Skip to main content

PLUS, Volvo Trucks bekerjasama pacu keselamatan dan penyelesaian lestari untuk kenderaan berat

Datuk Azman Ismail dan Anthony O’ Connell

KUALA LUMPUR 13 Ogos - PLUS Malaysia Berhad (PLUS) dan Volvo Trucks Malaysia (Volvo) bekerjasama dalam memacu keselamatan dan mewujudkan penyelesaian lestari bagi industri kenderaan berat di Malaysia. Pengarah Urusan PLUS dan Volvo Trucks Malaysia memeterai kolaborasi tersebut melalui majlis menandatangani perjanjian di Persada PLUS baru-baru ini. 

 

Kerjasama julung kali di antara kedua-dua organisasi ini termasuklah bertukar-tukar kepakaran dan teknologi dalam industri serta sumber ke arah mencapai sistem yang lebih selamat untuk pengguna kenderaan berat. 

 

Kerjasama ini juga akan memberi laluan kepada PLUS untuk merancang dan memudahkan pembangunan stesen pengecasan kenderaan elektrik untuk kenderaan komersial di lebuh raya kendalian PLUS.

 

Pengarah Urusan PLUS, Datuk Azman Ismail berkata, PLUS kini sedang menyediakan pembangunan infrastruktur pengecasan yang diperlukan untuk menyokong kenderaan penumpang elektrik di lebuh raya PLUS. Ini merangkumi persediaan untuk trak elektrik dan kenderaan komersial pada masa akan datang.

 

Menerusi kolaborasi ini, Volvo Trucks Malaysia juga akan memperkenalkan pengangkutan Elektromobiliti pertama di Malaysia selaras dengan usaha global mereka dalam menyokong agenda pelepasan karbon yang lebih rendah. 

 

"PLUS komited untuk terus meningkatkan aspek keselamatan di sepanjang lebuh raya melalui pendekatan 3E yang merangkumi aspek Kejuruteraan, Penguatkuasaan dan Pendidikan untuk meningkatkan lagi tahap keselamatan di lebuh raya kami," kata beliau dalam kenyataan di sini hari ini.

 

PLUS dan Volvo turut akan bekerjasama dalam membangunkan program keselamatan kenderaan berat, dengan tujuan untuk melengkapkan pemandu dengan pengetahuan keselamatan dan pengendalian kenderaan berat yang lebih baik.

 

Program keselamatan ini akan diperluaskan kepada ahli PLUSTrack untuk meningkatkan lagi keselamatan mereka ketika memandu di lebuh raya PLUS.

 

“PLUSTrack adalah program yang dibangunkan oleh PLUS untuk pelanggan kenderaan komersial dan berat di lebuh raya kami. Program ini bertujuan untuk membantu meningkatkan pengalaman pelanggan kenderaan komersial kami sambil menambah nilai melalui ganjaran kesetiaan, keistimewaan dan perkongsian pendidikan oleh rakan kongsi kami,” tambah Azman. 
 

 

PLUS
Datuk Azman Ismail dan Anthony O’ Connell bertukar-tukar dokumen pada majlis memeterai perjanjian strategik antara PLUS dan Volvo Truck, baru-baru ini.

 

Sementara itu, Pengarah Urusan Volvo Trucks Malaysia, Anthony O’ Connell, “Industri pengangkutan telah berkembang pada kadar yang tidak pernah berlaku sebelum ini. Inovasi teknologi telah menggerakkan kami ke arah meningkatkan kecekapan dan standard keselamatan yang lebih tinggi dan Volvo Trucks berada di barisan hadapan dalam memacu kemungkinan ini. Potensi yang ditawarkan oleh automasi, elektromobiliti dan kesalinghubungan melalui pendigitalan sistem pengangkutan, adalah sangat besar.” 

 

“Dengan pemilikan awal kepada akses pangkalan data industri fleet dalam peruntukan pengoperasian dan senario dunia sebenar, kami muncul sebagai peneraju utama dalam memacu penerimaan dan meningkatkan manfaat industri fleet dan kesannya kepada perniagaan secara menyeluruh,” tambahnya. 

 

“Kelestarian telah menjadi kekuatan yang sangat kuat yang merupakan perdebatan berterusan dalam ruang mobiliti. Kami ingin menjelaskan bahawa Volvo Trucks bertekad untuk memacu industri kami ke arah masa depan yang lestari,” katanya lagi.

 

“Kami terus menjadi penyedia penyelesaian pengangkutan global yang terkemuka, dan kami akan bekerjasama dengan PLUS sebagai pengendali lebuh raya terbesar di Malaysia untuk memacu perubahan. Peranan kedua-dua pihak ini boleh menjadi skala sebagai teras ekosistem untuk masa depan mobiliti untuk Malaysia adalah penting dan kami teruja dengan apa yang akan kami cipta ke arah masa akan datang,” jelas O’ Connell. 

 

Menerusi satu inisiatif global Kumpulan Volvo iaitu Program Iron Women, kerjasama strategik ini akan membolehkan Volvo meningkatkan status sosio-ekonomi pemandu trak profesional di Malaysia dan mendorong perkongsian saksama antara wanita dan lelaki dalam pemilikan sumber dan penglibatan peranan semua jantina (gender inclusivity) bagi menangani kekurangan pemandu mahir dan terlatih dalam industri.

 

PLUS juga akan berkongsi program ini dengan ahli PLUSTrack sebagai sebahagian daripada sasaran Volvo kepada pelanggan kenderaan berat. 

 

“Kami teruja untuk berada di barisan hadapan yang melakukan perubahan. Kami benar-benar berharap kerjasama dengan VOLVO Trucks Malaysia ini akan menjadi langkah positif ke arah meningkatkan keselamatan pelanggan lebuh raya dan untuk memacu elektromobiliti dalam industri kenderaan komersial,” kata Azman. - DagangNews.com