaysia di dalam usaha untuk mencapai kelestarian tenaga walaupun dalam keadaan mencabar ketika ini. 

 

"Kami amat teruja untuk membantu Pos Malaysia dalam mengurangkan kos operasinya dan mencapai matlamat kemampanan tenaga. 

 

"Model yang ditawarkan kami adalah ideal kerana ia tidak mengganggu bidang operasi atau kewangan, justeru, kami menggalakkan organisasi lain untuk turut sama melaksanakan agenda hijau hari ini secepat yang mungkin," katanya dalam kenyataan hari ini. 

 

Dengan kontrak 6 tahun ini, ia menandakan permulaan syarikat di dalam sektor rangkaian bekalan yang telah menunjukkan pertumbuhan besar dalam tempoh 18 bulan lalu berikutan peningkatan jumlah membeli-belah
dalam talian. 

 

Berdasarkan laporan sebelum ini, Pos Malaysia melalui Pos Laju SendParcel telah menyempurnakan servis penghantaran dengan lebih daripada 6.7 juta bungkusan dalam jumlah keseluruhan dan menjana pendapatan sebanyak RM45.5 juta pada 2020.

 

Pelan komprehensif Malaysia selama 10 tahun bagi projek Kelestarian Alam Sekitar termasuk dalam menetapkan matlamat dan sasaran yang jelas dalam mencapai kemampanan alam sekitar menjelang 2030. 

 

Sehubungan itu, perniagaan GreenTech Sedania memainkan peranan penting dalam membantu organisasi mencapai sasaran tersebut. 

 

Menurut Sedania, operasi GreenTech mereka telah berkhidmat kepada pelbagai organisasi dalam industri masing-masing, dari sektor telekomunikasi ke institusi kewangan dengan pengurangan tenaga sehingga lebih daripada 65 Gigawatt melebihi 350 bangunan, yang bersamaan dengan 45,000 tan karbon dioksida. - DagangNews.com