Peruntukan RM100 juta untuk Tabung Agromakanan bantu koperasi kembangkan industri agromakanan - PM | DagangNews Skip to main content

Peruntukan RM100 juta untuk Tabung Agromakanan bantu koperasi kembangkan industri agromakanan - PM

Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menekan butang sebagai gimik perasmian Majlis Sambutan Bulan Koperasi Kebangsaan 2022 di Kuala Lumpur pada 2 Julai 2022.
Oleh JOHARDY IBRAHIM

KUALA LUMPUR 2 Julai - Kerajaan mengumumkan peruntukan sebanyak RM100 juta di bawah Tabung Agromakanan akan diletakkan di bawah Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) bagi membantu koperasi mengembangkan industri agromakanan khususnya penternakan ayam. 

 

Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, kerajaan berharap langkah ini akan membantu koperasi meningkatkan pengeluaran makanan, seterusnya mengurangkan masalah kenaikan harga barang yang  memberi impak besar kepada Keluarga Malaysia.

 

"Kerajaan turut bersetuju agar bantuan Tabung Agromakanan yang dikawal selia oleh Bank Negara Malaysia diperluaskan kepada koperasi yang terlibat dalam sektor ini,'' kata beliau semasa merasmikan Majlis Sambutan Bulan Koperasi Kebangsaan 2022 di sini hari ini.

 

Yang turut hadir ialah Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP), Tan Sri Noh Omar.

 

Perdana Menteri berkata, kedua, Kerajaan bersetuju agar koperasi-koperasi diberi kuota pekerja asing supaya urusan perladangan dapat berjalan dengan lancar.

 

Menurut beliau, Kementerian Sumber Manusia akan memudahcara permohonan koperasi melalui proses secara manual sekiranya terdapat kekangan dengan sistem Pengurusan Berpusat Pekerja-pekerja Asing (FWCMC).

 

Selain itu kata Perdana Menteri, Kerajaan menyokong penubuhan Koperasi Rakyat BR 2.0 Malaysia Berhad atau BR 2.0, sebuah entiti koperasi yang baharu ditubuhkan di bawah Akta Koperasi 1993[Akta 502] dan dikawal selia oleh SKM.

 

"BR 2.0 juga dijangka memainkan peranan lebih besar iaitu membantu membangunkan sektor koperasi serta Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) dan seterusnya menyumbang kepada pembangunan ekonomi negara.

 

"Penubuhan BR 2.0 turut membolehkan Keluarga Malaysia melabur dan memiliki saham dalam koperasi seperti mana Bank Rakyat dengan jangkaan pulangan yang baik,'' kata Ismail Sabri.

 

Perdana Menteri turut mengumumkan peruntukan khusus sejumlah RM10 juta kepada KUSKOP bagi membiayai penganjuran aktiviti-aktiviti kolaborasi strategik bersama persatuan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) seperti penganjuran pameran dan ekspo.

 

Beliau berkata, dalam usaha kerajaan membawa negara menuju ke arah negara berpendapatan tinggi menjelang tahun 2025, isu kenaikan kos sara hidup ternyata menjadi antara cabaran yang besar pada waktu ini.

 

Untuk menghadapi cabaran ini kata Perdana Menteri, kerajaan memerlukan kerjasama semua pihak khususnya daripada SKM dan ANGKASA dengan memberi fokus memperkasa pembangunan gerakan koperasi dalam penguasaan rantaian bekalan.

 

"Usaha bersepadu ini boleh dilakukan oleh SKM dan ANGKASA melalui pembabitan koperasi-koperasi dalam industri pemborongan dan peruncitan.

 

"Dengan bilangan koperasi yang besar serta kekuatan lebih 20 peratus populasi negara, gerakan koperasi secara kolektif mempunyai kuasa mempengaruhi kos sara hidup Keluarga Malaysia dengan berkesan," kata Ismail Sabri.

 

Perdana Menteri berkata, gerakan koperasi perlu diperkukuh di setiap peringkat rantaian bekalan makanan termasuk pemasaran barangan pada harga yang kompetitif.

 

Menurutnya, model perniagaan koperasi itu sendiri dilahirkan bagi memendekkan rantaian bekalan, dengan mengurangkan peranan dan penglibatan orang tengah – sekali gus berupaya menstabilkan harga barangan keperluan di pasaran.

 

"Justeru, sudah tiba masanya seluruh gerakan koperasi menyahut seruan ‘Jihad Memerangi Orang Tengah’, dengan memainkan peranan lebih signifikan dalam memperkasakan agenda sekuriti makanan negara,'' kata Ismail Sabri. - DagangNews.com