Skip to main content

SCIB catat pendapatan RM37.5 juta pada suku ketiga

KUALA LUMPUR 26 Mei - Sarawak Consolidated Industries Bhd. (SCIB) merekodkan pendapatan sebanyak RM37.5 juta pada suku ketiga berakhir 31 Mac 2022 dengan kerugian sebelum cukai berjumlah RM2 juta, menurutnya dalam makluman di Bursa Malaysia hari ini. 

 

Bagaimanapun, tiada perbandingan bagi suku yang sama memandangkan kumpulan telah menukar tahun kewangan daripada 31 Disember 2020 kepada 30 Jun 2021. 

 

Pada suku ketiga itu, segmen pembuatan mencatat pendapatan sebanyak RM22.1 juta manakala kerugian sebelum cukai berjumlah RM682,000. 

 

Pendapatan segmen itu dipacu jumlah jualan yang lebih tinggi menerusi pemasangan asas cerucuk di sebalik persekitaran perniagaan yang mencabar manakala kerugian pula disebabkan terutamanya peningkatan sumbangan margin daripada jualan produk konkrit.

 

Bagi segmen pembinaan pula, ia merekodkan pendapatan sebanyak RM15.1 juta dengan kerugian sebelum cukai sebanyak RM657,000 disumbangkan terutamanya menerusi projek pembinaan tempatan.

 

Sementara itu, segmen hartanah menyumbang pendapatan sebanyak RM319,000 menerusi jualan unit pangsapuri di Santubong Suites.

 

Menurut SCIB, kumpulan kekal berdaya tahan dan komited dalam mencipta nilai dan mengoptimumkan prestasi untuk tahun hadapan.

 

"Kami secara aktif menguruskan projek sedia ada dan bekerjasama rapat dengan pelanggan, pembekal dan rakan kongsi perniagaan untuk memastikan penyampaian projek yang lancar.

 

"Kumpulan juga mengambil langkah untuk mengukuhkan kawalan dalaman termasuk analisis sistematik dan teliti ke atas pemilik projek untuk kontrak masa depan bagi meningkatkan proses kutipan pembayaran," katanya.

 

Di samping itu, SCIB turut menubuhkan pasukan pembinaan dalaman untuk pelaksanaan projek yang lebih baik dan mengembangkan kemudahan pembuatan bahan binaan untuk menyokong kerja-kerja di Semenanjung Malaysia.

 

Dengan menggunapakai teknologi canggih dalam mencapai automasi untuk kecekapan dari segi kos dan masa, ia dapat membantu kumpulan mengurangkan risiko kesilapan pekerja sekali gus menyelesaikan isu kekurangan buruh.

 

Kumpulan menjangkakan prospek tahun kewangan 2022 yang lebih baik terutamanya dengan nilai projek dalam tangan berjumlah RM1.3 bilion setakat Disember 2021.

 

"Ini dapat memberi kami pendapatan sehingga 2026. Selain itu, terdapat juga beberapa projek yang sedang dalam proses tender dan kami berharap ia dapat membuahkan hasil yang positif," tambahnya. - DagangNews.com