Perubahan syarat MM2H beri impak kecil ke atas jualan pemaju - AmInvest | DagangNews Skip to main content

Perubahan syarat MM2H beri impak kecil ke atas jualan pemaju - AmInvest

AmInvest melihat perubahan syarat MM2H negatif buat sektor hartanah memandangkan ambang kewangan telah dilonjakkan lebih daripada 200%. - Gambar hiasan oleh Maria Ziegler

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 6 Sept. - Syarat Malaysia Rumah Keduaku (MM2H) yang lebih ketat dikenakan ke atas peserta dijangka hanya mendatangkan impak kecil terhadap kadar jualan syarikat pemaju hartanah.

 

Menurut penganalisis di AmInvestment Bank, Lee Ching Poh, kebanyakan syarikat pemaju di bawah liputan firmanya hanya menyaksikan 1% hingga 5% sumbangan jualan daripada pembeli asing semasa tempoh pandemik. 

 

Peratusan itu lebih rendah berbanding tempoh sebelum pandemik iaitu sekitar 10%, sekali gus mendorong AmInvest untuk mengekalkan unjuran mereka terhadap sektor berkenaan buat masa ini.

 

“Seiring pandangan oleh kebanyakan pakar industri ini, kami melihat perubahan tersebut negatif buat sektor hartanah memandangkan ambang kewangan telah dilonjakkan lebih daripada 200% buat pemohon yang berusia di bawah dan melebihi 50 tahun. 

 

“Namun, disebabkan hanya warga asing yang dibenarkan untuk membeli hartanah dengan harga jualan melebihi RM1 juta, dalam kebanyakan kes, kami menjangkakan impak yang kecil ke atas jualan memandangkan sumbangan pembeli asing kepada pemaju di bawah liputan kami adalah minimum, hanya 1% hingga 5% semasa tempoh pandemik berbanding 10% sebelum pandemik,” jelas beliau dalam satu nota kajian. 

 

Program Malaysia Rumah Keduaku (MM2H) yang sebelum ini dibekukan kini diaktifkan semula dengan beberapa penambahbaikan dan syarat baharu kepada peserta.

 

Antaranya, kerajaan bersetuju untuk memperkenalkan dan menetapkan jumlah bilangan peserta (prinsipal dan tanggungan) pada satu masa tidak melebihi 1% daripada jumlah warganegara Malaysia.

 

Baca : Syarat MM2H diharapkan diguna pakai ke atas peserta baharu sahaja - MCCC

 

Selain itu, pendapatan luar negara peserta MM2H perlu sekurang-kurangnya RM40,000 sebulan berbanding RM10,000 sebelum ini. 

 

Pemilikan akaun simpanan mereka juga perlu sekurangnya-kurangnya RM1 juta dan pengeluaran maksimum sebanyak 50% dibenarkan ke atas nilai prinsipal bagi tujuan pembelian hartanah, kesihatan dan pendidikan anak mereka. 

 

Usia pemohon yang layak bagi program itu dipecahkan kepada dua kategori iaitu 35 hingga 49 tahun serta 50 tahun ke atas.

 

Secara keseluruhannya, AmInvest ‘neutral’ terhadap sektor hartanah dan mengambil pendekatan berhati-hati, antaranya kerana pemulihan yang lebih perlahan dijangkakan pada tempoh separuh kedua 2021 (2H21). 

 

Selain itu, kata Ching Poh, bank juga kekal berhati-hati dalam memberi pinjaman hartanah, di mana dicerminkan menerusi kadar kelulusan yang rendah iaitu 36% berbanding sekitar 51% hingga 53% kadar kelulusan dicatatkan dalam tempoh 2011 hingga 2014. - DagangNews.com