Prof Emeritus Muhammad Haji Salleh terajui Persatuan Sastera Lisan Malaysia | DagangNews Skip to main content

Prof Emeritus Muhammad Haji Salleh terajui Persatuan Sastera Lisan Malaysia

 

KUALA LUMPUR 6 Sept - Persatuan Sastera Lisan Malaysia (PSLM) mengekalkan Sasterawan Negara, Prof Emeritus Muhammad Haji Salleh sebagai presiden dalam Mesyuarat Agung Tahunan 2021 yang diadakan secara dalam talian, baru-baru ini.

 

Sejak penubuhannya pada tahun 2010, dan pendaftaran rasmi pada tahun 2017, PLSM telah berjaya menyatukan mereka yang mempunyai minat yang mendalam melestarikan legenda, puisi dan bentuk cerita rakyat Malaysia melalui pelbagai seminar dan kolaborasi dengan Persatuan Serantau Folklor di Indonesia, Vietnam dan lain-lain negara Asia Tenggara.

 

Prof Emeritus Muhammad dalam ucapannya berkata, konsep masyarakat yang ideal, setara, penyayang dan lestari terletak pada cerita rakyatnya dan di sini disematkan pemikiran, jiwa dan kebijaksanaan rakyat.

 

''Oleh itu, sangat penting untuk kita memeliharanya. Peribahasa pula adalah mutiara pemikiran setiap suku dan di Malaysia dikatakan ada lebih 100 suku/bahasa yang wajib  dipelihara.

 

''Setiap suku ini mempunyai sekurang-kurangnya sejumlah cerita dan puisi/peribahasa. PSLM akan mengumpul sebanyak mungkin cerita-cerita ini untuk dibukukan sebagai satu antologi yang lengkap pada tahun hadapan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

 

Selama beberapa tahun, Prof Emeritus Muhammad bergabung dengan Prof Teti Pudentia dari Asosiasi Tradisi Lisan Indonesia (dan Kementerian Kebudayaan kedua-dua negara) untuk memastikan Pantun diberi pengiktirafan sewajarnya oleh UNESCO.

 

Oleh itu, pantun berjaya dimasukkan dalam senarai Wakil Pertubuhan Pendidikan, Ilmiah dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) bagi kategori Warisan Budaya Tidak Berwujud Kemanusiaan, melalui pencalonan multinasional dari Malaysia dan Indonesia pada tahun 2020.

 

Untuk tahun 2022, PSLM akan menerbitkan Antologi Sastera Lisan Malaysia serta menganjurkan Persidangan Antarabangsa Folklor.

 

Aktiviti bulanan merangkumi Wacana Ilmu, Bercerita di Perpustakaan dan Forum Wilayah. Buletin setiap suku tahun akan dikongsi dengan semua ahli.

 

AGM 2021 menyaksikan Jawatankuasa Umum 2021/2022 yang baru dipilih seperti berikut:

 

1.​Presiden​​:​ Prof Emeritus Muhammad Hj Salleh

2.​Timbalan Presiden​:​ Ninot Aziz

3.​Setiausaha​​:​ Saripah Banseng

4.​Timb. Setiausaha​:​ Dr Nur Faaizah Md Adam

5.​Bendahari​​:​ Dr Minah Sintian

6.​Timb. Bendahari​:​ Dr Rohayati Junaidi

7.​ ​Wakil Zon​​:​ 

  • Dr Luthfi Abdul Rahman & Jamilah Hani Isa (Zon Utara)
  • Dr Nasirin Abdillah (Zon Pantai Timur)
  • Dayangku Mastura (Zon Sabah & Sarawak)
  • Dr Ani Omar (Zon Tengah)


8.​ Keahlian antarabangsa :​ Dr Makmur Ibnu Harun (Indonesia)

 

 

PSLM menerima ahli baru yang terdiri daripada rakyat Malaysia, berumur 21 tahun ke atas. Mereka yang ingin menjadi ahli Persatuan Sastera Lisan Malaysia, boleh menghubungi Dr Minah Sintian di talian 012 548 6705.                - DagangNews.com